Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

Showing posts with label mahluk halus. Show all posts
Showing posts with label mahluk halus. Show all posts

20 February 2012

Pramugari Ditiduri Hantu Raya



TINGKAP di bilik utama dipercayai menjadi laluan masuk hantu raya ke dalam rumah Keena.



CUACA pada malam itu agak dingin. Semua penghuni rumah teres dua tingkat di Nilai, Negeri Sembilan itu sudah tidur semasa Keena pulang daripada kerja.
Pada masa itu jarum jam menunjukkan pukul 11 malam. Pramugari itu terus ke bilik air untuk membersihkan tubuh setelah 13 jam mengharung penerbangan dari London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.
Sedang dia asyik menghayati siraman air suam kuku, tiba-tiba pandangan mata Keena terarah kepada sebuah objek yang melekat pada cermin pemisah bilik airnya.
Dek terlalu letih, Keena tidak banyak berfikir. Dia menyangkakan objek itu mungkin seekor kelawar yang tersesat ke dalam kamar mandinya. Seketika kemudian objek berwarna hitam itu lenyap.
“Bila diamati betul-betul ia seolah-olah tapak tangan lembaga hitam yang diletakkan pada cermin itu,” tutur Keena, 37.
Putus tunang
Sejak setahun lalu, ibu tunggal itu sudah terbiasa dengan kejadian pelik di rumahnya. Rumah tersebut didiami Keena bersama ibu, adik dan seorang anak lelakinya.
Malah, adik perempuan Keena mendakwa pernah melihat makhluk seakan-akan beruk besar berdiri di atas bumbung rumahnya. Jelas Keena, sejak bercerai dengan suaminya enam tahun lalu, rumah itu tidak lagi tenteram seperti dahulu.
Ada sahaja gangguan misteri berlaku. Daripada bunyi bising hinggalah jelmaan makhluk hitam berbulu yang menemani tidurnya.
“Lampu terpadam tiba-tiba, bunyi orang sedang berjalan dan benda mencakar dinding sudah menjadi perkara biasa buat saya. Kadang-kadang ada bunyi guli melantun di atas siling.
“Semasa tidur pula ada makhluk berbulu hitam pekat sering menindih saya. Apabila dibacakan ayat Kursi dan dilaungkan azan ia akan hilang tetapi akan muncul semula.

SEMASA azan dilaungkan terdapat bunyi seakan-akan almari diketuk.


“Bukan itu sahaja, sejak mengalami gangguan itu, emosi saya selalu tidak stabil. Saya menjadi semakin panas baran dan mudah marah,” jelas Keena dalam nada sugul kepada Jurnal.
Dia tidak sahaja diganggu oleh bunyi-bunyi aneh dan jelmaan makhluk yang menyeramkan, bahkan kehidupan peribadi Keena turut merudum.
Setelah bercerai dengan suaminya yang merupakan seorang pramugara pada tahun 2006, Keena mengalami banyak kegagalan dalam percintaan.
“Dalam tempoh itu saya sudah bertunang sebanyak tiga kali. Apabila hampir untuk diijabkabulkan, hubungan kami terputus tanpa sebab. Saya baru sahaja putus tunang dengan seorang mualaf.
“Dia tiba-tiba tidak jadi berkahwin dengan saya walaupun hanya tinggal seminggu lagi. Saya bingung, mengapa semua ini berlaku?” kata Keena.
Menyedari keanehan itu, Keena berjumpa ramai pakar perubatan Islam untuk mendapatkan rawatan. Malangnya keanehan berlaku lagi sewaktu dia membawa seorang ustaz ke rumahnya untuk berubat. Dalam perjalanan itu, kereta mereka dihalang oleh seekor ular besar berwarna hitam.
Ular itu bagaikan hendak menghalang ustaz itu daripada tiba ke rumah Keena.
“Sewaktu menjemput seorang ustaz daripada jalan utama ke kawasan rumah saya, konvoi kami dihalang oleh ular itu.
KEENA bukan sahaja menderita disihir bahkan rumahnya diganggu hantu raya.


Disetubuhi
“Ular berwarna hitam yang berdiri setinggi kereta itu berada betul-betul di tengah laluan kami sebelum ia tiba-tiba lenyap.
“Anak saya memberitahu bahawa dia seperti sedang menonton rancangan National Geographic secara langsung. Itulah pertama kali saya melihat ular yang begitu besar,” tutur Keena.
Menurut seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafei, Keena sebenarnya menderita akibat disihir dan diganggu hantu raya.
“Makhluk berbulu yang sering dilihat Keena itu kalau di kampung dipanggil hantu raya. Ia dibela sejak zaman-berzaman dan dihantar untuk memecahbelahkan kehidupan orang lain.
“Dalam diri Keena sendiri ada makhluk halus yang bersarang. Kerana itulah emosi dia kerap terganggu kerana terdapat kesan lebam pada tubuhnya,” tutur Shamsuri.
Tambah Shamsuri, lebih teruk apabila makhluk berbulu setinggi manusia biasa itu boleh melakukan persetubuhan dengan mangsa.
“Ada mangsa gangguan hantu raya yang mengaku dia disetubuhi oleh makhluk itu. Biarpun dalam keadaan tidak sedar, tetapi ciri-ciri seperti seseorang yang selesai bersetubuh itu terdapat pada mangsa,” tambah Shamsuri.
Baru-baru ini, Shamsuri melakukan proses menghalau makhluk tersebut dan memagar rumah Keena dengan bacaan ayat-ayat rukyah.
Setiap bilik di rumah Keena dibacakan ayat-ayat suci berserta bacaan doa untuk menghalau makhluk ghaib tersebut. Sebuah bilik di bahagian belakang yang didakwa oleh Shamsuri sebagai tempat hantu raya tersebut duduk dilaungkan dengan alunan azan.
SHAMSURI membaca ayat rukyah ketika proses menghalau makhluk halus itu.


Ketika Shamsuri dan tiga orang pembantunya melaungkan azan secara serentak itu, perhatian Jurnal tertarik oleh bunyi dari sebuah almari.
Bunyi jari telunjuk yang mengetuk pintu almari itu bersahutan sebanyak empat kali sebelum ia berhenti.
Jelas Shamsuri, apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran dan azan, makhluk halus tersebut akan berasa panas dan marah. Seterusnya akan kedengaran bunyi-bunyi seperti mencakar dinding, bunyi cawan dan harimau mengaum.
“Tanda-tanda ini akan berlaku pada waktu malam selepas ia dihalau. Ini bermakna ia tidak akan mengganggu lagi mangsanya,” kata Shamsuri.














Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my

Rujukan:  http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0219&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

24 June 2009

Rahsia Toyol Dan Pemelihara Toyol


Toyol berperangai seperti anak kecil yang mempunyai susuk tubuh setinggi 50-60cm sahaja. Kulitnya merah kemerahan dan berwajah bulat dengan mata agak terkeluar sedikit. Dahinya menonjol, mulut lebar dan berkepala botak. Kegemarannya sama seperti anak kecil yang ingin dibelai dan mengikut apa yang dikehendakinya. Memiliki perwatakan sedikit nakal, suka mengomel tetapi licik dan pandai menjerumuskan manusia mengikut telunjuknya.

Ia adalah dari bangsa jin kafir yang kebanyakannya dipergunakan oleh manusia untuk mendapatkan wang dan menjadi kaya dengan cepat. Penggunaan toyol adalah merupakan kaedah ghaib bagi memperkayakan diri pemeliharanya yang jauh menyimpang dari ajaran agama dengan merompak dan mencuri harta benda orang lain secara ghaib.

Seorang penguasa dari bangsa jin kafir yang darjat dan kekuatannya lebih tinggi dari bangsa toyol akan mengawal dan memelihara ribuan toyol. Tempat yang digemari oleh toyol ialah tempat yang di kuburan yang dianggap keramat oleh manusia, gelap, sunyi dan jauh dari kegiatan keagamaan. Tidaklah menjadi hairan jika golongan toyol ini berada di hutan-hutan tebal, bukit bukau, kuburan dan tempat-tempat yang diadakan pemujaan.

