Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

09 November 2011

Sakit Bagai Dicucuk Jarum - Pesakit Diabetes

SEJAK disahkan menghidap kencing manis (diabetes) lebih tujuh tahun lalu, Halim (bukan nama sebenar) berusaha untuk menjalani gaya hidup sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan bersenam.

Begitupun sejak beberapa bulan kebelakangan ini tapak kaki dan kadang kala hujung jarinya terasa sakit dan pedih bagai ditusuk jarum atau benda tajam.

Rasa sakit tersebut pada awalnya berlaku sesekali tetapi sekarang semakin kerap sehingga kadang kala tidak tertanggung.

Keadaan itu bukan saja membuatkan dia rasa tidak selesa, malah sukar untuk berjalan, bekerja dan tidur sekali gus menjejaskan kualiti hidupnya.

Keadaan tersebut turut meresahkan orang kelilingnya terutama isteri dan anak-anak yang berasa buntu tidak tahu apa yang boleh dibuat setiap kali Halim diserang rasa sakit.

Merujuk kepada doktor, Halim diberitahu dia mengalami gejala kerosakan saraf atau painful diabetic peripheral neuropathy (pDPN) yang lazim dialami pesakit diabetes.

Menjelaskan lebih lanjut simptom ini Pengarah Kampus Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata, hampir 50 peratus pesakit diabetes di negara ini akan mengalami simptom tersebut kerana kerosakan saraf.

Katanya, pDPN merupakan antara penderitaan yang sering dialami selain komplikasi-komplikasi lain seperti serangan jantung, kegagalan buah pinggang, strok, buta, gangren kaki dan sebagainya.



Menurutnya, tinjauan kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan edisi ketiga yang dijalankan pada 2006 mendapati penularan diabetes telah meningkat kepada 14.9 peratus berbanding satu dekad yang lalu.

Keadaan ini telah meningkat hampir dua kali ganda dalam dekad yang lalu.

Dalam masa yang sama 50 peratus pesakit tempatan yang disahkan menghidap diabetes dalam tempoh enam hingga 10 tahun didapati mengalami pDPN.

"Rasa mencucuk-cucuk dan pedih pada kaki atau hujung jari jika berlarutan akan menjejaskan kesihatan tubuh secara keseluruhan,'' ujarnya.

Malangnya, jelas beliau, kesedaran terhadap penyakit ini amat kurang, menyebabkan pesakit hanya membiarkan saja rasa sakit itu sehingga ia hilang sendiri buat seketika.

Kesakitan biasanya akan bermula pada bahagian jari kaki atau jari tangan dan melarat ke bahagian betis dan lengan.

"Ketika itu pesakit akan berasa kebas pada bahagian jari kaki dan juga jari tangan selain merasai kebas tidak dapat menahan rasa panas dan sejuk,'' ujarnya lagi.

Menurut Dr. Mafauzy lagi, pesakit juga akan mengalami lemah otot serta tidak dapat menyeimbangkan badan.

Keadaan itu jika dibiarkan akan menyebabkan kemudaratan kepada pesakit itu sendiri.

"Sebab itu adalah sangat penting untuk pesakit mendapatkan rawatan awal bagi mengelakkan ia berterusan," katanya.

Katanya lagi, kesakitan itu berlaku kerana satu atau lebih saraf mereka rosak kesan daripada penyakit diabetes yang dihidapi.

Begitupun, terdapat banyak faktor lain yang turut menyumbang kepada kerosakan saraf ini.

"Pada ketika ini pesakit akan mengalami kesakitan yang amat sangat sehingga ke peringkat sukar untuk berjalan, tidur, berkerja dan menjejaskan mood pesakit," katanya.

Dalam keadaan itu kata Dr. Mafauzy, pesakit akan menjalani beberapa pemeriksaan neurologi untuk mengenalpasti punca dan juga sejauh mana kerosakan saraf yang dialami.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Persatuan Diabetes Amerika mendapati 58 peratus pesakit tidak menyedari bahawa kesakitan yang dialami mereka adalah disebabkan daripada Diabetes.

Justeru pesakit diabetes perlu mendapatkan nasihat doktor dalam memilih rawatan yang betul untuk membantu menguruskan keadaan mereka yang menyakitkan.

Katanya lagi, dalam keadaan ini rawatan yang paling penting adalah kawalan tahap gula dalam darah secara ketat untuk mengelakkan lebih banyak saraf rosak.

Justeru, pesakit disaran serius menjalani rawatan sebaik penyakit dikesan bagi mengelak risiko.

Sementara itu, menurut laporan Akademi Neurologi Amerika (AAN), Persatuan Perubatan Saraf Otot Elektrodiagnostik Amerika, Akademi Perubatan Fizikal dan Pemulihan Amerika, menggariskan rawatan paling berkesan untuk melegakan kesakitan saraf akibat diabetes ialah ubat pregabalin.

Menurut garis panduan tersebut ubat tersebut adalah satu-satunya rawatan Tahap A yang disyorkan.

Beberapa ujian klinikal yang menilai pregabalin mendapati pesakit yang mengambil ubat tersebut kurang mengalami kesakitan berbanding dengan mereka yang mengambil ubatan lain.

Bagaimanapun selain pengambilan ubat, pesakit bertanggungjawab menjaga paras gula dengan mengawal pemakanan dan juga kerap melakukan senaman.

No comments: