Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

03 March 2008

Mandi malam & minum air batu, kesannya ke atas paru-paru.

Setelah saya menulis tentang tapak tangan yang lembap dan basah, ada yang minta penjelasan lanjut secara lebih ilmiah atau secara saintifik mengapakah mandi malam dan minum air batu merosakkan paru-paru.

Lebih dahulu saya menjelaskan pengertian sains itu sendiri.
Sains menurut kamus oxford ialah satu cabang ilmu pengetahuan yang melibatkan pemerhatian dan eksperimen untuk membuat rumusan idea, penerangan dan pemahaman terhadap fenomena alam semula jadi.

Dan ini pula adalah penjelasan yang lebih menyeluruh mengenai sains di wikipedia. http://ms.wikipedia.org/wiki/Sains

Mari kita kupas satu demi satu dan mulakan dengan kesan minum air batu ke atas paru-paru.

Mari kita buat eksperimen pertama. Ambil sebiji gelas, masukkan beberapa ketul ais dan tambahkan sedikit air. Biarkan di atas meja untuk tempuh beberapa minit. Perhatikan apa yang terjadi di permukaan luar gelas ini.



Dari eksperimen ini, kita akan perhatikan titisan air di permukaan luar gelas ini. Kesimpulan dari eksperimen mudah in ialah, suhu sejuk dari bahagian dalam gelas boleh menyebabkan proses kondensasi wap air di udara berlaku di mana wap air ini akan bertukar bentuk dari wap kepada air.



Dalam anatomi manusia, saluran esofagus adalah saluran yang membawa makanan dan minuman dari mulut ke perut. Di sekeliling saluran esofagus ini terdapat binaan paru-paru. Unit terkecil bagi paru-paru ialah alveolus. Alveolus adalah binaan mirip sebiji belon. Udara di dalam alveolus ini sangat lembab (high humidity).



Apabila seseorang minum air batu seperti jus apel atau jus oren, saluran esofagus menjadi sejuk dan alveolus yang terletak berhampiran esofagus ini juga menjadi sejuk. Keadaan ini akan menyebabkan proses kondensasi wap air berlaku di dalam banyak alveolus menjadi cecair air. Air ini akan terkumpul di dalam alveolus. Apabila proses minum air batu ini berterusan untuk sekian tahun, proses ini juga akan berterusan dan akibatnya ialah semakin banyak air terkumpul di alveolus dan air ini akan mula melimpah ke kawasan alveolus lain.



Air yang terkumpul di alveolus (paru-paru) ini akan mengakibatkan alveolus tidak dapat menjalankan fungsinya iaitu menjalankan pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida. Lebih banyak air terkumpul akan mengurangkan bahagian paru-paru untuk menjalankan fungsi asas paru-paru iaitu pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida.



Itulah sebabnya orang yang gemar dan kerap minum air batu akan cepat mengah bila berbuat aktiviti lasak kerana pertukaran udara di paru-paru tidak mencukupi.



Daripada situasi ini, badan bertindak balas menghasilkan satu tindak balas iaitu tapak tangan lembap dan basah.



Kajian saintifik ini telah dimantapkan dengan mencari data ujian kes sebenar ke atas sampel-sampel orang yang memang suka minum air batu. Beratus sampel dikaji dan salah seorang pelajar saya akhirnya memilih tajuk yang berkaitan bagi Projek Tahun Akhir beliau. Saya banyak membantu beliau dan pelajar ini juga sebenarnya banyak membantu saya.



Salah satu sampel yang menarik dalam kajian saya ini ialah satu hamba Allah saya namakan Mr Y. Mr Y berusia 48 tahun. Seorang ketua jabatan yang tabiaatnya ialah gemar air batu. Biliknya sentiasa berhawa dingin namun yang peliknya ialah tingkap bilik Mr Y sentiasa terbuka agar biliknya tidak sejuk (panas). Mr Y juga gemar berbaju dua lapis atau memakai blazer walaupun cuca agak panas bagi saya. Namun yang paling menggelikan hati saya ialah beliau tidak boleh tidur bersama isteri, alasannya ialah bila tidur dengan isteri, siisteri hendak buka kipas syiling tetapi Mr Y tidak membenarkan kerana sejuk. Bagi mengelakkan pergaduhan, isteri tidur dengan anak-anak dengan membuka kipas sementara Mr Y tidur bersendirian tanpa buka kipas.



Bagi makluman pembaca sekelian, Mr Y sudah kena simptom “kalah sejuk” iaitu antara pelbagai kesan dari masalah paru-parunya.



Berikut pula adalah penjelasan bagi kes mandi malam.



Pada tahun 1983, saya mula gemar bermain badminton dan budaya ini berterusan sehingga tahun 1998. Selalunya saya main pada waktu malam dan sekembalinya saya akan mandi sebelum tidur. Selalunya saya bermain badminton 2 kali seminggu atau lebih. Saya perhatikan bahawa tapak tangan saya semakin basah semenjak saya bermain badminton. Pada penghujung 1980an arwah guru saya mula mengajarkan ilmu bahawa elakkan mandi malam bagi mengelakkan penyakit paru-paru berair.



Saya macam percaya dengan tidak kata-kata guru saya ini kerana maklumlah saya lulusan universiti sedangkan guru saya tidak masuk universiti. Saya tidak menolak atau menerima saranan beliau namun saya menjalankan proses sains iaitu membuat proses pemerhatian untuk mendapatkan keputusan. Bila ada kesempatan ke hospital sewaktu menziarahi rakan atau saudara, saya meluangkan masa berjumpa dengan pesakit yang kena penyakit paru-paru berair. Saya perhatikan pesakit ini ditebuk lubang pada dadanya untuk memasukkan saluran getah kira-kira diameter 5mm. Salur getah ini disambungkan dihujungnya kepada satu beg plastik transparens. Di dalam beg plastik transparens ini terkandung cecair pekat mirip air jus tembikai. Saya mula bertanya kepada pesakit ini tentang penyakitnya serta sejarah hidupnya. Pesakit ini memberitahu saya bahawa beliau kena penyakit paru-paru berair. Setelah berbagai soalan saya ajukan, akhirnya saya dapat satu soalan cepu mas iaitu ada main badminton ke?? Pesakit ini memberitahu saya bahawa ia bermain badminton semenjak belasan tahun hingga usia sekarang iaitu lebih 50 tahun. Ia bermain waktu malam dan selepas bermain beliau akan mandi.



Dari proses sains secara membuat pemerhatian ini saya sudah boleh membuat kesimpulan iaitu mandi malam boleh menyebabkan paru-paru berair.



Dari satu pemerhatian ini, kajian saya masih belum mantap kerana terdapat pelbagai variable lain yang saya lupa masukkan dalam kajian ini. Dengan itu, saya meneruskan kajian ini kepada ramai orang lain dan hasilnya menakjubkan. Sememangnya korelasi mandi malam dengan masalah paru-paru adalah tersangat kuat. Dengan ini kesimpulan asal saya adalah tepat dan benar iaitu mandi malam menyebabkan masalah paru-paru seperti paru-paru berair.



Pada kira-kira 3 bulan lepas, seorang rakan sekerja saya yang bakal pencen pada Februari ini telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana masalah paru-paru. Saya bersama beberapa rakan dan Ketua Jabatan datang melawat pesakit ini di HSA. Apabila sampai dan bertemu pesakit ini, kami terus mengajukan apakah sebenarnya penyakit yang dialami rakan sekerja saya ini. Setelah beliau memberitahu beliau menghadapi masalah paru-paru berair, saya terus mengajukan soalan “Sipolan, engkau selalu mandi malam ke? ”.



Belum sempat pesakit ini menjawab, isterinya segera mencelah “Dia memang selalu mandi malam. Orang dah pesan jangan mandi malam tetapi dia degil terus mandi malam. Kadang-kadang kalau musim panas, dia ni mandi malam dua kali untuk menyejukkan badannya ”.

Sahabat saya diam tersipu-sipu lalu berkata “badan dah panas, nak buat apa!”. Begitulah kata-kata orang yang degil.



Dari penjelasan ringkas saya di sini boleh dirumuskan bahawa:

MANDI MALAM DAN MINUM AIR BATU merosakkan paru-paru.



Sekian Wassalam Wallahualam.


Dipetik dari: http://emjayjb.multiply.com/

17 February 2008

Perniagaan Peniaga Kecil Berkembang dengan ICT

ICT jamin PKS berkembang

Oleh Husain Jahit

husain@hmetro.com.my



Jumlah sebenar pengusaha ini mungkin tidak ada di dalam statistik mana-mana agensi kerajaan di Malaysia dek kerana perniagaan yang tidak berdaftar dan hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan kewangan keluarga.

Kewujudan mereka juga kadangkala tidak kekal. Sekejap ada, tak lama kemudian hilang dan timbul yang lain pula.


Namun, mereka inilah sebenarnya yang menjadi pemangkin ekonomi negara kerana dari jumlah yang sedikit itu jika dihimpunkan akan menjadi banyak dan pendapatan mereka menjadi besar.

Mungkin lebih 400,000 PKS berada di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti perniagaan yang dijalankan, daripada makanan hinggalah pertanian dan pembuatan.

Untuk memastikan kesinambungan aktiviti mereka, kerajaan bersama agensi berkaitan dengannya serta pihak swasta terutamanya institusi kewangan menyediakan pelbagai bantuan sama ada dari segi pengurusan atau kewangan.

Pertumbuhan PKS turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat di negara ini.

Dengan 100 juta PKS yang ada di seluruh dunia ketika ini (lebih banyak jika dibandingkan dengan gabungan seluruh penduduk di Korea dan Australia), ia berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 1.5 bilion orang.

Itu bermakna fenomena PKS membantu pertumbuhan ekonomi negara itu bukan saja berlaku di sini, malah turut dirasai di seluruh dunia.

Di India terdapat 10 juta PKS ketika ini dan dijangka meningkat sekali ganda dalam tempoh tiga tahun.

Lebih 70 peratus pekerjaan di India diwujudkan daripada PKS, manakala China mewujudkan 80 peratus peluang pekerjaan.

Secara purata dalam tempoh 10 tahun terakhir ini, PKS mewujudkan 80 peratus peluang pekerjaan setiap tahun.

Berdasarkan tinjauan penyedia rumusan rangkaian terkemuka dunia, Cisco Systems Inc. (Cisco) menunjukkan sebanyak 237,000 komputer peribadi (PC), 54,000 peranti telapak dan 273,000 telefon bimbit dibeli setiap hari oleh PKS.

Ia jelas membuktikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah faktor pemboleh kepada PKS untuk lebih berdaya saing di dalam negara sendiri atau langsung ke peringkat antarabangsa.

Menurut Pengarah, Operasi Komersial, Asia Pasifik, Cisco, Stuart Hendry, China saja membelanjakan kira-kira AS$28 bilion untuk ICT sepanjang 2007, sementara Korea membelanjakan AS$16 bilion dan negara Asean membelanjakan AS$11.1 bilion.

Katanya, petunjuk itu jelas membuktikan kita berada di era perniagaan dan teknologi eksponensial.

“ICT adalah satu daripada kaedah yang amat diyakini dapat membantu PKS berkembang pesat hingga ke peringkat global. Kami sebagai vendor ICT terkemuka berasa terpanggil untuk membantu mereka mengembangkan pasaran.”

“Kami tidak pernah memandang rendah PKS walaupun selama ini kami lebih banyak menumpukan pasaran kepada syarikat besar. Kami tahu perbelanjaan PKS di negara Asean ke atas ICT dijangka melebihi AS$11.1 bilion tahun ini,” katanya.

Oleh itu, kata Hendry pasaran PKS amat besar dan jika separuh daripada PKS sedunia menggunakan produk tanpa wayar Cisco, jumlah jualan Cisco akan meningkat sebanyak AS$10 bilion dan jika 10 peratus daripada PKS itu memiliki telefon IP Cisco di atas meja mereka, jumlah telefon IP Cisco yang dikirim hingga hari ini akan meningkat sepuluh kali ganda.

Menurut Hendry lagi, daripada kajian AMI Partner mengenai perbelanjaan ICT PKS di seluruh dunia bagi 2007 saja sudah melepasi belanjawan yang dikeluarkan syarikat-syarikat besar.

Lebih 80 peratus masyarakat di Malaysia sudah memiliki telefon bimbit dan lebih 90 kawasan berpenduduk di Malaysia sudah diliputi rangkaian telekomunikasi mudah alih.

Penyedia perkhidmatan jalur lebar negara juga tidak kira kaedah berwayar atau tanpa wayar begitu agresif menyediakan pelbagai tawaran untuk menarik lebih ramai pelanggan mengguna pakai jalur lebar bagi capaian Internet berkelajuan tinggi.

Jelas sekali komunikasi amat penting dalam urusan seharian. Dengan telefon bimbit kita boleh berhubungan di antara satu dengan lain hampir di mana saja. Manakala menerusi Internet kita boleh mengirim e-mel, mencari maklumat dan sebagainya untuk mengembangkan perniagaan.

Sekiranya semua pengusaha PKS memanfaatkan pelbagai kemudahan yang sudah sedia ada di negara itu, sudah pasti makcik nasi lemak atau pakcik pisang goreng mampu hidup lebih mewah apabila perniagaan mereka turut berkembang sebagaimana berkembangnya inovasi ICT di negara ini.

Kita masih mengambil contoh makcik atau pakcik menjual goreng pisang, tapi tidak pernah dilihat mereka meletakkan nombor telefon sebagai iklan.

Sebagai pelanggan mungkin lebih baik menelefon terlebih dulu sebelum keluar rumah kerana dikhuatiri kedai tutup atau jualan habis.

Kemudahan sebegitu yang tidak disedari kebanyakan pengusaha PKS di negara kita, walaupun kita tahu lebih 80 peratus penduduk negara ini sudah memiliki telefon bimbit yang memberi makna bahawa daripada 10 gerai pisang itu, lapan daripadanya memiliki telefon bimbit.

Kadar penembusan pemilikan komputer peribadi juga meningkat secara mendadak di negara ini. Jika digabungkan dengan perkhidmatan jalur lebar atau capaian Internet menggunakan kaedah dail masuk, sudah tentu e-mel pula menjadi kaedah komunikasi paling pantas dan menjimatkan.

Apa ditunggu lagi? Paparkan papan iklan di setiap gerai atau pejabat anda lengkap dengan nombor telefon dan alamat e-mel untuk kemudahan orang ramai menghubungi anda, sekali gus perniagaan berkembang pesat secara tidak langsung.

Adalah lebih baik sekiranya kemudahan komunikasi seperti itu digunakan. Jika mahukan perniagaan berkembang maju, jangan diabaikan kemudahan sedia ada.

Berbalik kepada penyedia rumusan rangkaian Cisco, gergasi dunia itu juga sebenarnya memiliki pelbagai rumusan untuk kemudahan pengusaha PKS terutama yang beroperasi di dalam pejabat.

Selain kemudahan capaian Internet di atas sistem berangkaian, komunikasi asas suara menggunakan telefon berprotokol Internet (IP) juga amat berguna kepada PKS.

Kemudahan berasaskan IP adalah antara kaedah yang amat menjimatkan. Contohnya telefon IP yang hanya dikenakan caj dengan kadar tempatan walaupun membuat panggilan antarabangsa.

Menurut Hendry, Cisco mendefinisikan pengusaha perniagaan kecil sebagai syarikat yang memiliki kurang daripada 100 pekerja dan syarikat bersaiz sederhana pula dengan jumlah pekerja di antara 100 hingga 249 orang.

“Untuk itu, Cisco memiliki portfolio lengkap akhir-ke-akhir bagi rumusan sistem berangkaian dari router, suis, storan tanpa wayar dan komunikasi bersepadu.”

“Antaranya Cisco 800 Series dan 1800 Series (router), Cisco Catalyst Express 500 dan Catalyst 2960 (suis), Cisco Aironet AP1000, 1130AG/1230AG dan 1242AG series (storan tanpa wayar) serta Unified Comm Mgr Express Unity Express dan End-points & Mobility (komunikasi bersepadu),” katanya lagi.

Dengan amalan perkomputeran berangkaian di sesebuah pejabat PKS, satu penjimatan besar dapat dilakukan kerana semua pekerja boleh berkongsi di atas satu talian bagi mencapai perkhidmaan Internet.

Mereka juga boleh berkongsi sistem storan, berkongsi mesin pencetak, malah berkongsi fail dengan mudah untuk menjadikan pengurusan perniagaan itu lebih cekap dan berkesan.

Satu kajian kes ke atas syarikat perunding pemasaran tempatan, In2 Marketing & Consulting Sdn Bhd yang sudah berjaya menembusi pasaran serantau, mendapati syarikat itu amat berpuas hati dengan prestasi rumusan yang diperkenalkan Cisco kerana sudah menyumbang secara signifikan kepada penjimatan kos.

Menurut syarikat itu, dengan rumusan Cisco, syarikat memiliki keanjalan untuk menambah kapasiti apabila diperlukan dan kami boleh menyeragamkan mengikut keperluan semasa dan keperluan masa depan.

Rumusan Cisco menyokong pertumbuhan syarikat serta meringkaskan pengurusan, penyelenggaraan dan latihan, di samping meningkatkan kecekapan dan kos pemilikan yang rendah, kata In2 Marketing.

Hendry berkata, Cisco akan menjalin kerjasama lebih erat dengan rakan niaga tempatan untuk memasarkan secara agresif produk sedia ada sebagai usaha meningkatkan pasaran dan membantu pengurusan PKS mengembangkan perniagaan bukan saja di dalam negeri, malah terus ke peringkat antarabangsa.



Rujukan: http://www.hmetro.com.my.......indexv_html

16 February 2008

Saintis bukti cinta memang buta

WASHINGTON: Saintis Amerika Syarikat membuktikan cinta sememangnya buta, sekurang-kurangnya dalam memberikan perhatian kepada orang lain yang tidak kurang cantik atau kacak.

Penuntut kolej yang dilamun cinta kurang memberikan perhatian kepada lelaki atau wanita lain yang menarik, menurut kajian pasukan saintis Universiti California Los Angeles (UCLA) dan laman web temu janji, eHarmony.

“Rasa cinta kepada pasangan romantik nampaknya membuatkan orang lain kelihatan kurang menarik, dan emosi berkesan dalam cara amat khas dalam membolehkan anda menolak idea untuk menggoda orang lain jauh daripada fikiran anda,” kata Gian Gonzaga dari eHarmony, yang kajiannya diterbitkan dalam jurnal Evolution and Human Behaviour .


Profesor psikologi dan pengajian komunikasi di UCLA, Martie Haselton pula menambah: “Ia menunjukkan cinta seolah-olah menyebabkan anda buta terhadap orang lain.”

Gonzaga dan Haselton meminta 120 penuntut heteroseksual yang komited dalam hubungan meneliti gambar ahli laman web eHarmony berlainan jantina yang menarik.

Sukarelawan diminta memilih gambar paling menarik dan menulis karangan sama ada mengenai pasangan mereka atau subjek pilihan.

Ketika menulis, penuntut diminta melupakan ‘wajah paling panas’ daripada laman web itu, tetapi diarah meletakkan tanda jika terfikir ada gambar yang menarik.

Sukarelawan yang menulis mengenai pasangan itu didapati enam kali kurang berkemungkinan untuk mengaku memikirkan orang lain yang menarik berbanding sukarelawan yang menulis mengenai subjek rawak.

Mereka kemudian diminta berfikir kembali wajah menarik dalam gambar dan penuntut yang menulis mengenai kekasih masing-masing tidak mengingati banyak maklumat mengenai penampilan fizikal orang lain yang menarik itu.

“Mereka cuma ingat warna baju atau sama ada gambar itu diambil di New York tetapi tidak ingat sesuatu yang istimewa mengenai individu berkenaan.

“Ia bukan bermakna ingatan mereka lemah; ia seolah-olah mereka secara berhati-hati menolak keluar perkara yang membuatkan mereka berfikir mengenai betapa menariknya alternatif itu,” kata Gonzaga. - Agensi


Rujukan: http://www.bharian.com.my.......20080214232213/Article

11 February 2008

Guna Gas Asli NGV Hanya RM0.68 Seliter untuk Perjalanan 45km

RM0.68 seliter lebih 45 km

Penggunaan gas asli (NGV) memang menjimatkan selain bersifat mesra alam, lebih ringan, tidak berwarna dan tidak berbau. Bagaimanakah ia boleh diaplikasikan pada kenderaan persendirian?


FAUZI bersama model komponen sistem NGV yang ditawarkan syarikatnya.


KETIKA pemilik-pemilik kenderaan persendirian di negara ini mengeluh tentang peningkatan harga petrol dan diesel, pada masa yang sama, kebanyakan mereka masih menganggap penggunaan gas asli untuk kenderaan (NGV) hanya terhad untuk teksi. Sedangkan kereta mereka juga sebenarnya boleh ‘dikurniakan’ alternatif ini.

Penggunaan NGV mula digalakkan oleh kerajaan bermula pada tahun 1990-an, terutama sekitar tahun 1998 semasa Sukan Komanwel (SUKOM ‘98) berlangsung dan teksi-teksi turut diberi bantuan subsidi penukaran daripada sistem petrol kepada sistem NGV. Menurut data yang diberikan, sehingga bulan Disember 2006, daripada 30,000 kenderaan NGV di Malaysia, 90 peratus daripada kenderaan NGV adalah teksi.

“Memang kebanyakan orang di negara ini masih berfikir yang NGV hanya untuk pengangkutan awam terutamanya teksi, walhal kenderaan waima Kancil pun boleh menggunakannya tanpa masalah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Gas Engineering CNG Sdn. Bhd., Fauzi Omar ketika sidang media mengenai teknologi pertukaran sistem petrol kepada NGV di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Walaupun kos untuk menukar kenderaan bersistem petrol kepada sistem NGV memerlukan kos yang agak tinggi iaitu antara RM2,500 hingga RM5,500, namun ia dianggap berbaloi kerana mampu melakukan penjimatan perbelanjaan petrol sehingga 70 peratus.

Selain itu, menggunakan bahan bakar NGV lebih mesra alam kerana ia lebih bersih. Terdapat kajian-kajian di universiti tempatan yang membuktikan bahawa penggunaan NGV mengurangkan emisi karbon monoksida dan sebagainya. Lebih ringan, tidak berwarna dan tidak berbau ia mungkin solusi kepada penyakit sakit otak atau sesak nafas yang boleh disebabkan oleh bahan bakar seperti petrol dan diesel.

“Kerajaan juga memberikan insentif kepada mereka yang menggunakan sistem NGV dengan pengurangan cukai jalan sebanyak 25 peratus.

“Warga kota terutamanya tidak perlu bimbang kerana 48 daripada 56 buah stesen pengisian gas asli di negara ini terletak di Lembah Klang. Dijangka pada tahun ini juga, bilangan stesen pengisian gas asli Malaysia akan dipertingkat sehingga 200 buah,” katanya.


KOMPONEN silinder dalam sistem NGV pada sebuah kenderaan.


Fauzi memberitahu, secara umumnya terdapat tiga jenis sistem NGV iaitu bi-fuel iaitu untuk pengisian petrol atau gas asli, dual fuel untuk pengisian diesel dan gas serta nanogas yang mengkhusus kepada pengisian gas asli sahaja.

Fauzi seterusnya menyerahkan pembentangan mengenai operasi NGV dan pemasangan NGV yang ditawarkan syarikatnya kepada Pengurus Kanan (Latihan dan Keselamatan) MOG Sdn. Bhd., Zoel Fareez Omar.

Zoel memberitahu, penggunaan NGV membantu pembakaran yang lebih baik dan bersih serta ketahanan enjin yang lebih lama. Penjimatan yang diwujudkan bukanlah omongan kosong.

“Bandingannya, bagi seliter petrol berharga RM1.92 membolehkan kenderaan bergerak sejauh 15 kilometer tetapi dengan NGV, RM0.68 seliter, ia mampu bergerak lebih 45 kilometer,” jelasnya sambil membuat pengiraan di papan putih.


TEMPOH pemasangan sistem NGV berbeza mengikut cara pemasangannya.


Kata Zoel, pemasangan sistem NGV yang ditawarkan boleh didapati secara karburator dan suntikan. Kenderaan berkaburator mestilah berusia tidak melebihi 13 tahun.

Secara asasnya, komponen-komponen yang terdapat dalam sistem NGV ialah pengatur (regulator), injap pengisian gas, pencampur, aksesori injeksi, paip laluan gas, injap silinder, silinder dan suis pemilihan.

Pengguna dapat mengetahui status amaun gas asli dalam kenderaan menerusi empat lampu penanda di dalam kenderaan. Jika keempat-empat lampu berkelip-kelip, ini menunjukkan amaun gas asli semakin berkurang.

“Bagi kereta yang memasang NGV secara karburator, jika mereka hendak menukar penggunaan petrol kepada gas asli ketika dalam perjalanan mereka perlu memastikan petrol benar-benar telah habis. Tetapi bagi pemasangan secara suntikan, mereka boleh menukar bahan bakar bila-bila masa sahaja,” katanya sambil menjelaskan kos pemasangan bagi secara karburator ialah RM2,500 hingga RM3,800 manakala secara suntikan daripada RM3,800 sehingga RM5,500.

“Kos yang tinggi untuk memasang sistem NGV ini banyak disumbangkan oleh kenyataan kebanyakan produk ini ialah produk import kerana negara kita belum berpengalaman sepenuhnya dalam bidang ini,” ujarnya.

Pemasangan secara karburator mengambil masa selama satu hari untuk disiapkan sementara secara suntikan mengambil masa paling kurang dua hari.

Menurutnya, set NGV yang ditawarkan syarikatnya diimport dari luar negara dan memenuhi piawaian yang ditetapkan SIRIM.

“Kami sudah memasang produk ini pada berbagai jenis kenderaan seperti Naza Ria, Perodua Kancil dan Jip Cherokee. Setakat ini, segalanya berjalan lancar.

“Untuk lebih meyakinkan, orang ramai digesa agar merujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom setelah pemasangan dilakukan,” katanya.


SISTEM NGV membantu pembakaran yang lebih bersih.


Bagaimanapun, oleh kerana sesebuah kereta yang dipasang dengan sistem NGV itu sebenarnya tidak dicipta khusus untuk menerima bahan bakar gas asli, ia sedikit sebanyak mewujudkan beberapa kekurangannya.

“Memang tidak dinafikan, ada berlaku pengurangan efisiensi, tetapi dalam peratusan yang rendah,” katanya.

Gas Engineering CNG Sdn. Bhd. yang beralamat di No.12A, Jalan Bullion Mewah 8, Batu Caves, Selangor akan mengadakan bengkel mengenai NGV pada 16 Februari ini di sebuah lokasi yang bakal ditentukan kelak. Kepada mereka yang berminat bolehlah menghubungi Fauzi di talian 016-364 7119 atau Yanie di talian 012-229 0970.



Rujukan: http://www.kosmo.com.my......in_01.htm

09 February 2008

Enjin Kenderaan: Karburator atau EFI

Sejajar dengan perubahan masa, sistem pembekalan bahan api automotif juga mengalami revolusi.


SISTEM kaburator masih mempunyai peminat kerana sifatnya yang ringkas dan tahan lasak.


SEWAKTU awal era terciptanya enjin yang dikhaskan untuk memikul tugas bagi kenderaan penumpang serta komersial, para jurutera bertungkus-lumus mencipta dan menghasilkan kaedah yang terbaik bagi mewujudkan pembekalan bahan api yang sejajar dengan kemampuan kenderaan serta prestasinya.

Ini disebabkan sesaran enjin adalah merupakan isu dan pengaruh utama terhadap karakter penggunaan bahan api pada sesebuah kenderaan.

Dengan kemajuan yang tercapai itu juga maka pada zaman ini enjin bersesaran 1.5 liter bersama berat keseluruhan kenderaan 1,100 kilogram (kg) yang mampu mencatat penjimatan bahan api seperti 180 kilometer/10 liter. Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan lagi setelah apa yang mampu dihasilkan melalui proses revolusi teknologi yang kian maju.

Sistem karburator mula direka sebagai pengurus mekanikal yang berperanan membekalkan campuran udara dan bahan api untuk kegunaan enjin.

Keunggulan sistem yang telah berusia lebih 100 tahun ini masih digunakan sehingga sekarang dan ia masih menjadi kegilaan para peminat muscle car dan hotrod di Barat meskipun sistem pancitan bahan api elektronik (EFI) telah bertapak lama di benua tersebut.

Keistimewaan sistem ini sememangnya telah diakui dan ternyata begitu banyak perbezaan yang boleh dihuraikan antara dua kaedah pembekalan dan pengurusan bahan api ini.

EFI atau Electronic Fuel Injection adalah kaedah pembekalan bahan api yang menggunakan teknik menyuntik dan menyembur bahan api yang berkeadaan halus ke dalam ruang pembakaran enjin dan dikawal secara elektronik.

Ia dikendalikan oleh modul penting yang dikenali dengan pelbagai nama seperti ECU, ECM, EMC, EMS dan berbagai lagi terma yang lain.

Kesemuanya menjelaskan bahawa aktiviti pengurusan enjin dikawal oleh sistem elektronik dari pengawalan masa, nisbah bahan api, pemantauan aktiviti enjin hinggalah ke masa nyalaan palam.

Sistem pengawalan dan pengurusan elektronik ini bukanlah sesuatu yang baru. Bagi sistem suntikan jenis mekanikal, ia telah mula direka pada era tahun 1900-an.

Ketika itu terdapat berbagai jenis sistem suntikan yang direka pada pelbagai bentuk, kaedah dan kesinambungan terhadap cara ia berfungsi.

Era tahun 50-an adalah masa di mana sistem suntikan bahan api elektronik pertama dihasilkan oleh Bendix Corporation iaitu sebuah syarikat automotif terkenal di Amerika.

Sistem yang diberi nama Bendix Electrojector ini telah menjadi asas dan rujukan kepada kebanyakan pengeluar sistem suntikan pada zaman ini yang telah mengalami evolusi dari semasa ke semasa.

Syarikat gergasi seperti Volkswagen adalah antara syarikat automotif terawal yang memperkenalkan sistem suntikan elektronik yang dihasilkan oleh Bosch pada tahun 1968.

Pada era tahun 70-an, hanya ada beberapa syarikat pengeluar kenderaan sahaja yang menerima dan menggunakan sistem tersebut. Era tahun 80-an adalah kemuncak bermulanya penggunaan sistem ini secara meluas dan telah banyak diaplikasikan pada kebanyakan kenderaan penumpang dan komersial.

Sistem ini mula berubah kaedah operasinya dan mula dipengaruhi oleh faktor rekaan serta jenis kenderaan. Kebanyakan sistem suntikan elektronik pada zaman ini menggunakan kaedah pengawalan dari unit induk iaitu sistem ECU kenderaan.

Ia bertindak mengawal kadar suntikan bahan api mengikut data maklum balas yang diterima oleh beberapa unit sensor yang menghantar maklumat tentang kelajuan, beban dan kadar udara yang masuk ke ruang pembakaran enjin.

Unit-unit sensor seperti air flow sensor dan throttle position sensor adalah antara alat penting untuk sebuah
PENGGUNAAN bahan api pada enjin moden dengan sistem EFI lebih menjimatkan.


sistem suntikan beroperasi dengan baik. Tetapi, rekaan enjin yang berlainan menggunakan kaedah sensor serta pemetaan yang berbeza, bergantung pada spesifikasi asas enjin yang dihasilkan oleh pengeluar.

Terdapat dua jenis sistem pancitan bahan api elektronik, iaitu throttle body fuel injection dan port fuel injection.

Sistem throttle body fuel injection terdiri dari sama ada satu atau dua penyuntik bahan api yang ditempatkan pada bahagian atas injap pendikit manakala port fuel injection pula adalah sistem yang kebanyakannya digunakan oleh kenderaan moden kini iaitu dengan menempatkan setiap penyuntik bahan api secara berasingan pada liang kebuk masuk berdasarkan jumlah silinder pada enjin.

Walaupun begitu, kedua-dua sistem ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing dari segi tahap penjimatan dan keberkesanan kuasa bagi pembekalan.

Sistem ini mempunyai kelebihan dari segi penjimatan dan keberkesanan kuasa daripada sistem karburator. Walaupun begitu, masih ramai berpendapat karburator mempunyai banyak kelebihan berbanding sistem ini.

Sistem suntikan memerlukan banyak penggunaan alat mekanikal dan elektrikal, mempunyai lebih banyak kemungkinan dan bahagian yang perlukan penyelengaraan serta mudah rosak terutamanya pada bahagian litar elektronik jika tidak dijaga dengan betul.

Bagi tujuan pengubahsuaian pula, tidak banyak yang boleh dilaras terhadap sistem ini melainkan dengan penukaran komponen secara menyeluruh ataupun dengan penggunaan sistem ECU yang membolehkan penalaan bebas dilakukan.

Namun kelebihan sistem pancitan elektronik ini ternyata telah membuktikan kemampuannya dalam memberikan kuasa terbaik pada kadar penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan.

Sistem suntikan menjanjikan perjalanan operasi yang cemerlang di samping menjamin tahap penjimatan bahan api dan keberkesanan kuasa pada enjin jika setiap bahagian mekanikal luarannya diselenggara dengan baik.

Seperti injector, fuel rail, fuel regulator, fuel filter dan fuel pump yang setidak-tidaknya perlu diperiksa sekali setiap setahun.

Dalam zaman yang semakin membawa para peminat automotif ke era pengetahuan baik dari segi teknikal, praktikal ataupun teori, pengetahuan terhadap sistem penalaan bagi unit ECU semakin mendapat tempat pada mereka yang cenderung mengubahsuai enjin yang berdasarkan sistem suntikan bahan api elektronik.

Sama ada unit penambahan piggyback ataupun unit ECU stand alone yang menggantikan modul ECU asal bagi membolehkan parameter serta unit pelarasan ditentukan oleh mekanik, jurutera serta penala kenderaan untuk memperolehi tahap prestasi enjin yang lebih dinamik berdasarkan pengubahsuaian mekanikal yang telah dilakukan.

Seperti sistem karburator yang ditala mengikut spesifikasi enjin, penalaan pada modul EMS (Electronic Engine Management System) stand alone ini bukanlah sesuatu yang mudah. Para penala perlu memahami unit asas serta parameter asal pada enjin tersebut.

Walau apa pun kaedahnya dan perbezaan antara kedua-dua sistem baru dan lama ini, tujuan utamanya adalah masih sama iaitu untuk mencapai satu tahap keberkesanan dan kepuasan dari sumber yang sama.



Rujukan: http://www.kosmo.com.my.......pe_02.htm

05 February 2008

Tips Keselamatan: Elak Berlaku Kecurian Di Rumah

Tips menghalang kecurian:

1. Jangan biarkan anak-anak tidur di ruang tamu seorang diri (Mereka mungkin menggunakan anak sebagai tebusan).

2. Kunci atau sorokkan semua pisau-pisau yang terdapat di dapur sebelum tidur (Kesemua kes kecurian di dapati pisau hilang dan menurut polis mereka akan mencari pisau dahulu sebelum mencuri bertujuan untuk melindungi diri mereka).

3. Sekiranya terdengar/terlihat paip air di luar rumah terbuka pada tengah malam (pukul 12 ke atas), jangan keluar rumah untuk menutup paip tersebut kerana ini adalah taktik terbaru mereka di mana mereka telah menunggu diluar pintu rumah untuk masuk (Kes terbaru berlaku di Dungun dan PJ).

4. Beritahu anak-anak sekiranya hendak ke tandas (jika tandas jauh) di waktu tengah malam, kejutkan ibubapa untuk bersama mereka.

5. Jangan simpan barang-barang kemas di dalam almari baju (Cara lama).

6. Bawa alarm kereta bersama semasa tidur, in case terjaga tengah malam, cuba on and offkan balik untuk menakutkan pencuri (Menandakan kita sentiasa alert).

7. Tekan button merah alarm kereta anda jika anda suspect pencuri sudah masuk ke dalam rumah.

8. Sekiranya terlihat orang-orang yang agak aneh dan asing di kawasan rumah anda, sila dapatkan plet no motor/kereta mereka (Selalunya naik motor dan mereka ni biasanya berdua, setiap kali kita lalu depan mereka, mereka akan menundukkan kepala).

9. Pesan kepada jiran, sekiranya ada sesiapa yang datang ke rumah kita dan mengaku saudara kita bertujuan untuk mengambil barang-barang, jangan benarkan, beri nombor telefor pejabat anda kepada jiran supaya mereka boleh double check dengan kita.

10. Semasa tidur, pastikan handphone anda berada di sisi atau pastikan juga Cordless Phone anda berada di sisi anda ataupun sambungkan satu extension dalam kamar tidur anda. Ini memudahkan anda membuat panggilan kecemasan sekiranya anda terasa kehadiran pencuri di dalam rumah anda.

11. Adakan senarai nombor telefon kecemasan seperti polis, bomba , 991 atau sebagainya. Pastikan nombor-nombor ini disimpan dalam handphone anda. Kalau boleh, hafalkan nombor tersebut. Ini memudahkan anda membuat panggilan telefon.

12. Kalau berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau automatik alarm.

13. Lampu porch & lampu belakang rumah sepatutnya terpasang secara automatik bila malam, baik semasa kita ada di rumah atau pergi vacation.

14. Kalau cuti lama, pesan jiran kutip surat2 dlm mail box. Mail box yg penuh membantu pencuri menghidu ketiadaan tuan rumah.

15. Kalau kawasan anda kerap berlaku kecurian, buat permohonan rasmi dari balai polis berdekatan supaya ada anggota polis buat rondaan yang kerap di kawasan anda.

16. Kereta Proton adalah paling mudah dicuri. Kalau kereta anda brand new, sekurang-kurangnya anda perlu lock gear & stering sebelum tidur (Sebenarnya masih boleh dicuri, tetapi akan berjaya melambatkan pencuri).

17. Kalau ada anak-anak perempuan, sebaik-baiknya pintu biliknya dikunci dari dalam (Sebab ada pencuri yg mengambil kesempatan seksual) dan anda perlu ada kunci pendua in case berlaku kebakaran.

18. Sekurang-kurangnya simpan kayu hoki atau baseball di bawah katil anda buat mempertahankan diri dari pencuri yang ganas.

19. Jangan letak kunci bawah pasu bunga/mail box/alang pintu/tepi tingkap bila keluar (Pencuri dah lama tau taktik ni). Lebih selamat beri pada jiran yang kita kenal rapat.

20. Kalau sewa rumah baru pastikan anda tukar padlock baru, mana tau bekas-bekas penyewa lama simpan kunci pendua.

21. Kurangkan pendedahan dan pergaulan anda dengan pekerja asing.

Radang Punca Batuk Berkahak

Rasa sukar bernafas serta batuk yang melarat boleh dialami pesakit hingga berminggu-minggu. Bagi perokok, inilah antara sebab untuk menghentikan saja tabiat tersebut.





TIADA yang lebih merimaskan daripada terpaksa menanggung rasa sakit dada akibat kesulitan bernafas. Itu belum lagi bercakap tentang batuk yang berangkai-rangkai, tanpa boleh dikawal atau dihentikan sekejap dengan berdehem.

Itulah antara kesukaran yang dialami oleh mereka yang menghidap bronkitis.

Pesakit berasa sulit kerana laluan salur yang membawa udara ke paru-paru mengalami keradangan - menyebabkan ia membengkak dan menghasilkan mukus atau kahak. Inilah yang membuatkan seseorang pesakit tidak dapat mengawal batuk.

Terdapat dua jenis bronkitis dalam istilah perubatan. Bronkitis akut lazimnya dijangkiti dengan cepat dan kemudian beransur baik selepas dua atau tiga minggu. Bagi kebanyakan orang sihat, bronkitis seperti ini akan sembuh tanpa banyak masalah.

Bronkitis kronik pula dihidapi berulang kali dan akan kekal lebih lama, terutamanya bagi mereka yang merokok.

Bronkitis kronik bermakna seseorang mengalami masalah batuk berkahak pada kebanyakan hari dalam sebulan untuk tempoh tiga bulan, dan ia seringkali terjadi dalam tempoh dua tahun berturut-turut.


Kes kronik membuatkan lapisan dalam tiub bronkiol membengkak sehingga menyempitkan salur udara.


Bronkitis akut secara umumnya disebabkan oleh jangkitan paru-paru, dengan 90 peratus daripadanya berpunca daripada virus dan selebihnya bakteria. Bronkitis kronik pula boleh disebabkan oleh satu atau beberapa faktor.

Kejadian bronkitis akut berulang mampu melemah dan menjejaskan salur pernafasan dari semasa ke semasa dan akhirnya boleh mengakibatkan bronkitis kronik.

Pencemaran industri adalah salah satu puncanya. Kebarangkalian laporan kes bronkitis kronik adalah lebih tinggi di kalangan pekerja lombong, pekerja ladang bijirin, pemotong keluli dan beberapa lagi jenis pekerjaan lain yang melibatkan persekitaran berdebu.

Punca utama bronkitis adalah tabiat merokok yang kerap dan dalam jangka masa panjang.

Perbuatan tersebut menjejaskan salur bronkiol dan membuatkan ia menghasilkan lebihan mukus.

Simptom bronkitis kronik juga memburuk sekiranya pesakit berada di persekitaran yang penuh dengan sulfur dioksida dan unsur pencemaran lain.

Kanak-kanak dan orang dewasa berisiko mendapat bronkitis akut. Kes ini banyak disebabkan oleh jangkitan virus.

Selalunya, seseorang boleh mendapat bronkitis akut selepas mengalami jangkitan saluran pernafasan atas seperti selesema atau demam. Dalam kes yang lebih terpencil, bronkitis akut disebabkan oleh bakteria.

Sebelum merujuk kepada doktor untuk rawatan, seseorang boleh mengenal pasti akan simptomnya. Antara simptom bronkitis akut yang paling biasa adalah batuk yang kedengaran kering dan berulang-ulang.

Selepas beberapa hari, batuk akan disertai mukus atau kahak. Pesakit juga boleh mendapat demam biasa dan berasa tidak bermaya.

Simptom bronkitis akut biasanya bermula tiga atau empat hari selepas jangkitan di saluran pernafasan atas. Kebanyakan pesakit akan berkeadaan lebih baik antara dua hingga tiga minggu.

Namun, bagi yang kurang bernasib baik, batuk mereka akan berpanjangan sehingga empat minggu lamanya.

Adakalanya, penghidap pneumonia menunjukkan simptom yang sama seperti bronkitis akut. Oleh kerana pneumonia boleh menjadi lebih teruk, adalah sangat penting untuk membezakan kedua-duanya.

Simptom pneumonia melibatkan demam teruk termasuk rasa sejuk hingga menggigil serta kesesakan nafas.

Bagi kebanyakan orang, penyakit bronkitis akut boleh dirawat di rumah. Amalan yang paling mudah untuk diikut adalah minum air dengan banyak. Sementara terdapat banyak jenis ubat-ubatan boleh dibeli dari kaunter farmasi.

Lazimnya, doktor mencadangkan ubat batuk cecair expectorant bagi membolehkan pesakit menyingkirkan mukus ketika batuk.

Untuk mengelakkan rasa tidak selesa akibat tekak yang kering dan sakit, ubat hisap atau gula-gula boleh dimanfaatkan. Walaupun ia bukannya penyelesaian masalah batuk, ia masih boleh membuatkan tekak berasa lebih lega. - HAMZAH ABDUL HAMID



Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo.....Kesihatan&pg=ke_01.htm