Toyol sangat mudah berdamping dan bekerjasama dengan manusia walaupun dengan syarat-syarat tertentu yang dikenakan ke atas manusia. Melalui seorang perantara yang memiliki ilmu hitam, seseorang itu boleh mendapatkan khidmat toyol dan memeliharanya jika beberapa syarat dapat dipatuhinya. Syarat-syarat yang dikenakan adalah segala yang bertentangan dengan hukum Allah SWT dan perkara ini amat disukai oleh iblis dan anak buahnya bangsa jin kafir. Antara syarat-syarat yang dikenakan ke atas seseorang yang ingin memilihara toyol ialah:
  1. Tidak boleh mengamalkan ajaran agama.
  2. Tidak boleh membuat kebajikan atau kebaikan.
  3. Bersedia menyerahkan isteri untuk disetubuhi toyol atau menghisap susunya.
  4. Bersikap cinta kepada harta benda.
  5. Menyediakan sajian untuk makanan toyol.
  6. Rumah harus jauh dari orang ramai dan kegiatan agama.
  7. Suasana rumah harus redup.
  8. Sediakan ruang atau bilik khusus yang berbau kemenyan sebagai tempat tinggal toyol.
  9. Harus bersikap lembut dan santun terhadap toyol kerana toyol itu seperti anak kecil.
  10. Harus membawa toyol berjalan-jalan mengikut kehendak toyol.
Masyarakat boleh mengetahui ciri pemilik toyol dengan memperhatikan keadaan atau perilakunya. Perilaku seseorang pemilik toyol adalah tidak berlaku pada masyarakat umum atau keadaan yang logic yang menyebabkan suatu suasana. Ciri-ciri pemilik toyol antara lainnya ialah:
  1. Pemilik toyol mempunyai isteri yang gemuk dengan payudara yang besar.
  2. Berjalan dengan tangan di belakang seperti menggendong sesuatu.
  3. Suami isteri pemilik toyol memiliki sifat peribadi yang berlainan dengan masyarakat umum seperti pendiam namun menonjolkan kebatilan secara tiba-tiba.
  4. Rumahnya yang dahulunya ramai penghuni tetapi sunyi secara mendadak.
  5. Sering mendiamkan diri dalam masa yang lama bila berada di rumah orang kaya.
Setelah syarat-syarat dipersetujui, maka perantara akan berhubung dengan penguasa toyol dari bangsa jin untuk menghadirkan toyol di hadapan bakal tuannya. Toyol dihadirkan dengan memunculkan terus di hadapan bakal tuannya untuk dibawa pulang. Kos bagi memiliki toyol kelas rendah antara RM100 – RM1000, bagi toyol kelas pertengahan antara RM1000 – RM2000 sedangkan toyol diperingkat tinggi antara RM2000 – RM5000.

Walaupun setelah dibayar, pemiliknya tidak boleh terus membawa toyol pulang kerana toyol harus dilatih untuk mengenal matawang. Hal ini terjadi jika seseorang itu membeli toyol dari luar negara. Namun di Malaysia, toyol sudah mengenali nilai mata wang Ringgit. Cuma ianya dilatih untuk mengambil jumlah wang tertentu dengan keadaan baik tanpa diketahui oleh tuan empunya wang. Toyol hanya akan mencuri jumlah wang yang telah diberitahu atau dilatih oleh pemiliknya sahaja.

Memelihara toyol adalah mengikut kesesuaian kelas toyol. Toyol kelas rendah hanya memerlukan sesajian yang ringan dengan menyediakan tempat tinggal yang biasa sahaja. Sedangkan toyol kelas pertengahan dan tinggi memerlukan penyajian yang mewah dan berkualiti serta tempat tinggal yang bagus.

Menjaga toyol tidak jauh bezanya dengan menjaga anak kecil. Ianya harus dimanjakan dan dituruti apa yang menjadi keinginannya seperti bunga tujuh jenis yang segar, bubur harus panas dan bilik yang ada bau kemenyan dan lembab. Pemiliknya harus sentiasa bersiap sedia setiap saat untuk melayani toyolnya terutama memberi makan dan menyusuinya.

Penjagaan yang baik dan tidak leka setiap masa oleh pemiliknya akan memberi kesan yang positif kepada pemiliknya. Namun jika toyol yang berbangsa jin kafir yang mempunyai perangai paling cerewet, manja dan mengomel ini tidak puas hati dengan layanan pemiliknya, ianya akan berhenti dari mencari wang bahkan akan membocorkan rahsia pemiliknya dengan menjelma di sekitar rumah pemiliknya atau mencuri hanya di kawasan sekitar jiran-jiran pemiliknya. Bahkan jika toyol kelas pertengahan dan tinggi akan berlagak kurang ajar dengan memaksa pemiliknya membenarkan isterinya disetubuhi oleh toyol pada setiap malam. Akhirnya, tujuan untuk menjadi kaya dengan pantas tidak tercapai dan isteri tergadai maruahnya kepada sang toyol yang menggatal.

Jika ditinjau dari sisi agama Islam bahawa berhubungan untuk meminta tolong dari toyol sebagai bangsa jin kafir sangat tidak mungkin membawa kebaikan bagi manusia bahkan akan membawa kepada keburukan dan kebinasaan dunia dan akhirat.

Masyarakat hendaknya tidak terliur dan terjebak dengan fenomena menggunakan khidmat toyol untuk mendapatkan kekayaan dengan jalan yang menyesatkan ditegah oleh agama.


Prof. Dr. Hj. Shahrin Abd Rahman PhD

26 January 2008

20 Tahun Diganggu Jin Saka Malah Dirogol

Gangguan jin saka adalah perkara yang boleh dikatakan kerap juga berlaku dalam sesetengah keluarga masyarakat Melayu. Ia adalah keadaan bila mana seseorang itu dihuni tubuhnya atau didampingi oleh jin (berbagai jenis) sama ada dia sendiri mahukan perkara itu atau dia terperangkap (oleh perbuatan orang lain), atau atas faktor keturunan. Seorang guru wanita yang telah berkahwin lebih 3 tahun (tapi belum dapat anak) kini sedang diganggu saka dan masih dalam peringkat berubat. Punca saka itu adalah dari bapa mertuanya (kini sudah meninggal). Khabarnya semua adik-beradik suaminya juga diganggu oleh saka tersebut. Gangguan itu agak menyukarkan juga. Petik suis lampu tidak menyala, terdengar bunyi seakan anak kucing mengiau, bunyi seperti orang main guli, bunyi kerusi ditarik, bunyi mencakar-cakar, termasuklah rumah berdentum dan bergegar. Hal itu menyeramkan bulu roma hinggakan guru wanita itu tidak berani balik ke rumahnya sekembali dari kerja. Dia duduk di masjid sementara menunggu suaminya pulang dari kerja (suaminya kerja hingga jam 10 malam). Di waktu malam pula, walaupun suaminya ada di sisinya, dia tetap diganggu dengan berbagai bunyi hingga sukar untuk tidur.




*********************************************************************
 

'Saya dan adik beradik selalu terlihat lembaga hitam yang besar seakan manusia setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling'

"SAYA menerima qada dan qadar ini serta reda atas setiap ujian Allah SWT tetapi kadang-kadang saya terfikir mengapa seseorang itu sanggup 'mengorbankan' keluarga sendiri demi mewarisi adat nenek moyang yang jelas bertentangan dengan Islam."

Begitulah luahan seorang wanita selepas membaca rencana mengenai angkara Saka yang disiarkan dalam Dimensi, tiga minggu lalu. Wanita yang hanya mahu menggelar dirinya Alia, menghantar emel untuk berkongsi pengalamannya lebih 20 tahun dihantui Saka yang diwariskan datuk kepada ayahnya. Berikutan itu, Alia menetap di luar negara untuk mengelak pelbagai gangguan mistik dan menyeramkan angkara saka itu. Ikuti luahannya:


Datuk meninggal dunia ketika saya masih kecil, baru darjah dua. Sebelum meninggal, datuk sebelah ayah lumpuh selama setahun.

Sejak kematian datuk, selalu ada kesan lebam di badan saya terutama paha ke bawah tetapi ibu anggap ia perkara biasa kerana kanak-kanak sering bermain, kerap jatuh dan terlanggar.

Ketika saya di sekolah rendah, ayah bekerja di negeri lain menyebabkan kami tinggal berasingan. Ketika ketiadaan ayah, saya dan adik beradik lain selalu terlihat kelibat lembaga hitam yang amat besar dan berbentuk seakan manusia di rumah kami. Lembaga hitam itu setinggi kira-kira dua meter sehingga mencecah siling.

Saya selalu demam terkejut melihat lembaga berkenaan. Saya beritahu ibu tapi ibu kata itu hanyalah khayalan kanak-kanak.

Disebabkan ayah bekerja di negeri lain, dua minggu sekali barulah dia pulang melihat kami. Dua atau tiga hari sebelum ayah pulang, saya dan ibu pasti terdengar suara ayah memanggil tetapi apabila berlari ke pintu dan membukanya, saya hanya terlihat kelibat lembaga hitam.

Ibu selalu mengadu sakit pinggang dan bisa di kaki. Badannya terasa seperti dicucuk jarum halus apabila ayah pulang. Dalam rumah pula, selalu muncul serangga seperti belalang bersaiz empat hingga lapan sentimeter panjang, berwarna hijau keperang-perangan dan merah malah serangga itu berbunyi sungguh kuat dan berdesing.

Ketika kami berpindah tinggal bersama ayah apabila saya di sekolah menengah, keadaan menjadi bertambah teruk. Saya selalu lewat bangun ke sekolah kerana setiap malam, badan terasa dihimpit lembaga hitam yang besar.


Apabila bangun tidur, lebam sebesar syiling 50 sen atau lebih besar kelihatan di kaki dengan kesan gigitan. Pinggang terasa seperti paku mencucuk. Sebelum datang haid, saya ada lebam di paha dan kitaran haid juga tidak normal malah kadang-kadang tiada langsung.

Sebelum muncul lebam, serangga seperti belalang muncul dalam rumah bersama bau bangkai yang amat busuk selain bau darah hanyir. Perkara ini kerap berlaku pada malam Jumaat dan badan saya akan berasa panas. Saya sering mengadu kepada ayah sebaliknya dimarahi dan memberi pelbagai alasan.

Disebabkan terlalu kerap menghidap penyakit itu, saya, ibu dan adik-beradik lain mengambil ujian darah kerana khuatir menghidap leukimia. Ujian darah bagaimanapun mengesahkan kami sihat.

Disebabkan keadaan kami semakin mudarat dan pemeriksaan kesihatan moden gagal mengesan sebarang penyakit, kami cuba berubat tradisional dan ramai pengamal perubatan mengatakan kami terkena sihir.

Ada antara mereka menyuruh kami mandi air garam, air daun, air tujuh masjid, tujuh kolah, tujuh perigi, air zamzam, meletak jala dalam rumah dan pelbagai kaedah lain tetapi lebam, bisa badan dan sakit pinggang tidak berkesudahan malah semakin teruk.

Perangai ayah juga berubah sejak kami tinggal bersamanya. Setiap malam Jumaat, dia bergegas ke rumah nenek tapi sebelum itu akan mengamuk dan naik berang tanpa sebab hingga kami ketakutan.

Kami terus berubat tradisional dan daripada seorang pengamal perubatan, kami diberitahu masalah ibu dan saya berpunca daripada 'belaan' keluarga suami. Dia menyatakan lebam itu akibat jin belaan memakan darah sebagai perjanjian menjaga harta benda dan anak cucu yang dibuat lama dulu oleh keturunan ayah.

Beliau menyuruh ibu membawa ayah berjumpa dengannya jika hendak berubat. Pengamal perubatan menjelaskan sendiri kepada ayah tapi sebaik mendengar penjelasan itu, ayah benar-benar marah dan tidak percaya. Dia menuduh keluarga ibu terbabit.

Kali ketiga kami datang untuk berubat, pengamal perubatan itu tidak lagi mahu menerima kedatangan kami kerana keluarganya kacau bilau dan isteri pengamal perubatan itu dirasuk lembaga hitam dan berbulu. Yang peliknya, sesiapa saja termasuk pengamal perubatan yang hendak menolong saya dan ibu pasti dilanda musibah pelik-pelik.

Sejak itu, saya dan ibu sakit bertambah teruk - selalu demam, tidur malam terasa dihimpit dan bermimpi dirogol lembaga hitam besar.

Sehinggalah kami bertemu seorang ustaz untuk berubat. Selepas diperiksa, ustaz itu mula menerangkan dengan terperinci perkara sebenar:

"Keturunan sebelah ayah dulu ada membuat perjanjian dengan makhluk itu melalui perantaraan seseorang yang dianggapnya sebagai 'wali' ketika menuntut. Wali itu menghadiahkan 'khadam' untuk menolong menjaga harta benda dan keturunan anak cucunya, membuka kebun selain menjadikan orang lain melihatnya gagah, kuat dan berasa gerun.

"Selepas datuk meninggal, makhluk itu terbiar lama, tidak diberi layanan dan ganjaran seperti janji tuannya dulu menyebabkan ia mengamuk dan mahukan layanan. Sebelum kehadiran makhluk jin besar keturunan Ifrit jantan atau digelar hantu raya dalam budaya Melayu itu, akan ada bau busuk dan serangga seperti belalang atau serangga lain.

"Makhluk itu berbulu seperti mawas, amat ganas dan memakan darah dan air mani manusia untuk hidup, akan menggigit dan meninggalkan tanda kepada semua keturunan keluarga ayah," katanya.

Ustaz itu juga menerangkan, makhluk itu kadang-kadang menyerupai ayah dan sering merogol ibu dan saya ketika tidur. Apabila kami tidur, kadangkala bermimpi melahirkan anak kecil.

