Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

30 January 2011

Sifat dengki, hanya memakan diri

Pada zaman dahulu dikisahkan ada seorang lelaki yang setiap hari berkunjung menghadap raja. Lelaki tersebut bolehlah dianggap sebagai penasihat raja pada masa itu kerana beliau sering berpesan kepada tuanku raja dengan mengatakan, “Orang yang berbuat baik akan mendapat balasan yang baik, dan orang yang berbuat buruk, maka cukuplah keburukan itu sebagai balasannya.”

Melihat keakraban dan hubungan lelaki itu dengan tuanku raja, ada seseorang lelaki lain telah menyimpan perasaan hasad dengki kepada lelaki si penasihat raja itu. Pendengki itu berkata, “Lelaki itu begitu rapat sekali dengan raja. Dia menjadi penasihat raja yang disegani. Setiap hari dia dapat bertemu raja. Sedangkan aku tidak ada apa-apa. Ini tak boleh jadi. Aku mesti fikirkan sesuatu.” Dia meluahkan perasaan tak puas hatinya.

Si pendengki telah mendapat idea. Dia kemudiannya telah pergi menghadap tuanku raja dan berkata, “Ampun tuanku. Izinkan patik melapurkan sesuatu. Sebenarnya lelaki yang pada setiap hari menemui tuanku itu adalah seorang penderhaka. Setelah dia menemui tuanku dan berjalan keluar dari istana, dia seringkali menceritakan hal yang buruk mengenai tuanku. Dia berkata bahawa bau mulut tuanku busuk.”

Wajah sang raja menjadi merah. Tuanku raja menjadi begitu murka.

Setelah mengadu kepada sang raja, si pendengki pun keluar dari istana dan duduk di tepi jalan yang biasa dilalui oleh lelaki penasihat raja itu.

Apabila dia nampak lelaki penasihat raja itu berjalan melaluinya, si pendengki itu lalu menghalang perjalanannya. Lalu dia berkata kepada lelaki penasihat raja. “Wahai sahabat, kalau kamu tidak keberatan, marilah ikutku dan singgah ke rumahku.

Aku ada membuat sedikit makanan.”

Si lelaki penasihat raja menerima pelawaan pendengki itu. Lalu dia telah pergi ke rumahnya. Apabila tiba di rumah, si pendengki telah menghidangkan beberapa masakan berserta bawang merah dan putih sebagai ulamnya.

Lelaki penasihat raja makan hidangan tersebut.

Termasuk bawang merah dan putih. Setelah makan, dia meminta diri untuk meneruskan perjalanan menemui tuanku raja seperti kebiasaannya.

Sampai di istana, sewaktu berjabat tangan dengan tuanku raja, lelaki penasihat itu telah menutup mulutnya kerana dia bimbang tuanku raja akan tercium bau mulutnya yang busuk (kerana makan bawang putih & merah).

“Ohhh, rupanya memang benar aduan orang itu, lelaki ini benar-benar menganggap mulutku berbau busuk,” fikir tuanku raja di dalam hati.

Sang raja berasa sangat sakit hati dan murka.

Baginda telah memikirkan rancangan untuk menjatuhkan hukuman atas perbuatan lelaki penasihat tadi.

Lelaki penasihat yang tidak mengetahui apa-apa itu, duduk dan berbicara seperti biasa. Sebelum mengundur diri, dia tidak pernah lupa berpesan kepada tuanku raja. “Orang yang berbuat baik akan mendapat balasan baik, manakala orang yang berbuat buruk, maka cukuplah keburukan itu sebagai balasannya.“

Setelah sekian lama berada di istana. Lelaki penasihat telah meminta diri untuk pulang. Ketika itu tuanku raja pun berkata memulakan rancangannya,

“Aku menitahkan kamu untuk bawa surat ini dan serahkanlah kepada sahabatku di negeri sebelah.”

(Kandungan surat itu adalah seperti berikut, “Jika sampai kepadamu pembawa surat ini, maka kau sembelih dan bunuh saja dia. Dia telah mengkhianati aku. Dia telah membuat derhaka kepadaku.”

Lelaki penasihat yang tidak mengetahui apa isi kandungan surat tersebut, hanya menurut saja perintah sang raja. Dia lalu mengambil surat itu untuk disampai kepada sahabat raja tadi.

Dalam perjalanan menuju ke negeri sebelah untuk menyampaikan surat tersebut kepada sahabat tuanku raja, tiba-tiba si pendengki telah menghalang perjalanannya.

“Wahai sahabat, apa yang kamu bawa bersama-sama mu itu?” tanya nya.

“Oh, ini surat dari tuanku raja untuk sahabatnya di negeri sebelah. Surat ini baginda telah tulis dengan tangannya sendiri. Biasanya baginda tidak akan menulis surat sendiri, melainkan surat mengenai urusan pembahagian hadiah.”, kata lelaki penasihat raja kepada si pendengki itu.

“Jika begitu, berikanlah surat itu kepadaku. Aku akan menghantarnya surat tersebut seperti yang disuruh oleh tuanku raja. Aku betul-betul dalam kesusahan sekarang dan memerlukan wang atau hadiah.” pintanya.

Si pendengki telah mereka-reka cerita mengatakan dia dalam kesusahan. Dia menceritakan betapa susahnya hidupnya sekarang.

Oleh kerana kasihan mendengar kisah kehidupannya, lelaki penasihat raja pun kemudiannya menyerahkan surat tersebut untuk dihantar kepada sahabat tuanku raja di negeri sebelah.

Si pendengki berasa gembira sekali. Dia menjadi begitu bersemangat untuk menyampaikan surat itu dan menerima hadiah daripada sahabat raja.

Setelah sampai ke negeri sebelah. Si pendengki pun lantas menyerahkan surat itu kepada sahabat raja seperti yang diarahkan.

Sahabat raja membaca surat, lalu berkata ; “Celakah lah kamu. Kamu adalah seorang penderhaka. Kamu telah mengkhianati rajamu sendiri. Sekarang, raja kamu telah mengarahkan aku untuk memancung lehermu.”

Si pendengki berasa sangat takut. Dia berkata ; “Tidak! Tidak! Yang dimaksudkan oleh raja itu bukan aku sebenarnya. Biar aku jelaskan semuanya. Beri aku kesempatan untuk membuktikannya.” Rayunya dengan penuh ketakutan.

“Tidak! Perintah raja tak boleh ditunda. Aku akan melaksanakan hukuman itu sekarang. Pengawal, bawa penderhaka itu ke mari. Biar aku pancung kepalanya.” kata sahabat raja tersebut.

Raja di negeri sebelah lalu memancung leher si pendengki yang malang itu.
Pada keesokan harinya, lelaki penasihat itu datang seperti biasa ke istana dan berkata, “Orang yang berbuat baik akan mendapat balasan baik, dan orang yang berbuat buruk, maka cukuplah keburukan itu sebagai balasannya.”

Raja berasa sangat harian melihatnya masih hidup.

Setelah ditanya satu persatu, barulah sang raja tahu cerita yang sebenar.

“Sebenarnya semalam, seorang lelaki telah mengundangku kerumahnya dan menghidangkan masakan berserta ulam bawang merah dan putih. Semasa aku bertemu dengan tuanku, aku tutup mulutku agar tuanku tidak tercium bau tidak sedap dari mulutku. Setelah aku keluar dari istana, lelaki tersebut sekali lagi telah menghalang aku. Dan meminta surat yang tuanku berikan untuk disampai kepada raja negeri sebelah.”

Lelaki penasihat raja menceritakan segala-galanya kepada tuanku raja.

Barulah raja tahu tentang keburukan yang dilakukan oleh si pendengki itu.

Mendengar cerita itu, maka fahamlah raja bahawa lelaki yang mati itu sebenarnya telah menaruh hasad dengki kepada sahabatnya.

“Sekarang barulah aku faham maksud pesanan yang selalu kamu ucapkan. Benar katamu, orang yang berbuat baik akan mendapat balasan, manakala orang yang berbuat buruk,maka cukup keburukan itu sebagai balasannya.“ Kata tuanku raja...

Sahabat-sahabatku sekalian,

Ingatlah pesanan ini. Perasaan hasad dengki dan iri hati itu adalah sifat terkeji. Sifat dengki hanya akan memakan diri. Dengki itu merosakkan amalan. Dengki itu menghapuskan kebaikan sepertimana api yang membakar kayu api. Ingatlah, sifat dengki hanya akan merugikan diri kita sendiri.

Sekarang cuba muhasabah diri sebentar. Adakah dalam diri kita ada perasaan hasad dengki kepada orang lain? Perasaan dengki pada rakan sekerja? Perasaan hasad dengki kepada rakan serumah? Perasaan iri hati atas kejayaan orang lain? Dengki dan jealous pada orang lain? Renung-renungkan dan selamat beramal.

No comments: