22 Julai - Gerhana matahari paling lama pada abad ke-21 menjerumuskan berjuta-juta penduduk di serata Asia ke dalam kegelapan sementara hari ini, mencetuskan suasana keagamaan, ketakutan dan keseronokan di seluruh India dan China.
Peluang yang datang sekali seumur hidup itu dipercayai menjadi gerhana yang disaksikan paling banyak orang dalam sejarah disebabkan laluannya yang meliputi kawasan paling padat dengan penduduk di muka bumi.
Namun peluang itu dibiarkan berlalu oleh berjuta-juta lagi yang berkurung di dalam rumah kerana mempercayai fenomena tersebut membawa petanda buruk.
Seorang wanita terbunuh dalam kejadian rempuhan di kota suci Hindu, Varanasi di mana puluhan ribu penganut agama itu berhimpun di tebing Sungai Gangga sejak subuh lagi.
Polis berkata, wanita berusia 80 tahun itu pitam semasa pengunjung berasak-asak untuk memasuki sebuah kuil dekat tebing sungai tersebut, kemudian meninggal dunia akibat sesak nafas.
Kejadian itu mencetuskan panik yang turut menyebabkan lebih 20 orang lain cedera.
Gerhana matahari penuh selalunya berlaku setiap 18 bulan tetapi gerhana hari ini istimewa kerana tempoh kegelapan 'menyeluruh' yang maksimum selama enam minit dan 39 saat apabila matahari dilindungi seluruhnya oleh bulan.
Tempoh gerhana penuh selama itu hanya akan berulang pada 2132.
Stesen rasmi China Central Television membuat liputan secara langsung tentang peristiwa yang dipaparkannya sebagai 'Gerhana Matahari Sungai Yangtze' kerana laluan fenomena itu meliputi lembangan saliran sungai tersebut.
Berjuta-juta penduduk di beberapa kawasan di barat daya China berpeluang menyaksikan fenomena itu dengan jelas, tetapi pemandangan di sebahagian besar laluannya terjejas disebabkan awan mendung.
Penduduk di Shanghai tidak mempedulikan hujan dan cuaca mendung untuk menyaksikan gerhana itu apabila kegelapan mula menyelubungi pusat perdagangan China tersebut pada 9.36 pagi (waktu sama di Malaysia).
"Sekarang waktu kerja, tetapi kami tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan pemandangan yang begitu menakjubkan. Pengalaman ini sungguh menyeronokkan," kata seorang pekerja di Shanghai, Allen Chen yang keluar ke jalan raya untuk menyaksikan peristiwa itu.
Mereka yang mampu membeli tiket mahal untuk menaiki pesawat sewa khas yang disediakan oleh agensi pelancongan untuk membawa mereka menyaksikan gerhana tersebut bagi tempoh yang lebih lama dengan mengejar bayangnya menghala ke timur.
Bayang atau umbra yang dihasilkan oleh gerhana penuh itu mula kelihatan di negeri Gujarat, barat India sejurus sebelum 6.30 pagi ini (9 pagi waktu Malaysia.
Ia kemudian merentasi India dan meliputi kawasan di antara Bangladesh dan Nepal sebelum menyelubungi sebahagian besar Bhutan, merentasi tanah besar China dan menghala ke laut dekat Shanghai.
Dari sana ia bergerak merentasi pulau-pulau dekat selatan Jepun sebelum membelok ke barat Pasifik.
###########################################################################
KUALA LUMPUR 22 Julai - Malaysia menerima tempias bayangan gerhana matahari separa hari ini bermula pukul 8.23 pagi meskipun fenomena gerhana matahari penuh yang terpanjang pada abad ini dapat disaksikan di China. Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa (UPSA) Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mhd Fairos Asillam berkata, fenomena kali ini mencapai masa terpanjang maksimum iaitu 6 minit 39 saat berbanding satu hingga dua setengah minit sebelum ini. Walaupun begitu, jelas beliau, gerhana matahari separa di Malaysia sukar untuk dicerap dengan mata kasar kerana hanya lebih kurang 17.8 peratus kawasan permukaan matahari ditutupi bulan semasa fenomena gerhana tersebut berlaku. Tambahnya, kawasan utara Semenanjung seperti Perlis merupakan kawasan terbaik untuk mencerap gerhana matahari separa. "Sebaliknya di Kuala Lumpur, hanya lapan peratus permukaan matahari dilitupi bulan dan ini dapat dilihat menggunakan cermin mata pelindung sinaran ultralembayung (UV) atau teleskop yang dilengkapi penuras suria. "Ini disebabkan laluan gerhana matahari bukannya melalui negara kita secara tepat selain kedudukan matahari yang sangat hampir di ufuk," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Mhd Fairos menjelaskan, bayangan bulan mula memasuki laluannya di Gujerat, India seterusnya ke Nepal, Bangladesh, Bhutan, Myanmar, China dan Pulau Ryukyu di Jepun sebelum berakhir melalui Lautan Pasifik. Beliau berkata, cuaca dan litupan awan di China yang lebih baik serta laluan gerhana yang merentasi beberapa bandar berpopulasi tinggi seperti Shanghai dan Hangzhou, membolehkan penduduknya menyaksikan planet Merkuri dan Zuhrah sekiranya gerhana penuh berlaku di sana. Katanya, kejadian gerhana penuh yang panjang itu juga menarik minat para saintis untuk menjalankan pelbagai eksperimen melibatkan pengaruh tekanan graviti dan beberapa tindak balas terhadap tumbuhan dan haiwan di bumi. Dalam pada itu, beliau berkata, ANGKASA telah menghantar tiga pegawainya untuk membuat penyelidikan, pengambilan data dan imej gerhana di Jinshan, Shanghai, China. Ekspedisi Gerhana di beberapa kawasan di China turut disertai oleh lebih 50 penyelidik dari Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Persatuan Falak Syarie Malaysia, Stargazer Scientific dan Falak Online. Selain itu, beliau berkata, penduduk Malaysia dijangkakan dapat menyaksikan gerhana matahari separa sekali lagi pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019. "Pada tahun 2032, gerhana matahari separa dijangka berlaku untuk tempoh yang lebih panjang berbanding hari ini sementara gerhana matahari penuh dapat disaksikan pada tahun 2042," katanya. Di Malaysia, gerhana matahari penuh pernah disaksikan di Kudat, Sabah pada tahun 1995 disusuli gerhana matahari cincin di Mersing, Johor pada tahun 1998.Gerhana matahari paling lama
######################################################################
No comments:
Post a Comment