Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

07 December 2010

Perlukah akaun Facebook? Pelbagai Aspek Kepentingan Laman Sosial Itu Dibincang

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/12/06


Pelbagai aspek kepentingan laman sosial itu dibincang

LAMAN sosial seperti Facebook yang berfungsi membina jaringan sosial masyarakat dunia dalam dunia siber wajar dimanfaatkan pengguna tanpa mengabaikan peraturan agama dan budaya bangsa dan dengan sendiri memastikan ia digunakan secara berhati-hati lagi bijak.

Pakar Perunding, Institut Pemikiran Minda (INMIND), Mohd Yusof Din, berkata masyarakat perlu menggunakan laman sosial seperti Facebook secara bijak dan berhemah dengan mematuhi etika penggunaannya untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa manipulasi pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Masyarakat perlu ada hikmah atau kebijaksanaan dan ilmu dalam memilih rakan di laman sosial serta mendidik mereka dengan topik bermanfaat, manakala aspek pendidikan pula wajar diutamakan bagi memastikan laman interaktif ini dimanfaatkan sebagai tempat perbincangan dengan pandangan membina.

“Saya tidak menafikan laman sosial mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri, tetapi sebagai pengguna kita perlu menunjukkan teladan baik bagi mengelakkan masyarakat terpengaruh dengan dakyah Barat,” katanya 
Forum Liga Ilmu Astro Oasis: Laman Sosial Membawa Kita Ke Mana di Ruang Pameran, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Forum yang dipengerusikan, pengacara Astro Oasis, Tarmizi Abdul Razak, turut mengakui laman sosial sudah menjadi budaya masyarakat dunia tanpa dapat dielakkan sehingga meninggalkan kesan besar sehingga kepada 350 juta penggunanya setakat ini.

Mohd Yusuf berkata, walaupun ada desas-desus kononnya Facebook diwujudkan untuk mengintip kegiatan manusia termasuk umat Islam, mereka wajar berfikiran positif dengan mengambil pendekatan yang mencerminkan umat Islam sebagai umat terbaik.

“Tidak sekadar itu, hubungan kekeluargaan dan persahabatan dapat dieratkan lagi sekiranya etika penggunaannya dipatuhi seperti memberi peluang kepada ibu bapa untuk mengenali rakan anak mereka dan berkomunikasi melalui Facebook, sekali gus memantau aktiviti harian mereka secara tidak langsung,” ujarnya.

Pandangan Mohd Yusuf dipersetujui Ketua Kumpulan Nasyid Saujana, Sufian Amrin yang mewakili generasi muda apabila memanfaatkan Facebook sebagai wahana untuk mendekatkan hubungan ibu bapa dan anak sehingga dapat memastikan golongan berkenaan tidak tercicir dalam perkembangan teknologi yang semakin pesat.

“Zaman semakin canggih dan pelbagai laman sosial diwujudkan untuk kemudahan semua pihak sehingga penting bagi semua lapisan masyarakat untuk mengambil kesempatan daripada perkembangan media siber dengan mendaftar akaun Facebook,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui di sebalik fungsinya yang positif, kecanggihan Facebook sering disalah guna sebahagian besar masyarakat sehingga purata penggunaannya meningkat kepada tiga jam sehari dan menimbulkan gejala sosial seperti ketagihan yang sukar dikawal termasuk memaparkan cerita paling remeh.

Beliau yang pernah membuat kajian tahap penggunaan Facebook di kalangan masyarakat dunia, berkongsi fakta Malaysia berada pada kedudukan ke-11 di dunia, manakala setiap pengguna Facebook di negara ini memiliki sekurang-kurangnya 332 rakan dalam talian.

“Fenomena ini membuktikan keberkesanan Facebook sebagai media sosial yang dapat menyebarkan maklumat secara mudah dan cepat dan di sinilah fungsi umat Islam untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat dunia secara berbudi bahasa.

“Begitu juga dengan kemampuannya dalam membantu masyarakat memasarkan produk dari aspek perniagaan dan menjadi tempat komunikasi antara peminat dan artis berdasarkan aspek hiburan seperti laman Facebook penyanyi antarabangsa, Lady Galga mencecah sebanyak 25 juta,” katanya. 

Pakar Teknologi Maklumat Dapat Dot Com, Azli Taat, menasihatkan setiap ahli masyarakat memiliki sekurang-kurangnya satu akaun laman sosial bagi mengelakkan risiko dimanipulasi pihak lain.

“Sekiranya kita tidak membuka akaun Facebook, sudah pasti ada pihak lain yang akan mengambil kesempatan mewujudkan akaun Facebook bagi pihak kita kerana sesiapa saja boleh mendaftar akaun itu sebanyak boleh dengan pelbagai identiti,” katanya.

Beliau mengingatkan setiap pemilik akaun Facebook perlu bijak memilih rakan dalam talian dan menggunakan fungsi ketetapan peribadi dalam Facebook sebaiknya, agar maklumat peribadi dan gambar tidak sewenang-wenangnya disalah gunakan pihak lain.

Tambahnya, masyarakat juga sewajarnya mempelopori usaha menggalakkan pengguna media sosial melakukan perkara yang sama dan menyuarakan pandangan bersifat sederhana dalam Facebook khususnya dalam menyampaikan dakwah secara berhemah.
 

No comments: