Ikatlah ilmu dengan menuliskannya ... Kerana ilmu yang ditulis akan tetap tersimpan daripada keterbatasan ingatan manusia
Books
[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News
31 July 2016
Patuhi Aqad Dalam Pekerjaan
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Sektor Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Dato' Omar Osman baru-baru ini sepertimana yang disiarkan dalam akhbar tempatan merungut kerana katanya ada sekitar 15-18,000 pekerja malas dari kalangan penjawat awam di negara kita ini. Walaupun katanya bilangan itu agak kecil dari sejumlah 1.2 juta kesemuanya, namun ianya akan menimbulkan ketidakcekapan dalam sektor awam. Pelbagai tindakan yang beliau sarankan diambil oleh majikan membendung gejala ini dari terus merebak termasuk menghantar mereka ini menghadiri kursus motivasi, diberi amaran atau diminta bersara awal.
Apa yang penulis ingin berkongsi di sini adalah sifat-sifat seperti malas, pecah amanah, rasuah, tiada integriti, memilih kerja, ponteng, mencuri tulang, "hilang" waktu pejabat, buat kerja sambilan waktu pejabat dan seumpamanya dalam kehidupan pekerjaan seseorang adalah cerminan kepada kejahilan mereka sendiri.
Ramai yang sebenarnya masih belum faham bahawa kerja itu adalah ibadah, maka kenapa perlu kita rosakkan ibadah kita dengan perkara-perkara yang tidak dibenarkan sehingga menjadikan ibadah kita tidak diterima Allah SWT. Kita tidak bercakap-cakap ketika solat, kita tidak makan atau minum ketika berpuasa, kenapa? Kerana perbuatan tersebut boleh membatalkan solat dan puasa kita. Namun kita sewenang-wenangnya membuat perkara-perkara membatalkan status kerja sebagai ibadah. Bagaimana ini boleh berlaku? Ianya terjadi apabila kita melakukan sesuatu yang menyalahi peraturan yang ditetapkan oleh majikan kita sedangkan ketika hari mula-mula kita melapor diri untuk bertugas dahulu, kita telah berikrar untuk mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. Ramai yang keluar masuk pejabat sesuka hati sedangkan peraturan tidak membenarkannya melainkan kebenaran majikan. Majikan tidak mampu mengetahui semua pergerakan kakitangannya, tetapi Allah mampu. Itu belum bercakap soal mengambil harta benda pejabat dari sekecil-kecil pen, pensil kepada yang lebih besar, mengguna kenderaan pejabat untuk urusan peribadi kesemuanya menjadikan kehidupan kita hilang keberkatannya.
Jika ada yang berkata, persetankan dengan konsep ‘kerja sebagai ibadah', yang penting cukup bulan dapat gaji. Maka jika itu yang diinginkan maka persilakan. Nah! ambillah wang gaji anda yang tiada berkat itu. Keberkatannya hilang kerana anda mencuri tulang, ponteng, malas, melengahkan kerja, "hilang" waktu pejabat, guna waktu pejabat melakukan bisnes sendiri dan 1001 lagi yang melanggar peraturan. Wang itulah nanti yang akan anda sumbat ke dalam mulut anak isteri anda. Jangan pelik jika suatu hari kelak anda mendapati mereka keras hati dari petunjuk dan hidayah, menjadi mat rempit, penagih dadah, anak derhaka, bebal dan degil. Wang haram atau syubhat itu jugalah yang mungkin menjadi penyebab anda ditimpa bencana dan musibah, penyebab anda dan anak isteri anda jatuh sakit kerananya. Itulah cara Allah membersihkan wang haram dalam kehidupan kita jika ianya diambil dengan sengaja dan penuh kesedaran lalu kita tidak minta ampun dan bertaubat dari Allah SWT. Ramai yang mencari-cari kenapa hidupnya tidak tenang, selepas satu satu musibah melanda. Anak isteri asyik keluar masuk hospital, rumah asyik dimasuki pencuri, barangan kerap hilang, kereta asyik kemalangan dan seumpamanya. Periksa adakah kita "termakan" harta orang lain, atau "harta syubhat / haram" yang salah satunya mungkin melalui perbuatan tidak amanah dalam pekerjaan kita seharian.
Allah SWT yang sayangkan hambanya akan membersihkan harta dari dalam lingkaran kehidupan kita melalui penyucian-penyucian yang bersifat "paksaan" sedemikian melalui bentuk-bentuk musibah yang pelbagai. Hanya dengan cara itu, ianya akan kembali bersih. Tetapi mahukah kita dan mampukah kita sentiasa ditimpa musibah sedemikian? Ia sudah tentu menyusahkan dan jauh dari menenangkan kita. Maka sudah pasti tiada siapa pun yang mahu.
Datangnya musibah tidaklah semestinya bermakna hidup kita ini tidak berkat atau termakan harta haram/syubhat kerana musibah dan ujian juga menimpa para anbiya dan walinya yang bersih dari perkara-perkara sebegini. Lagi hampir seseorang dengan Allah, lebih banyak ujian yang diterimanya. Apa yang penting, bermusahabahlah, jika kehidupan kita setelah diteliti kembali tidak ternampak ada yang bercanggah tetapi sebaliknya benar-benar menepati landasan Syarak, maka bersabarlah atas musibah yang menimpa itu kerana mungkin ianya bertujuan meningkatkan darjat kita.
Aqad dalam pekerjaan
Kalimah "aqad" biasanya mengingatkan kita dengan ucapara perkahwinan kerana ada majlis akad nikah. Aqad adalah ikatan atau perjanjian antara dua pihak. Aqad bukan setakat dalam nikah kahwin sahaja, aqad juga wujud dalam jual beli dan aqad juga ada dalam kehidupan seharian kita apabila kita masuk dalam perkara yang melibatkan "perjanjian". Apabila kita mula-mula menerima kerja dahulu, biasanya kita diberi Surat Tawaran yang menyatakan dengan terperinci syarat-syaratnya, terma-terma termasuk gaji dan elaun, waktu bekerja dan lain-lain. Kebiasaannya, kita akan diminta menandatangani menerima tawaran jika bersetuju dengan terma-terma yang dinyatakan dalam surat berkenaan. Maka apabila ditandatangani, bermakna terbentuklah aqad antara kita dengan majikan. Aqad itu Perjanjian kita dengan majikan yang Allah menjadi saksinya samada kita sedar atau tidak. Sesiapa sahaja saksi di dunia ini tidak penting, tetapi yang lebih penting ialah saksi akhirat kelak.
Perjanjian perlu dipatuhi dan perlanggarannya oleh mana-mana pihak adalah khianat. Terlalu banyak ayat-ayat al-Qur'an dan hadith-hadith yang memerintahkan berpegang kepada janji dan perjanjian. Mematuhi perjanjian itu terpakai selama mana kita bekerja dan menerima gaji dari majikan berkenaan. Allah memerintahkan kita agar melaksanakan perjanjian dimaterai sepertimana mafhum firmanNya: "Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad (perjanjian)". (al-Mai'dah:1). Lalu, menjadi kewajipan kepada kita di sisi Syarak mematuhi semua perjanjian kita dengan majikan, termasuk peraturan-peraturannya, pekelilingnya dan arahan majikan dari semasa ke semasa selama mana tidak memerintah maksiat kepada Allah. Jika kita merasa tidak senang dengan peraturannya, maka kita bebas meletak jawatan dan mencari pekerjaan lain, tiada siapa yang boleh halang. Ada manusia yang tidak suka dikongkong oleh peraturan, maka orang begini silalah bekerja sendiri dan menjadi majikan sendiri. Berilah peluang pekerjaan kepada 20 ribu siswazah yang masih menganggur untuk mengisi jawatan anda itu jika anda tidak mahu mematuhi syarat-syarat pekerjaan. Bersara awal, seperti kata Presiden CUEPACS. Yang lebih sedihnya, orang sebegini menjadi talam dua muka atau gunting dalam lipatan, menghentam dan memburukkan majikannya di belakang sedangkan di penghujung bulan masih menerima gaji di tempat yang sama.
Setiap perjanjian kita sesama manusia, samada dengan majikan atau dengan orang perseorangan akan disoal kembali di sisi Allah SWT kelak sejauh mana kita menunaikan terma-terma perjanjian tersebut. Jangan kita ingat bahawa kita boleh terlepas dari hukuman hanya kerana di dunia dahulu majikan kita tidak sedar, atau tidak tahu aktiviti khianat kita terhadap pekerjaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment