Ikatlah ilmu dengan menuliskannya ... Kerana ilmu yang ditulis akan tetap tersimpan daripada keterbatasan ingatan manusia
Books
[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News
31 March 2016
Umat Islam Dilarang Daripada Bergaduh, Berbalah Dan Saling Kutuk Mengutuk Antara Satu Sama Lain
Sifat suka mengutuk, maki-hamun dan mencerca orang lain bukanlah sifat orang mukmin. Nabi SAW di dalam misi dakwah baginda kepada semua manusia tidak pernah menyampaikan dakwah dengan menggunakan bahasa yang kesat dengan menyerang peribadi dan menghina keturunan dan penyembahan tuhan mereka. Tetapi Nabi SAW akan mengunakan cara yang cukup hikmah, lemah lembut, berbudi bahasa dan penuh kasih sayang.
Walaupun orang kafir cuba menghina dan mengutuk baginda di atas dakwah yang baginda jalankan, namun baginda tetap bersabar dan mengunakan cara-cara yang lembut dan memberi jawapan yang bernas dengan dalil yang kuat untuk menepis dakwaan dan penghinaan mereka. Biasanya mereka (orang-orang musrik) akan kalah berhujah dengan baginda. Ramai juga dikalangan orang kafir masuk Islam kerana tertarik dengan peribadi baginda yang mulia dan kesopanan yang tinggi.
Islam tidak membenarkan umatnya mengutuk dan mendoakan orang lain agar mendapat kecelakaan. Mengutuk ini adalah satu perbuatan yang terlarang kita lakukan sesama muslim. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud yang maksud: “ Mencaci orang Islam itu termasuk fasik dan membunuhnya termasuk kafir.”
Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Mengutuk seorang mukmin itu seperti membunuhnya.” (Hadis Riwayat Jamaah selain Ibnu Majah, hadis riwayat Tsabit bin Adl-Dlahak)
Nabi SAW bersabda maksudnya : ” Sesungguhnya seorang hamba bila melaknat seseorang nescaya laknat itu akan naik ke langit kemudian menutup pintu pintu langit di bawahnya, lalu turun ke bumi menutup pintu pintu yang lain, kemudian mengambil tangan kanan di tangan kirinya, apabila tidak memenuhi sasarannya, ia kembali kepada orang yang dilaknat dan jika tidak boleh ia akan kembali kepada orang yang melaknatnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Nabi SAW bersabda maksudnya ” Tidaklah para pelaknat itu dapat jadi penolong dan saksi di hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya: ” Tidak patut seorang teman baik, mengutuk (temannya)” (Hadis Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Nabi SAW sentiasa mengajar umatnya supaya menjauhkan diri daripada mencaci-maki sesama muslim, menjauhkan daripada membuka aib seseorang dan mencari-cari kesalahan orang lain.
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencerca, bukan yang suka menjolok jolok, bukan yang suka berbuat keji, dan bukan juga orang yang suka bercakap keji.”
Dari hadis-hadis tersebut di atas telah diterangkan bahawa mengutuk sesama muslim itu termasuk perbuatan yang berdosa, kerana kutukan dan laknat itu menjadi hak Allah SWT sahaja, dalam menghukum setiap hamba-Nya. Sehingga kita dilarang mengutuk kerana kegunaan kutukan itu mengharapkan supaya Allah SWT mencabut semua nikmat yang telah diberikan kepada hamba tersebut baik nikmat zahir maupun nikmat batin, supaya dia (orang yang dilaknat) tidak memperoleh nikmat dan anugerahNya.
Oleh kerana itu Rasulullah SAW melarang perbuatan itu, bahkan menganjurkan sebaliknya iaitu supaya saling mendoakan sesama muslim agar mendapat nikmat dan kurnia dari Allah SWT.
Hanya di dalam kes seorang muslim yang telah dizalimi , difitnah dan diaibkan dia boleh berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT menunjukkan kebenarannya dan mendatangkan musibah kepada orang yang melakukan kezaliman keatas dirinya. Supaya kebenaran itu akan terbukti dan dia berada dipihak yang benar dan dia dapat membersihkan namanya yang telah tercemar kerana berita fitnah tersebut.
Dari Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Hendaklah kamu waspada terhadap doa orang dizalimi. Sesungguhnya doa itu akan naik ke langit amat pantas seumpama api marak ke udara." (Hadis riwayat Hakim - sanad sahih)
Imam Nawawi telah meletakkan hukum harus bagi seorang manusia untuk mendoakan keburukan kepada orang yang menzalimi orang-orang Islam atau menzalimi dirinya sendiri.
Syeikh Ibnu Allan as-Siddiqi (pengarang syarah bagi kitab Azkar) berkata : " Maksud harus yang disebut Imam Nawawi adalah merangkumi sunat. Maksudnya ia tidak haram dan tidak makruh. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi manusia lain supaya terhindar dari kezalimannya maka hukumnya sunat. Sekiranya doa kecelakaan kepada orang yang menzalimi dirinya sendiri atau yang menyakitinya , sesungguhnya ini diharuskan untuk berdoa sebegini. Seeloknya dia maafkan dan melupakannya."
Firman Allah SWT maksudnya : " Allah tidak suka seseorang mengatakan sesuatu yang buruk kepada seseorang dengan terang-terangan melainkan orang yang dizalimi maka dia boleh menceritakan kezaliman tersebut ; dan Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui." ( Surah an-Nisa ayat 148)
Oleh itu sebagai seorang mukmin yang sentiasa menyampaikan dakwah dan kebenaran maka perlulah kita mengambil pendekatan secara hikmah dan berlemah lembut dan sentiasa mendoakan kebaikan kepada setiap orang yang kita dakwahkan terutama sesama muslim.
Sekiranya terdapat perbezaan pendapat bukanlah alasan untuk kita mengaibkan sesama kita dan menghemburkan caci-maki atau kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Untuk orang-orang bukan Islam kita di bolehkan mendoakan kepada mereka supaya diberikan taufik dan hidayah oleh Allah SWT dan supaya mereka beriman kepada-Nya dan masuk agama Islam.
Sumber: Facebook Tanya Ustaz
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment