Elakkan daripada mengadu domba dan membuat fitnah kerana kesannya tidak boleh mencium syurga. Begitu juga golongan yang menghasut dengan "lempar batu sembunyi tangan".
“Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” ~ (Surah al-Hujurat: 6)
Peliharalah lidah daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh syariat, seperti mengadu domba atau menyebar fitnah kerana ia merosakkan perhubungan sesama insan. Takutlah terhadap balasan mengadu domba itu. Balasannya adalah api neraka sebagaimana yang diperlihatkan kepada Nabi SAW pada malam Isra‘ dan Mi‘raj.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari sahabat, Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW berjalan pada suatu tempat lalu mendengar suara dua orang yang sedang disiksa di dalam kuburnya. Rasulullah SAW bersabda: “Dua orang (yang berada dalam kubur ini) disiksa, tapi bukan disiksa kerana melakukan dosa besar.”
Baginda bersabda: “Ya, salah seorang daripada keduanya itu tidak bersuci dengan bersih setelah berkencing, sementara yang satu pula berjalan (di kalangan manusia) dengan mengadu domba”. ~ (Hadis riwayat al-Bukhari)
“Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang.” ~ (Surah al Hujuraat: 12)