Makhluk itu juga berupaya mengacau-bilau dan memecah belahkan keluarga jika tuntutannya tidak dipenuhi. Ustaz itu menambah, jika tidak berhati-hati, kemungkinan ada kematian kerana makhluk itu mahukan makanannya (darah) yang banyak. Saya tidak tahu betul atau tidak, tetapi ramai keluarga di sebelah ayah yang mati pada usia muda. Wallahualam.

Kami berubat tapi masalah lebam masih berterusan dan mimpi dirogol masih berterusan. Saya juga kerap bermimpi anak kecil selain bermimpi melahir dan menyusukan bayi. Pernah sekali antara sedar dan tidak, saya melihat lembaga hitam menyerupai ayah mengaku yang 'ia' sudah mati dan hendak memeluk saya.

Apabila saya sedar, saya menjerit dan lembaga itu hilang. Dua tiga hari selepas insiden itu, bau hanyir darah memenuhi bilik. Semua cadar dicuci tetapi bau masih ada. Insiden pelik lain ialah bunyi sesuatu menghempap bumbung dan mencakar siling terutama pada tengah hari dan malam.

Kelakuan ayah juga pelik apabila membiarkan sekeping bumbung (atap) rumah terbuka pada setiap bilik, meletakkan parang atau sebilah pisau kecil di bawah permaidani, katil atau kerusi dan makan dalam kuantiti yang banyak malah berpinggan-pinggan.

Ayah juga ada menyimpan keris kecil yang katanya, pusaka yang harus dijaga rapi selain sehelai kain putih berbentuk gelang yang dililit.

Setiap malam Jumaat atau malam Rabu, ayah memakai wangian yang baunya sungguh kuat dan membuka semua tingkap dengan luas. Ayah juga tidak mahu tidur dengan ibu dan mengunci diri dalam bilik keseorangan.

Pernah saya mengintai dan melihat dia bercakap seorang diri dan ketika itu di luar rumah ada bunyi serangga seperti belalang yang berdesing kuat.

Ustaz yang kami temui juga pernah berkata, datuk saya itu tidak boleh meninggal dunia selagi 'amalannya' diturunkan kepada waris keturunannya menyebabkan ustaz itu menasihatkan saya dan ibu memutuskan hubungan dengan ayah dan duduk sejauh mungkin bagi mengelakkan gangguan berterusan.

Alhamdulillah, kami mengikuti nasihat itu. Kini saya menetap di luar negara dan dalam proses membawa ibu tinggal bersama-sama. Masalah lebam masih ada tetapi sudah tidak seteruk dulu.

Buat masa ini, saya mengamalkan bacaan beberapa ayat suci al-Quran dan bersolat lebih tekun untuk mengelak diganggu. Bisa di badan dan mimpi dirogol atau dihempap makhluk hitam, Alhamdulillah sudah tiada.

Memang sukar untuk masyarakat mempercayai perkara ini, tetapi pada hakikatnya inilah masalah yang melanda masyarakat Melayu hingga kini.

Mungkin ada sesetengah pihak menganggap perkara ini remeh tetapi amalan saka jika tidak dibendung membawa mudarat - perpecahan rumah tangga, perceraian suami isteri, syak wasangka, pergaduhan antara saudara dan masyarakat, sakit misteri berlanjutan dari segi fizikal dan mental serta hidup tidak lagi tenang.

Saya berharap jika ada sesiapa yang menghadapi masalah saka, berubatlah dan buanglah perkara jahil ini. Bertaubat serta kembalilah ke jalan Islam yang sebenar dan percayalah kepada kekuasaan Allah dan amalan Nabi dan Rasul.


'Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.'
- surah Al-Jinn : 6
 
 


INFO: Saka





  • Saka adalah amalan mewarisi jin atau syaitan untuk membolehkan makhluk halus itu memberikan pemiliknya pelbagai kekuasaan ghaib seperti kekuatan luar biasa, kecantikan, pengaruh dalam masyarakat dan pelbagai lagi.
  • Hukum mewarisi dan menggunakan saka adalah syirik dan haram di dalam Islam.
  • Jin yang menjadi saka boleh memperdaya tuannya seperti menjelma di dalam mimpi sebagai seorang yang warak dan kuat beribadat. Akan tetapi ia bagi memastikan manusia itu terpedaya dengannya seterusnya sesat dari Islam.
  • Saka tidak semestinya diwariskan kepada saudara sedarah tetapi kepada sesiapa saja dan cara mewariskan saka pula pelbagai antaranya menerusi perbuatan seperti bersalaman, menerusi lafaz atau menyerahkan barang tertentu seperti keris, cincin, azimat termasuk kertas bertulis ayat al-Quran