Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

16 December 2016

Kisah Aleppo Dan Negara-Negara Dilanda Kesengsaraan Perang Afganistan, Iraq dan Libya



Kita berasa sedih dengan penderitaan yang ditanggung penduduk Aleppo yang saban waktu dibom sejak tahun 2011. Namun begitu kita juga...


Tidak boleh melupakan rakyat di Iraq, Afganistan dan Libya yang hancur musnah kehidupan mereka akibat dibedil dan dihilangkan kehidupan mereka oleh askar-askar Amerika Syarikat dan NATO. Dengan hanya alasan mahu menjatuhkan pemimpin yang dikatakan zalim, negara-negara tersebut dijarah. Namun hakikatnya rakyat jelata yang menerima padahnya.

Kepada rakyat Palestin yang telah mengalami perit kezaliman sejak tahun 1948, apabila terhasilnya Rancangan Pemecahan Bahagian PBB 1947 yang dibahagikan kepada "negara Yahudi".

Kenapa semua ini disenyapkan dari pandangan umum? ... Kerana mainstream media (MSM) / media massa utama dunia dikuasai oleh  The "Big Six" yang mengawal sumber maklumat dan berita dunia. Mereka ini berusaha agar projek “Greater Israel” dapat dijalankan dengan jayanya. ... Setelah semua penentang Israel ini dapat dijatuhkan, maka Israel dapat berkembang dan diperbesarkan hampir seleuruh Tanah Arab. http://www.globalresearch.ca/greater-israel-the-zionist-plan-for-the-middle-east/5324815 

Walau bagaimanapun sebagai seorang muslim setidak-tidaknya pada hari Jumaat ini kita berdoa kepada Illahi memohon perlindungan dan kekuatan kepada mangsa-mangsa perang yang tidak berdosa ini.

 Aamiin ya rabbal 'alamin.

07 December 2016

Mainan Sihir Duduk Dalam Api Neraka Walaupun Solat Duduk Di Belakang Imam


● Dalam dunia moden dan serba canggih ini masih ada satu penyakit yang tidak boleh hilang dalam masyarakat melayu suka pergi berbomoh untuk menilik atau menyihirkan orang lain. Ada kalanya orang suka berbomoh ini di kalangan teguh kuat imannya pada ajaran agama namun tewas dalam permainan syaitan iblis.

● Nabi S.A.W bersabda: “Sesiapa yang berjumpa dengan tok nujum dan bertanya sesuatu yang ghaib, lalu percaya dengan kata-kata mereka maka tidak diterima solatnya selama 40 hari”  ~ Hadis riwayat Muslim.

● Bayangkan setiap kali pergi menilik 40 hari solatnya tidak diterima. Bagaimana pula mereka yang pergi setiap bulan? ... Bagaimanakah amalan-amalan kebaikannya yang lain sehinggakan solat pun tidak diterima. Nauzubillah min zalik ...

● Dr Yusuf Qardawi berkata:

"Sesiapa yang mendakwa mengetahui perkara yang ghaib maka dia telah berbohong kepada Allah, kepada kebenaran dan kepada manusia."

Sesungguhnya telah tiba segerombolan manusia bertemu dgn Nabi S.A.W mereka menyangka baginda mengetahui perkara yang ghaib, lalu mereka menyembunyikan sesuatu di tangan mereka. Mereka bertanya "Beritahu kami apa yang ada dalam tangan kami?" Nabi S.A.W menjawab dengan jelas:

"Aku bukannya tok nujum atau pawang yang mengetahui benda yang ghaib. Sesungguhnya pawang atau tok nujum (yang mendakwa tahu perkara ghaib) berada dalam neraka." ~ Hadis riwayat Tirmizi.

*Rujukan: Al-Halal wal haram fil Islam oleh Dr Yusuf al-Qardawi.







'Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.'
- surah Al-Jinn : 6

Cerita Sihir / Buatan Orang: Oleh Ustaz Azhar Idrus


Wallahu a'lam.

29 November 2016

Memperdagangkan Bayi : Satu Berita Yang Sangat Memalukan Malaysia Di Mata Dunia

● Pendedahan yang dilakukan oleh wartawan Al Jazeera mengenai perniagaan penjualan bayi secara terbuka ini amat menakutkan perkembangan sosiologi Malaysia sekarang ini.

● Penglibatan doktor perubatan, pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hospital, klinik bersalin, Dato Seri dan pegawai penjawat awam lain yang bersekongkol dengan penjenayah di dalam perdagangan bayi ini sangat mengecewakan. Tiada integriti dan amanah dalam menjalankan tugas.

● Masalah kecelaruan sosial seperti pergaulan tanpa batas remaja, pelacuran, penyalahgunaan dadah dan golongan terdesak dari segi kewangan menyumbang kepada perniagaan haram ini.

● Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan JSJK - Siasatan Jenayah Siber & Multimedia sepatutnya mengawasi dan memantau pergerakan komplot memperdagangkan bayi melalui internet. Juga SKMM harus menutup terus akses kepada laman-laman seperti ini.

● Kenapa media massa utama Malaysia dan pihak penguatkuasa tidak mampu menyelongkar jenayah kronik ini? ... Isu ini hanya diketahui melalui media antarabangsa seperti Al Jazeera.

● Apabila bertahun-tahun masalah ini berlaku di Malaysia ... satu kemusykilan yang menghairankan kenapa tidak ada penangkapan terhadap para pelaku ini? ...
Seperti yang diberitahu oleh doktor perubatan kepada wartawan Al Jazeera:
◊ Al Jazeera: How come you've got such good connections?
◊ Doctor: I've got a lot ... In Malaysia, can do everthing. Money can do anything. 

● "Money is king" ... wang juga yang bakal memusnahkan tamadun sebuah negara!



Rujukan: https://youtu.be/otvWPV_7cK0


26 October 2016

Hospital Sultanah Aminah : ICU Pertama Di Malaysia


● Kenyataan di bawah ini disampaikan oleh Pengarah Kesihatan Malaysia. ... Semoga semua yang terlibat dalam kemalangan ini diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi musibah tak terduga.

● Kepada wira-wira tidak didendang... tahniah dan jutaan penghargaan buat anda yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa kebakaran bagi mengelakkan lebih banyak jiwa yang terkorban.

#PrayForHSA


««« ● »»»


Hari ini adalah detik hitam untuk kita. Kita berdepan tragedi terburuk yang boleh terjadi ke atas sebuah hospital. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menghubungi dan meninggalkan pesanan untuk saya.

Ingatan anda kepada saya amat dihargai.

Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu kami mengharungi detik ini. Ingatan khusus juga kepada:

* Allah kerana menyelamatkan semua bayi saya. Tak ada kata-kata dapat menggambarkan keadaan jika api merebak ke blok pediatrik

* Rakan sekerja dan pegawai perubatan (MO)
Kepada semua, terutama rakan sekerja wanita di wad saya hari ini. Apabila kebakaran bermula mereka mengetepikan kepentingan sendiri dan memberitahu pegawai perubatan lelaki: "Kamu semua pergi selamatkan pesakit. Lakukan apa yang perlu. Mereka perlukan orang untuk memindahkan pesakit. Kami akan uruskan pesakit bayi".

MO saya hari ini memandang saya ketika lawatan ke wad dan berkata: "Anda tak boleh fokus hari ni, kan Muhaimin? Anda mahu ke sana membantu. Pergilah. Jaga diri."

Dan begitulah bagaimana kami semua membantu di jabatan kecemasan dan bahagian lain hospital.

* PPK (Pembantu perawatan kesihatan), jururawat dan MA (pembantu perubatan)
Kepada semua PPK saya. Anda tidak tahu peranan dimainkan mereka hari ini. Sesetengah mereka membawa tangki oksigen dari satu tempat ke satu tempat tanpa mempedulikan keringat bercucuran semata-mata untuk memastikan semua orang selamat.

Saya tahu sesetengah mereka mengalami osteoathritis namun mereka begitu gagah hari ini. Jururawat dan MA begitu cekap sehinggakan sesetengah arahan dijalankan tanpa perlu disuruh.

Semua orang tahu apa yang perlu mereka lakukan. Sesetengah mereka mengorbankan waktu makan tengah hari semata-mata memastikan tiada pesakit terbiar di wad-wad baru.

* Anggota bomba
Mereka adalah orang paling berani yang meredah api untuk cuba menyelamatkan pesakit kami. Sebahagian mereka kelihatan begitu penat dalam seragam dan peralatan berat. Mereka adalah wira tidak didendang hari ini.

* NGO (pertubuhan bukan kerajaan)
Tzu Chi, Jabatan Amal, ARIF, dan banyak lagi. Terima kasih untuk bekalan air dan makanan. Malah McDonalds datang dan memberikan burger kepada semua orang. Dalam tempoh kurang dari tiga jam bantuan tiba tanpa henti sehingga kami terpaksa mengedarkan semula makanan itu ke jabatan-jabatan lain.

* Pegawai yang tidak bertugas
Ramai rakan pegawai perubatan pelatih dan jururawat, MA dan PPK yang tidak bertugas datang ke hospital dengan pakaian sukan untuk membantu. Anda tahu betapa berharganya hari cuti kepada kami.

Saya dapat berehat seketika untuk minum hari ini selepas seorang rakan saya yang baru selesai bertugas pada syif malam datang dan mengambil alih tempat saya. Sesetengah daripada mereka datang dengan mata merah dan wajah kepenatan (kerana belum cukup rehat). Semolah Allah membalas semua kebaikan kalian.

* Doktor pakar
Saya meletakkan mereka di bahagian akhir kerana rasanya mereka berhak mendapat satu daripada penghargaan terhebat. Dapatkah anda bayangkan bagaimana menguruskan sebuah wad yang dibina untuk pesakit unit rawatan rapi, ortopedik, pembedahan, neuro dan sebagainya dalam tempoh kurang dari 30 minit?

Doktor-doktor pakar adalah petugas paling tenang di dalam wad. Mereka menguruskan pelatih dan pembantu perubatan, memberi arahan lenkap dan meletakkan semua petugas di tempat yang betul supaya semuanya berjalan lancar.

Daripada memberi arahan kepada pelatih perubatan mengambil darah hingga mengarahkan jururawat kanan membuat semakan, mereka berjaya menyempurnakan tugasan itu dan mengubah suasana kelam-kabut kepada keadaan terkawal.

Terima kasih kerana menunjukkan kepada kami kepimpinan yang baik.

Marilah kita berdoa untuk yang terkorban. Semoga roh mereka bersemadi dengan aman.

««« ● »»»

Petikan dari laman Facebook - Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah

21 October 2016

Hukum Menyertai Polisi Insurans Nyawa Konvensional: HARAM


Semasa episod akhir Da'i TV3 2016 pada sesi soalan imtihan yang dikemukakan oleh Ustaz Mohamad Zarifi ... ramai terkejut termasuk para peserta akhir yang tidak mengetahui bahawa menyertai polisi insurans nyawa konvensional adalah HARAM.

Merujuk kepada persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979 yang membincangkan mengenai insurans.

Kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:
(i)   Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
(ii)  Mengandungi unsur judi
(iii) Mengandungi muamalah riba 

Rasulullah SAW bersabda;
وعن أنس بن مالك عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : ] طَلبُ الحَلالِ وَاجِبٌ على كلِ مُسلِم.[ [2]  رواه الطبراني في الأوسط وإسناده حسن
Maksudnya: Anas bin Malik meriwayatkan dari Rasulullah SAW, bersabda; “Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim”. Diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan sanad yang baik (hasan).

Sekadar makluman umum. Wallahu a'lam

Maklumat lanjut di sesawang: http://j.mp/2dTMHwL

02 October 2016

Salam Maal Hijrah 1438H


Salam Maal Hijrah. Semoga tahun baharu 1438H ini membawa kita ke arah kebaikan dengan mengikuti sifat Mahmudah seperti:

◊ Taubat
◊ Khauf (takut)
◊ Zuhud
◊ Sabar
◊ Syukur
◊ Ikhlas
◊ Tawakkal
◊ Mahabbah (kasih sayang)
◊ Redha
◊ Zikrul Maut (mengingati mati)

Dan juga meninggalkan sifat-sifat Mazmummah seperti: 

◊ Marah
◊ Hasad
◊ Bakhil
◊ Cintakan Kemegahan
◊ Cintakan Dunia
◊ Bangga Diri
◊ Banyak Bercakap
◊ Ujud
◊ Riya’

Harapan tahun baharu ini kita dapat berHIJRAH sifat Mazmumah dalam diri kita ke arah sifat Mahmudah seiring dengan hari kita memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke Madinah.

Aamiin.




23 August 2016

TUNAS PAHLAWAN

TUNAS PAHLAWAN



Di bawah langit terbuka luas
terpahat percikan warna biru, merah dan kuning
mengikat tambatan janji dipatri setia
pada ukiran peta melipat sejarah tanah air
daulat negara tercemar bergelut cinta waja
bersama kuntum zikir menangkis petualang negara.


Laungan kasih menakjubkan
mengikis segala kesengsaraan
ketika air mata membentuk wawasan
mengalir ke hulu kelopak cinta
dan tidak melepas bebaskan
walau dicincang kepingan kesetiaan pada negara.


Ini janji yang tidak diragut derita
ini jiwa yang meresap dan tumbuh di akar cinta
ini hati yang tidak pernah luka di pentas wira
ini tangan yang menggenggam bara jadi arang
ini kaki yang langkahnya tidak pernah sumbang
ini perjuangan sumpah anak Malaysia.


Dengan taring gagah memadam agenda petualang
pantang ke belakang melangkah ke puncak
bangsaku tidak mengangguk walau sekali
biar tulang berkecai
selagi darah mengalir
selagi jantung berdenyut
selagi itu kedaulatan negara
tidak tercemari pencipta sengketa.


Sejak detik kemerdekaan 31 Ogos 1957
teruslah mengalir keharuman itu
di persada dunia
kemudian bersemarak ucap syukur di bibir
mekar semangat pahlawan.



Antologi Puisi - Lentera Zaman

(Gambar anggota pasukan elit UTK - PDRM bersama kenderaan Armoured Personnel Carrier MRAP Typhoon)

12 August 2016

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat Mengharamkan Pokemon Go Di Premis Pentagon


Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengharamkan permainan Pokemon Go di premis Pentagon atas alasan kebimbangan kegiatan pengintipan agensi perisikan luar.
Rujuki laman ini www.washingtontimes.com

Ironinya syarikat Niantic Inc yang mencipta permainan ini, yang mempunyai hubung-kait serta penerima dana dari In-Q-Tel sebuah firma dana modal teknologi pelaburan milik CIA mengharamkan di bangunan Pentagon. ... Hmmmm, satu perkara yang memusykilkan dengan arahan ini.  👅 😱 🐰

Banyak sebenarnya informasi yang hendak dikongsikan antara Pokemon Go = Niantic Inc = John Hanke = In-Q-Tel = CIA ini. ... Namun siapa yang berminat dengan info sebegini jika ramai yang asyik dengan PokeStops dan Pokemon gyms.


Nota kaki:
Bagaimana pula pandangan dan reaksi pentadbir kerajaan pusat dan negeri?  

31 July 2016

Patuhi Aqad Dalam Pekerjaan



Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Sektor Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Dato' Omar Osman baru-baru ini sepertimana yang disiarkan dalam akhbar tempatan merungut kerana katanya ada sekitar 15-18,000 pekerja malas dari kalangan penjawat awam di negara kita ini. Walaupun katanya bilangan itu agak kecil dari sejumlah 1.2 juta kesemuanya, namun ianya akan menimbulkan ketidakcekapan dalam sektor awam. Pelbagai tindakan yang beliau sarankan diambil oleh majikan membendung gejala ini dari terus merebak termasuk menghantar mereka ini menghadiri kursus motivasi, diberi amaran atau diminta bersara awal.

Apa yang penulis ingin berkongsi di sini adalah sifat-sifat seperti malas, pecah amanah, rasuah, tiada integriti, memilih kerja, ponteng, mencuri tulang, "hilang" waktu pejabat, buat kerja sambilan waktu pejabat dan seumpamanya dalam kehidupan pekerjaan seseorang adalah cerminan kepada kejahilan mereka sendiri.

Ramai yang sebenarnya masih belum faham bahawa kerja itu adalah ibadah, maka kenapa perlu kita rosakkan ibadah kita dengan perkara-perkara yang tidak dibenarkan sehingga menjadikan ibadah kita tidak diterima Allah SWT. Kita tidak bercakap-cakap ketika solat, kita tidak makan atau minum ketika berpuasa, kenapa? Kerana perbuatan tersebut boleh membatalkan solat dan puasa kita. Namun kita sewenang-wenangnya membuat perkara-perkara membatalkan status kerja sebagai ibadah. Bagaimana ini boleh berlaku? Ianya terjadi apabila kita melakukan sesuatu yang menyalahi peraturan yang ditetapkan oleh majikan kita sedangkan ketika hari mula-mula kita melapor diri untuk bertugas dahulu, kita telah berikrar untuk mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. Ramai yang keluar masuk pejabat sesuka hati sedangkan peraturan tidak membenarkannya melainkan kebenaran majikan. Majikan tidak mampu mengetahui semua pergerakan kakitangannya, tetapi Allah mampu. Itu belum bercakap soal mengambil harta benda pejabat dari sekecil-kecil pen, pensil kepada yang lebih besar, mengguna kenderaan pejabat untuk urusan peribadi kesemuanya menjadikan kehidupan kita hilang keberkatannya.

Jika ada yang berkata, persetankan dengan konsep ‘kerja sebagai ibadah', yang penting cukup bulan dapat gaji. Maka jika itu yang diinginkan maka persilakan. Nah! ambillah wang gaji anda yang tiada berkat itu. Keberkatannya hilang kerana anda mencuri tulang, ponteng, malas, melengahkan kerja, "hilang" waktu pejabat, guna waktu pejabat melakukan bisnes sendiri dan 1001 lagi yang melanggar peraturan. Wang itulah nanti yang akan anda sumbat ke dalam mulut anak isteri anda. Jangan pelik jika suatu hari kelak anda mendapati mereka keras hati dari petunjuk dan hidayah, menjadi mat rempit, penagih dadah, anak derhaka, bebal dan degil. Wang haram atau syubhat itu jugalah yang mungkin menjadi penyebab anda ditimpa bencana dan musibah, penyebab anda dan anak isteri anda jatuh sakit kerananya. Itulah cara Allah membersihkan wang haram dalam kehidupan kita jika ianya diambil dengan sengaja dan penuh kesedaran lalu kita tidak minta ampun dan bertaubat dari Allah SWT. Ramai yang mencari-cari kenapa hidupnya tidak tenang, selepas satu satu musibah melanda. Anak isteri asyik keluar masuk hospital, rumah asyik dimasuki pencuri, barangan kerap hilang, kereta asyik kemalangan dan seumpamanya. Periksa adakah kita "termakan" harta orang lain, atau "harta syubhat / haram" yang salah satunya mungkin melalui perbuatan tidak amanah dalam pekerjaan kita seharian.

Allah SWT yang sayangkan hambanya akan membersihkan harta dari dalam lingkaran kehidupan kita melalui penyucian-penyucian yang bersifat "paksaan" sedemikian melalui bentuk-bentuk musibah yang pelbagai. Hanya dengan cara itu, ianya akan kembali bersih. Tetapi mahukah kita dan mampukah kita sentiasa ditimpa musibah sedemikian? Ia sudah tentu menyusahkan dan jauh dari menenangkan kita. Maka sudah pasti tiada siapa pun yang mahu.

Datangnya musibah tidaklah semestinya bermakna hidup kita ini tidak berkat atau termakan harta haram/syubhat kerana musibah dan ujian juga menimpa para anbiya dan walinya yang bersih dari perkara-perkara sebegini. Lagi hampir seseorang dengan Allah, lebih banyak ujian yang diterimanya. Apa yang penting, bermusahabahlah, jika kehidupan kita setelah diteliti kembali tidak ternampak ada yang bercanggah tetapi sebaliknya benar-benar menepati landasan Syarak, maka bersabarlah atas musibah yang menimpa itu kerana mungkin ianya bertujuan meningkatkan darjat kita.

Aqad dalam pekerjaan

20 July 2016

Kereta Perodua Bezza

Klip video luaran dan dalaman kereta terbaharu keluaran Perodua iaitu Bezza sedan dengan kelas 1.0L dan 1.3L Dual VVT-i. Antara ciri-ciri menarik kereta ini, keyless entry dengan butang push start, Vehicle Stability Control (VSC) dan Hill Start Assist untuk variasi 1.3 Advance. Harga kereta bermula RM37,000 sehingga RM51,000.



Klip video Perodua Bezza



11 July 2016

Keburukan Media Sosial Dan Keruntuhan Rumahtangga Manusia Zaman Moden


Punca masalah keluarga zaman moden sekarang, apabila media sosial seperti Whatsapp, Messenger, WeChat dan sebagainya menjadi teman paling akrab melebihi pasangan masing-masing, dengan ruang masa diisi perkara-perkara lagho. Sehingga buruknya perbuatan chatting ini, perbualan berlainan jantina dibawa ke kamar tidur tidak kira waktu yang sepatutnya tempat privasi pasangan. Keburukan budaya ini juga akan terikut-ikut oleh anak-anak pasangan tersebut sehingga menjejaskan pelajaran mereka. Surah Ali Imran ayat 135 mengingatkan kita akan:
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
Cerita yang perlu dijadikan iktibar setiap pasangan bagi menjamin kesejahteraan rumahtangga ... Kisah seorang isteri diceraikan kerana terbaca Whatsapp suami


26 June 2016

Teks Khutbah Jumaat JAKIM: Berhati-Hati Dengan Pelampau Agama

Buat renungan semua di kala petang 21 Ramadhan 1437 H ...

Rasulullah SAW di dalam sebuah hadithnya yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Berhati-hatilah dengan pelampau agama.Orang dahulu telah binasa, mundur disebabkan sikap melampau dalam beragama."
Dan sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:
"Janganlah terlalu menyusahkan diri kamu. Sesungguhnya orang dahulu dari kamu menimpa kebinasaan kerana sikap melampau dan menyusahkan diri mereka sendiri. Saki baki mereka ini masih lagi boleh didapati di tempat ibadah" 
(Riwayat at-Tabari).

Menurut pandangan Prof Dr Abdul Muin Salim dalam kitabnya Fiqh al-Siasah menjelaskan bahawa: Mewujudkan suasana yang tidak stabil dalam sesebuah negara yang aman damai adalah haram.
Sengaja mewujudkan suasana porak peranda seterusnya mengundang kepada mudharat kepada orang awam hukumnya adalah haram.

Dipetik dari laman: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Teks penuh khutbah di: http://www.islam.gov.my/e-khutbah/66-bahaya-pelampau-agama

25 June 2016

How KFC founder achieved remarkable success at age 65

Colonel Sanders is best known for creating a fried chicken recipe that would become the world's fast-food chicken chain, Kentucky Fried Chicken.


● At age 5 his Father died.
● At age 16 he quit school.
● At age 17 he had already lost four jobs.
● At age 18 he got married.
● Between ages 18 and 22, he was a railroad conductor and failed.
● He joined the army and washed out there.
● He applied for law school he was rejected.
● He became an insurance sales man and failed again.
● At age 19 he became a father.
● At age 20 his wife left him and took their baby daughter.
● He became a cook and dishwasher in a small cafe.
● He failed in an attempt to kidnap his own daughter, and eventually he convinced his wife to return home.
● At age 65 he retired.
● On the 1st day of retirement he received a cheque from the Government for $105.
● He felt that the Government was saying that he couldn’t provide for himself.
● He decided to commit suicide, it wasn’t worth living anymore; he had failed so much.
● He sat under a tree writing his will, but instead, he wrote what he would have accomplished with his life. He realised there was much more that he hadn’t done. There was one thing he could do better than anyone he knew. And that was how to cook.

● So he borrowed $87 against his cheque and bought and fried up some chicken using his recipe, and went door to door to sell them to his neighbours in Kentucky.

● Remember at age 65 he was ready to commit suicide.

● But at age 88 Colonel Sanders, founder of Kentucky Fried Chicken (KFC) Empire was a billionaire.

Moral of the story: Attitude. It's never too late to start all over.
MOST IMPORTANLY, IT'S ALL ABOUT YOUR ATTITUDE. NEVER GIVE UP NO MATTER HOW HARD IT GETS.

● You have what it takes to be successful. Go for it and make a difference. No guts no glory. It's never too old to dream.



References:
https://www.facebook.com/holyghostservicetv/posts/964880656957858
http://www.myjoyonline.com/opinion/2016/June-20th/how-kfc-founder-achieved-remarkable-success-at-age-65.php
http://www.biography.com/people/colonel-harland-sanders-12353545#synopsis 
http://www.biography.com/people/colonel-harland-sanders-12353545/videos/colonel-sanders-mini-bio-2106999863




20 June 2016

Rawatan Perubatan Yang Tidak Membatalkan Puasa

Panduan umat Islam yang mengerjakan ibadah puasa sepanjang  bulan Ramadhan dan bergantung kepada ubat-ubat tertentu.


1. Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga).

2. Pil tablet nitroglycerin (GTN) atau ubat yang menyamainya yang diambil secara meletakkannya di bawah lidah tanpa ditelan bagi merawat kesakitan dada (angina pectoris) bagi pesakit jantung.

3. Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan atau pembersihan gigi dan memberus gigi dengan siwak (tooth cleanser) dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan semasa prosedur rawatan tersebut.

4. Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi, atau salur darah.

5. Pendermaan atau pemindahan darah.

6. Penggunaan ubat-ubatan dalam bentuk sapuan, balutan dan plaster pada permukaan kulit.

7. Pengambilan sampel darah untuk ujian makmal.

8. Memasukkan tiub kecil (catheter) melalui salur darah untuk tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung.

9. Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalam pesakit.

10. Berkumur-kumur (termasuk berkumur-kumur secara gargle iaitu sehingga air hampir ke tekak), dan ubat teraputik semburan ke mulut yang tidak melibatkan proses menelan.

11. Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan yang diambil daripada hati atau organ-organ lain untuk tujuan analisa makmal.

12. Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut.

13. Rawatan dialisis untuk masalah pesakit buah pinggang sama ada hemodialisis atau peritonealdialisis.

14. Menjalani rawatan bius setempat atau separuh (local) dengan semburan atau suntikan setempat.

15. Penggunaan ubat buasir yang memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa termasuk pada kawasan rongga yang dalam.


Petikan dari: Laman Facebook - Tanya Ustaz

14 June 2016

Mendengar Pandangan Pihak Musuh


(VIDEO) This former CIA officer's secret life taught her one lesson: Listen to your enemy.

Listen to your enemy :
Ada baiknya para pemimpin mendengar pandangan bekas pegawai CIA bahagian clandestine service ini, Amaryllis Fox kritikan mengenai "EVERBODY BELIEVES THEY ARE THE GOOD GUY" ...

Perbandingan seperti pasukan kerdil rebellion Star Wars Luke Skywalker dan Han Solo menentang gergasi Empire. Perumpamaan ini boleh mengadaptasi dengan peristiwa yang sedang berlaku di dalam dan di luar negara.

Semoga kisah ini menjadi pencerahan bagi kita semua. Wallahu A'lam Bishawab

31 March 2016

Umat Islam Dilarang Daripada Bergaduh, Berbalah Dan Saling Kutuk Mengutuk Antara Satu Sama Lain


Sifat suka mengutuk, maki-hamun dan mencerca orang lain bukanlah sifat orang mukmin. Nabi SAW di dalam misi dakwah baginda kepada semua manusia tidak pernah menyampaikan dakwah dengan menggunakan bahasa yang kesat dengan menyerang peribadi dan menghina keturunan dan penyembahan tuhan mereka. Tetapi Nabi SAW akan mengunakan cara yang cukup hikmah, lemah lembut, berbudi bahasa dan penuh kasih sayang.

Walaupun orang kafir cuba menghina dan mengutuk baginda di atas dakwah yang baginda jalankan, namun baginda tetap bersabar dan mengunakan cara-cara yang lembut dan memberi jawapan yang bernas dengan dalil yang kuat untuk menepis dakwaan dan penghinaan mereka. Biasanya mereka (orang-orang musrik) akan kalah berhujah dengan baginda. Ramai juga dikalangan orang kafir masuk Islam kerana tertarik dengan peribadi baginda yang mulia dan kesopanan yang tinggi.

Islam tidak membenarkan umatnya mengutuk dan mendoakan orang lain agar mendapat kecelakaan. Mengutuk ini adalah satu perbuatan yang terlarang kita lakukan sesama muslim. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud yang maksud: “ Mencaci orang Islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir.”

Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Mengutuk seorang mukmin itu seperti membunuhnya.” (Hadis Riwayat Jamaah selain Ibnu Majah, hadis riwayat Tsabit bin Adl-Dlahak)

Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Sesungguhnya seorang hamba bila melaknat seseorang nescaya laknat itu akan naik ke langit kemudian menutup pintu pintu langit di bawahnya, lalu turun ke bumi menutup pintu pintu yang lain, kemudian mengambil tangan kanan di tangan kirinya, apabila tidak memenuhi sasarannya, ia kembali kepada orang yang dilaknat dan jika tidak boleh ia akan kembali kepada orang yang melaknatnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Nabi SAW bersabda maksudnya ” Tidaklah para pelaknat itu dapat jadi penolong dan saksi di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya: ” Tidak patut seorang teman baik, mengutuk (temannya)” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Nabi SAW sentiasa mengajar umatnya supaya menjauhkan diri daripada mencaci-maki sesama muslim, menjauhkan daripada membuka aib seseorang dan mencari-cari kesalahan orang lain.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencerca, bukan yang suka menjolok jolok, bukan yang suka berbuat keji, dan bukan juga orang yang suka bercakap keji.”

Dari hadis-hadis tersebut di atas telah diterangkan bahawa mengutuk sesama muslim itu termasuk perbuatan yang berdosa, kerana kutukan dan laknat itu menjadi hak Allah SWT sahaja, dalam menghukum setiap hamba-Nya. Sehingga kita dilarang mengutuk kerana kegunaan kutukan itu mengharapkan supaya Allah SWT mencabut semua nikmat yang telah diberikan kepada hamba tersebut baik nikmat zahir maupun nikmat batin, supaya dia (orang yang dilaknat) tidak memperoleh nikmat dan anugerahNya.

Oleh kerana itu Rasulullah SAW melarang perbuatan itu, bahkan menganjurkan sebaliknya iaitu supaya saling mendoakan sesama muslim agar mendapat nikmat dan kurnia dari Allah SWT.

Hanya di dalam kes seorang muslim yang telah dizalimi , difitnah dan diaibkan dia boleh berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT menunjukkan kebenarannya dan mendatangkan musibah kepada orang yang melakukan kezaliman keatas dirinya. Supaya kebenaran itu akan terbukti dan dia berada dipihak yang benar dan dia dapat membersihkan namanya yang telah tercemar kerana berita fitnah tersebut.
Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)
Imam Nawawi telah meletakkan hukum harus bagi seorang manusia untuk mendoakan keburukan kepada orang yang menzalimi orang-orang Islam atau menzalimi dirinya sendiri.

Syeikh Ibnu Allan as-Siddiqi (pengarang syarah bagi kitab Azkar) berkata : " Maksud harus yang disebut Imam Nawawi adalah merangkumi sunat. Maksudnya ia tidak haram dan tidak makruh. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi manusia lain supaya terhindar dari kezalimannya maka hukumnya sunat. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi dirinya sendiri atau yang menyakitinya , sesungguhnya ini diharuskan untuk berdoa sebegini. Seeloknya dia maafkan dan melupakannya."

Firman Allah SWT maksudnya : " Allah tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang dengan terang-terangan melainkan orang yang dizalimi maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut ; dan Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui." ( Surah an-Nisa ayat 148)

Oleh itu sebagai seorang mukmin yang sentiasa menyampaikan dakwah dan kebenaran maka perlulah kita mengambil pendekatan secara hikmah dan berlemah lembut dan sentiasa mendoakan kebaikan kepada setiap orang yang kita dakwahkan terutama sesama muslim.

Sekiranya terdapat perbezaan pendapat bukanlah alasan untuk kita mengaibkan sesama kita dan menghemburkan caci-maki atau kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Untuk orang-orang bukan Islam kita di bolehkan mendoakan kepada mereka supaya diberikan taufik dan hidayah oleh Allah SWT dan supaya mereka beriman kepada-Nya dan masuk agama Islam.


Sumber: Facebook Tanya Ustaz

25 March 2016

Hukum Menggunakan Telefon Bimbit Ketika Khatib Sedang Berkhutbah

Mengenai Persoalan Islam Yang Kontemporari ...


Di sesetengah masjid, sebelum khatib memulakan khutbahnya, bilal yang bertugas mengingatkan para jemaah agar diam dan jangan berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah dengan membacakan sepotong hadith:
“ Barang siapa yang berkata-kata apabila khatib sedang membaca khutbah walaupun dengan berkata “diam” (melarang orang lain daripada bercakap) sekalipun, maka luputlah pahala Jumaatnya. Dari itu, diamlah dan dengarlah dengan taat, mudah-mudahan kita semua akan beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat”. ...

Bagaimanakah pula jemaah yang menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat sambil melayari dan mengemaskini status media sosial Facebook, WhatsApp, Instagram, Telegram (atau bermain games) dsbnya? ... Situasi seperti ini kerap kali terjadi, namun hampir tiada kedengaran dari agamawan dan alim ulamak teguran perbuatan jemaah yang menggunakan telefon bimbit.

Saya mentakrifkan hukum ini dengan diqiyaskan kepada maksud sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan solat fardu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia”.
~ Hadits riwayat Muslim
Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan ini adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Kesimpulannya, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Oleh itu, perbuatan ini sayugianya ditinggalkan kerana ianya mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan pahala dan kelebihan-kelebihan solat fardhu Jumaat.

Wallahu a’lam bish-shawabi

29 February 2016

7 Siti - Menjadi Ibu Dan Wanita Yang Hebat



1. Siti Maryam
Siti Maryam merupakan seorang perempuan yang sangat mulia.
Beliau amat taat dalam melaksanakan perintah Allah dan sentiasa menjauhi perbuatan maksiat dan dosa. Setiap hari yang dilaluinya dihabiskan untuk beribadat kepada Allah.
Kesucian beliau terpelihara kerana beliau tidak pernah keluar dari biliknya apatah lagi untuk dilihat dan disentuh oleh mana-mana lelaki.
Beliau merupakan wanita soleh dan suci yang Allah pilih menjadi ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam.

2. Siti Hajar
Siti Hajar adalah isteri kedua Nabi Ibrahim. Kisahnya disebut dalam al-Quran walaupun namanya tidak disebut. Selain dalam Islam, kisah beliau juga disebut dalam tradisi agama Yahudi dan Kristian.
Beliau di bawa Nabi Ibrahim ke kota purba bernama Faran yang kini menjadi lokasi Makkah. Nabi Ibrahim meninggalkan Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail dan kembali ke Palestin.
Pada saat ketiadaan air, kehausan dan kelaparan, Siti Hajar berlari-lari 7 kali antara Bukit Safa dan Marwah, hinggalah akhirnya Allah menganugerahkan Air Zam-Zam dari hentakan kaki Nabi Ismail. Tempat itu akhirnya menjadi penempatan kafilah Arab yang akhirnya membangunkan kota itu.
13 tahun kemudian Nabi Ibrahim mengunjungi Makkah dan membina semula kaabah bersama Nabi Ismail.
Hingga kini air Zam-Zam tidak pernah kering dan tempat yang kontang dulunya kini menjadi kunjungan berjuta umat Islam.

3. Siti Asiah
Beliau menjadi isteri kepada tokoh kekafiran yang paling dahsyat iaitu Firaun. Dalam masa yang sama beliau menjadi ibu angkat kepada Nabi Musa sewaktu ramai anak-anak lelaki bani Israil dibunuh. Beliaulah yang mempertahankan Nabi Musa dari kesombongan Firaun yang mengaku dirinya tuhan. Hanya Asiah, satu-satunya wanita di istana Firaun yang beriman kepada Allah.
Akhirnya Asiah dihukum pancung oleh Firaun kerana tidak berganjak pendiriannya beriman kepada Allah dan menolak pujukan Firaun supaya mengaku Firaun sebagai Tuhan.
Kisah Asiah ketika hendak dipancung ada disebut adalam ayat al-Quran dalam surah At-tahrim ayat 11 yang bermaksud.
“ Dan Allah mengemukakan satu missal perbandingan bagi orang2 yang beriman iaitu perihal isteri Firaun ketika ia berkata : “Tuhanku, binalah untukku sebuah istana di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku drpd kaum yang zalim.”
Permohonan Asiah diperkenankan oleh Allah S.W.T, lalu Allah perintahkan kpd malaikat : “ Sesungguhnya hamba-Ku memohon pada-Ku dan aku perkenankan permohonannya. Maka perlihatlah padanya gambarannya kerana suaminya di dunia akan Aku ganti dengan suami yang lebih baik di dalam syurga, istananya yang ada di dunia akan Aku ganti dengan istana yang lebih baik di dalam syurga."

4. Siti Aminah
Siti Aminah adalah wanita yang tabah mengharungi cabaran hidup biarpun kehilangan suami pada saat sarat mengandung. Ketabahannya sebagai ibu tunggal dapat dilihat apabila beliau tidak berkahwin lain selepas pemergian suaminya, Abdullah bin Abdul Mutalib.
Beliau begitu mementingkan kesejahteraan anaknya, Muhammad dengan memberikan yang terbaik buatnya. Sebagai ibu, Aminah begitu mementingkan cara didikan demi memastikan anaknya memiliki sahsiah terpuji.
Ibu yang melahirkan Nabi Muhammad, nabi junjungan kita bukan calang-calang orangnya. Beliau mempunyai kekuatan jiwa hebat kerana mampu mengawal kesedihan emosi walaupun kehilangan orang tersayang.
Tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah, bersamaan 20 April 571 Masihi, lahirlah Nabi Muhammad dengan penuh rahmat dan keberkatan daripada-Nya. Insan paling gembira mendengar perkhabaran itu adalah Abdul Mutalib.
Berkatalah Muhammad puteranya tentang nasabnya. “Allah telah memilih aku dari Kinanah, dan memilih Kinanah dari suku Quraisy bangsa Arab. Aku berasal dari keturunan orang-orang yang baik, dari orang-orang yang baik, dari orang-orang yang baik.” Dengarlah sabdanya lagi, “Allah memindahkan aku dari sulbi-sulbi yang baik ke rahim-rahim yang suci secara terpilih dan terdidik. Tiadalah bercabang dua, melainkan aku di bahagian yang terbaik.”
Aminah bukan cuma ibu seorang rasul atau nabi, tetapi juga wanita pengukir sejarah. Kerana risalah yang dibawa putera tunggalnya sempurna, benar dan kekal sepanjang zaman. Suatu risalah yang bermaslahat bagi ummat manusia. Berkatalah Ibnu Ishaq tentang Aminah binti Wahb ini. “Pada waktu itu ia merupakan gadis yang termulia nasab dan kedudukannya di kalangan suku Quraisy.”

5. Siti Khadijah
Isteri Rasulullah SAW, Saidatina Khadijah binti Khuwailid ialah wanita pertama beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Beliau banyak membantu dan mengukuhkan tekad Nabi Muhammad dalam melaksanakan risalah dakwah Islamiah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan suaminya dalam berdakwah.
Inilah keistimewaan dan keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber kekuatan di belakang Rasulullah.
Rasulullah ketika menceritakan keperibadian Khadijah bersabda, maksudnya: “ Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan daripadanyalah aku mendapatkan keturunan.”
Siti Khadijah berasal daripada keturunan terhormat serta terkenal sebagai wanita tegas dan cerdas.Beliau adalah wanita kaya dan terkenal serta mampu hidup mewah dengan hartanya sendiri. Namun semua itu dengan rela dikorbankannya untuk memudahkan tugas suaminya.Hal ini menunjukkan beliau adalah wanita yang mendorong kemajuan pahlawan umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan suaminya. Sikap inilah yang menjadi sumber kekuatan Rasulullah sepanjang kehidupan mereka.

6. Siti Aisyah
Nama penuhnya Aisyah binti Abi Bakar bin Osman, biasa dipanggil Ummu Abdillah, dan digelar Ash-Shiddiqah (wanita yang membenarkan). Dia juga masyhur dengan panggilan ummul mukminin, dan Al-Humaira’, kerana warna kulitnya sangat putih.
Dia dilahirkan tahun ke-4 atau ke-5 setelah kenabian Nabi Muhammad SAW.
Aisyah adalah isteri yang dicintai oleh Rasulullah, dan yang paling banyak merawikan hadis. Dia merawikan 2210 hadis, 279 di antaranya terdapat di dalam Shahih Bukhari.
Dia adalah wanita yang paling luas ilmu dan pemahamannya di antara seluruh wanita umat ini. Dia termasuk wanita muslimah yang paling faqih dan paling mengerti tentang sastera dan agama.
Aisyah adalah wanita yang sangat zuhud dan dermawan luar biasa, ahli ibadah dan puasa.
Aisyah yang digelar Ummul Mukminin menjadi ibu angkat kepada anak-anak yatim di mana bapa-bapa mereka syahid di medan perang.

7. Siti Fatimah
Saidatina Fatimah az-Zahra r.a. adalah puteri bongsu yang mulia Rasulullah S.A.W, Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim.
Siti Fatimah puteri kesayangan Nabi s.a.w. mendapat gelaran Assidiqah (wanita terpercaya), Athahirah (wanita suci) al-Mubarakah (yang diberikahi Allah) dan yang paling sering disebutkan adalah Fatimah Azzahra (bunga yang mekar semerbak).
Dia juga digelari Al-Batuul, iaitu yang memusatkan perhatiannya pada ibadah atau tiada bandingnya dalam hal keutamaan, ilmu, akhlaq, adab,hasab dan nasab.
Siti Fatimah az-Zahra menyaksikan sendiri betapa halangan dan rintangan yang telah dihadapi ayahandanya dalam memperjuangkan Islam. Pernah ketika Nabi s.a.w. dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi s.a.w. sedang sujud, menyembah Allah s.w.t., dengan tangisan kesedihan Siti Fatimah membersihkan tubuh Nabi s.a.w. dari kotoran yang taburkan oleh kaum Quraisy.
Kepada Salman Al-Farisi, Rasulullah S.A.W pernah bercerita tentang kearifan yang dicapai oleh Fatimah. Baginda bersabda, "Wahai Salman, ketahuilah bahawa Allah SWT telah memenuhi kalbu dan seluruh jiwa raga puteriku dengan keimanan." Sebagai pendamping hidup Saidina Ali r.a, Fatimah juga tampil sebagai isteri yang ideal dan suri rumah yang penuh tanggungjawab. Bahkan beliau turut menggerakkan beberapa protes sosial terhadap status-quo yang merampas kekhalifahan Ali r.a dan pencerobohan ke atas tanahnya.
Demikian besar peribadi Fatimah sehingga insan sehebat Imam Ali r.a merasa tenang dan damai di sisinya. "Demi Tuhan, hingga akhir hayatnya, tidak pernah aku merasa kecil hati dengan perilakunya atau memaksanya. Begitu juga tidak pernah dia merasa marah terhadapku atau tidak mentaatiku. Saat aku melihat Fatimah," kata Imam Ali, "hilanglah duka dari seluruh jiwaku."
Beliau merupakan ibu kepada Al-Hassan dan Al-Husein cucunda Rasulullah SAW.
Al-Hassan menuturkan; "Ibuku adalah dia yang memenuhi malamnya dengan doa dan munajat hanya kerana umat Muhammad."

18 February 2016

Why Do We Waste So Much Food?


Each year we waste 1.3 billion tonnes of food worldwide, a third of the total produced. Plenty of evidence suggests we do look for similar traits in both people and produce, and our perceptions of food are clearly affected by what it looks like.

An alternative explanation is that we “eat with our eyes”. Colour has a huge impact on how we perceive taste, with multiple studies demonstrating how a variety of learned and natural responses can influence the communication between our eyes and brain to determine taste.


* Because ugly food is beautiful on the inside.

via The case for buying and eating ugly fruits and vegetables - Business Insider

12 February 2016

Buah Delima Pilihan Menjaga Kesihatan



Punica granatum atau lebih dikenali sebagai buah delima menjadi pilihan ramai masa kini untuk menjaga kesihatan. Ia juga dikenali sebagai pomegranate, rumman, rumien atau rimmon.
Buah delima memang terkenal dengan khasiat kerana mengandungi antioksidan yang tinggi malah kajian menunjukkan kandungan antioksidan dalam buah itu dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding anggur merah.
Malah kualiti antioksidan delima juga dikatakan lebih baik daripada beri biru, kranberi dan oren kerana polifenol di dalamnya lebih tinggi.
Ketika ini ramai pengusaha produk kecantikan mahupun makanan berlumba menggunakan buah delima dalam produk mereka disebabkan khasiatnya. 
Delima berasal dari Iran dan juga didapati di India, Afghanistan dan Syria. Daun delima mempunyai permukaan yang berkilat dan berbentuk oblong berukuran antara tiga hingga tujuh sentimeter (sm) panjang dan 1.3sm lebar.
Bunga delima berwarna merah terang, ada yang mempunyai bunga oren terang terutama bagi spesies delima katik atau kerdil (dwarf pomergranate) atau nama saintifiknya punica granatum nana. 
INFO
MANFAAT DELIMA
- Dapat menurunkan kadar kolesterol dalam darah. Penelitian dijalankan American Journal of Clinical Nutrition, mendapati antioksidan dalam delima dapat mengurangkan oksidasi LDL (kolesterol jahat) pada tikus. Hal ini menurunkan kadar LDL dan meningkatkan HDL (kolesterol baik).
- Dapat mencegah dan mengubati barah. Buah delima memiliki khasiat mencegah dan mengubati pelbagai jenis barah. Jus delima dapat menghancurkan sel barah payudara dan mengaktifkan sel sihat. Ini kerana ekstrak biji delima kaya dengan polifenol yang berupaya memulihkan leukemia.
- Ia merencatkan barah paru-paru dan prostat. Dalam penelitian terhadap 50 lelaki yang minum 205 gram jus delima setiap hari didapati melambatkan ukuran perkembangan barah prostat.
- Buah delima dikatakan mencegah dan melambatkan penyakit Alzheimer. Kajian dijalankan ke atas tikus yang diberi minum jus delima menunjukkan sel aktif meningkat.
- Kandungan gula dalam delima bertindak sebagai ‘penggosok’ untuk menyingkirkan sel kulit mati. Hasilnya kulit segar dan muda.
- Kulit buah delima boleh digunakan untuk menghilangkan jerawat. Kulitnya yang dijemur dikisar dan digunakan bersama sedikit air perahan limau nipis.
- Dapat menghilangkan kejang kaki yang biasa dihadapi wanita hamil.
- Bagi ibu mengandung, delima baik diambil kerana kandungan asid folik tinggi mencegah kecacatan tiub saraf yang menyebabkan kerosakan pada sumsum tulang belakang dan langit bibir sumbing pada bayi.
- Ketika membeli delima, pilih buah yang berat dan kulitnya bersih tanpa cela serta tidak merekah.
- Boleh dibeli banyak kerana ia tahan enam bulan dalam peti sejuk.

07 February 2016

Hukuman Secara Adil Dan Amanah Dalam Hukum Islam Mengikut Teladan Rasulullah SAW

Isu ini dikupaskan sebentar tadi dalam rancangan Al-Kulliyyah di TV9 berkaitan isu amanah.


Hukum Islam akan bersesuaian dengan perkembangan zaman. Zaman perlu disesuaikan dengan hukum-hukum Islam bukannya hukum-hukum Islam disesuaikan dengan zaman atau mengikuti perkembangan zaman. Rasa keadilan itu  tidak bergantung pada zamannya, tetapi sebenarnya hawa nafsu manusia yang enggan menuruti hukum-hukum Islam. Maka hukum yang adil seharusnya terlepas dari hawa nafsu manusia, dan perlaksanaannya sesuai  pada setiap zaman.

Hukum Islam berlaku bagi semua muslim, samaada laki-laki, wanita, tua ataupun muda, orang hartawan atau bangsawan, pemimpin atau pun rakyat jelata.

Seorang wanita di zaman Rasulullah SAW sesudah fathu (pembukaan) Mekah telah mencuri. Lalu Rasulullah memerintahkan agar tangan wanita itu dipotong. Usamah bin Zaid menemui Rasulullah untuk meminta keringanan hukuman bagi wanita tersebut. Mendengar permintaan Usamah, wajah Rasulullah langsung berubah. Baginda lalu bersabda : "Apakah kamu akan minta pertolongan  untuk melanggar hukum-hukum Allah Azza Wajalla?" Usamah lalu menjawab, "Mohonkan ampunan Allah untukku, ya Rasulullah." Pada petang harinya Nabi SAW berkhutbah setelah terlebih dulu memuji dan bersyukur kepada Allah. Inilah sabdanya : "Amma ba'du ...
" ... Orang-orang sebelum kamu telah binasa disebabkan bila seorang bangsawan mencuri dibiarkan (tanpa hukuman), tetapi jika yang mencuri seorang awam (lemah) maka dia dijatuhkan dengan hukuman. Demi yang jiwaku dalam genggaman-Nya. Apabila Fatimah binti Muhammad mencuri maka aku pun akan memotong tangannya." Setelah bersabda begitu baginda pun kembali menyuruh memotong tangan wanita yang mencuri itu
~ (Hadis Riwayat Bukhari).

Dari sini terlihat jelas adanya persamaan di dalam perlaksanaan hukum (tidak ada sesiapa yang boleh terlepas daripada hukuman) tanpa memandang pangkat, jawatan dan kedudukan. 

31 January 2016

Resipi Masak Ikan Kelah Lemak Cili Padi



Resipi Ikan Kelah Lemak Cili Padi

Bahan-Bahannya:

● 1 ekor ikan kelah
● 2 batang serai, ditumbuk hujungnya
● 2 helai daun kunyit, disiat-siat
● 600 ml santan cair
● 200 ml santan pekat
● 8 - 10 biji limau kasturi, ambil jusnya
● Garam secukup rasa
● 15-20 biji cili padi kampung, boleh ditambah jika suka
● 1 inci kunyit hidup
● Sehelai daun kunyit, disiat-siatkan dan disimpulkan
● Secekak pucuk ubi, ambil pucuk dan rebus dengan garam & toskan

Cara-caranya:

1.   Ikan kelah  disiang tanpa buang sisik cuma dibersihkan dan diperap bersama garam dan cuci sedikit dengan jus limau kasturi selama 10 - 15 minit. Cuci kembali dan toskan. Kemudian ketepikan.

2.   Tumbuk cili api bersama kunyit hidup dan garam.  Masukkan ke dalam periuk.

3.   Masukkan serai  yang telah dititik dan santan cair, kacau dan tunggu hingga mendidih.

4.   Masukkan ikan kelah dan tambah santan pekat. Bila sudah mendidih  masukkan pula daun kunyit, pucuk ubi yang telah direbus dan masukkan  garam secukupnya.

5.   Biar mendidih perlahan  dalam 10 minit dan tuang jus limau kasturi dan biarkan mendidih lagi  sambil dikacau perlahan.

6.   Apabila sudah rasa garam ok baru dipadamkan api. Hidangkan ketika panas.

Selamat menjamu selera!