Ramai pengguna telefon bimbit berungut bila menerima panggilan telefon atau teks pesanan ringkas (SMS) daripada pihak yang tidak dikenali untuk sesuatu perkhidmatan termasuk insurans, pinjaman bank dan kad kredit.
"Ada yang tawarkan promosi percutian percuma yang bersyarat. Perlu hadir taklimat selama 30 minit sebelum ditawar pakej percutian beribu-ribu ringgit.
"Minta kad kredit, bermacam-macam janji sehingga ke tahap penginapan percuma untuk hotel di luar negara. Menyusahkan kerana bila terima panggilan wakil jualan yang bertubi-tubi ini, kita pun termakan ajakan dan desakan,” jelas seorang pengguna, Leila (bukan nama sebenar), yang meluahkan rasa hairan bagaimana nombor telefon bimbitnya diperoleh wakil jualan.
Pada Mei 2010, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 diluluskan di Parlimen dan diwartakan pada Jun tahun yang sama.
Bagaimanapun, ia dijangka dikuatkuasakan sekitar Jun ini.
Dijamin terpelihara
Apabila berkuatkuasanya akta ini, semua aspek perlindungan data peribadi untuk tujuan komersil akan dijamin terpelihara.
Di bawah Fasal 4 akta ini, data peribadi ditakrifkan sebagai ‘apa-apa juga maklumat berkenaan dengan transaksi komersil yang tersimpan dan dikendalikan secara automatik atau dalam sistem fail'.
Ini bermaksud ia berhubungkait, baik secara langsung atau tidak langsung, dengan seorang subjek data termasuk data peribadi sensitif dan pernyataan mengenai subjek data berkenaan.
Data peribadi sensitif meliputi data peribadi berhubung kesihatan atau keadaan fizikal dan mental seorang subjek data, pendapat politiknya dan kepercayaan agama.
Mereka yang menyalahguna maklumat yang diperolehi boleh dikenakan hukuman denda maksimum tidak melebihi RM500,000 dengan kebarangkalian hukuman penjara maksimum tidak melebihi tiga tahun, bergantung kepada jenis kesalahan.
Mahkamah sesyen mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan mana-mana kesalahan di bawah akta ini.
Jenayah baru
Di bawah akta ini beberapa kesalahan jenayah baru diwujudkan dan ia tidak menyerupai kesalahan jenayah lain yang termaktub hukumannya di bawah Kanun Keseksaan.
Antara kesalahan jenayah ini termasuk kegagalan pengguna data di kalangan pertubuhan perbadanan untuk beberapa perkara seperti mendaftar, pelanggaran prinsip perlindungan data, penjualan data, pemindahan data tanpa perlindungan yang mencukupi dan pengumpulan menyalahi undang-undang.
Prof Abu Bakar Munir, pensyarah di fakulti undang-undang Universiti Malaya turut membentangkan kertas kerja pada seminar yang diadakan baru-baru ini, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama pengguna data tentang akta yang bakal dikuatkuasakan itu.
"Saya terlibat membantu Singapura dalam proses menyediakan draf untuk akta ini digunapakai di sana tidak lama lagi. Untuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di negara kita ini, saya diberi kepercayaan sebagai penasihat. Akta ini merangkumi 7 prinsip dan ia tidak terpakai langsung untuk penggunaan secara rekreasi seperti penggunaan data peribadi untuk hal-hal persendirian, keluarga dan isi rumah.
"Akta ini melindungi subjek data atau individu yang menjadi empunya kepada data itu," jelas Prof. Abu Bakar.
Antara seksyen-seksyen yang terkandung dalam akta ini yang menjelaskan kesalahan yang boleh dikenakan hukuman ialah seksyen 40(3) iaitu memproses data sensitif, 38(4) iaitu memproses data setelah kebenaran untuknya ditarikbalik dan 130(3); mengumpul, menzahirkan atau mengusahakan penzahiran data secara menyalahi undang-undang.
Akta ini juga baru diluluskan di beberapa negara di rantau ini seperti Korea dan Taiwan.