Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

17 February 2008

Perniagaan Peniaga Kecil Berkembang dengan ICT

ICT jamin PKS berkembang

Oleh Husain Jahit

husain@hmetro.com.my



Jumlah sebenar pengusaha ini mungkin tidak ada di dalam statistik mana-mana agensi kerajaan di Malaysia dek kerana perniagaan yang tidak berdaftar dan hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menampung keperluan kewangan keluarga.

Kewujudan mereka juga kadangkala tidak kekal. Sekejap ada, tak lama kemudian hilang dan timbul yang lain pula.


Namun, mereka inilah sebenarnya yang menjadi pemangkin ekonomi negara kerana dari jumlah yang sedikit itu jika dihimpunkan akan menjadi banyak dan pendapatan mereka menjadi besar.

Mungkin lebih 400,000 PKS berada di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti perniagaan yang dijalankan, daripada makanan hinggalah pertanian dan pembuatan.

Untuk memastikan kesinambungan aktiviti mereka, kerajaan bersama agensi berkaitan dengannya serta pihak swasta terutamanya institusi kewangan menyediakan pelbagai bantuan sama ada dari segi pengurusan atau kewangan.

Pertumbuhan PKS turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat di negara ini.

Dengan 100 juta PKS yang ada di seluruh dunia ketika ini (lebih banyak jika dibandingkan dengan gabungan seluruh penduduk di Korea dan Australia), ia berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 1.5 bilion orang.

Itu bermakna fenomena PKS membantu pertumbuhan ekonomi negara itu bukan saja berlaku di sini, malah turut dirasai di seluruh dunia.

Di India terdapat 10 juta PKS ketika ini dan dijangka meningkat sekali ganda dalam tempoh tiga tahun.

Lebih 70 peratus pekerjaan di India diwujudkan daripada PKS, manakala China mewujudkan 80 peratus peluang pekerjaan.

Secara purata dalam tempoh 10 tahun terakhir ini, PKS mewujudkan 80 peratus peluang pekerjaan setiap tahun.

Berdasarkan tinjauan penyedia rumusan rangkaian terkemuka dunia, Cisco Systems Inc. (Cisco) menunjukkan sebanyak 237,000 komputer peribadi (PC), 54,000 peranti telapak dan 273,000 telefon bimbit dibeli setiap hari oleh PKS.

Ia jelas membuktikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah faktor pemboleh kepada PKS untuk lebih berdaya saing di dalam negara sendiri atau langsung ke peringkat antarabangsa.

Menurut Pengarah, Operasi Komersial, Asia Pasifik, Cisco, Stuart Hendry, China saja membelanjakan kira-kira AS$28 bilion untuk ICT sepanjang 2007, sementara Korea membelanjakan AS$16 bilion dan negara Asean membelanjakan AS$11.1 bilion.

Katanya, petunjuk itu jelas membuktikan kita berada di era perniagaan dan teknologi eksponensial.

“ICT adalah satu daripada kaedah yang amat diyakini dapat membantu PKS berkembang pesat hingga ke peringkat global. Kami sebagai vendor ICT terkemuka berasa terpanggil untuk membantu mereka mengembangkan pasaran.”

“Kami tidak pernah memandang rendah PKS walaupun selama ini kami lebih banyak menumpukan pasaran kepada syarikat besar. Kami tahu perbelanjaan PKS di negara Asean ke atas ICT dijangka melebihi AS$11.1 bilion tahun ini,” katanya.

Oleh itu, kata Hendry pasaran PKS amat besar dan jika separuh daripada PKS sedunia menggunakan produk tanpa wayar Cisco, jumlah jualan Cisco akan meningkat sebanyak AS$10 bilion dan jika 10 peratus daripada PKS itu memiliki telefon IP Cisco di atas meja mereka, jumlah telefon IP Cisco yang dikirim hingga hari ini akan meningkat sepuluh kali ganda.

Menurut Hendry lagi, daripada kajian AMI Partner mengenai perbelanjaan ICT PKS di seluruh dunia bagi 2007 saja sudah melepasi belanjawan yang dikeluarkan syarikat-syarikat besar.

Lebih 80 peratus masyarakat di Malaysia sudah memiliki telefon bimbit dan lebih 90 kawasan berpenduduk di Malaysia sudah diliputi rangkaian telekomunikasi mudah alih.

Penyedia perkhidmatan jalur lebar negara juga tidak kira kaedah berwayar atau tanpa wayar begitu agresif menyediakan pelbagai tawaran untuk menarik lebih ramai pelanggan mengguna pakai jalur lebar bagi capaian Internet berkelajuan tinggi.

Jelas sekali komunikasi amat penting dalam urusan seharian. Dengan telefon bimbit kita boleh berhubungan di antara satu dengan lain hampir di mana saja. Manakala menerusi Internet kita boleh mengirim e-mel, mencari maklumat dan sebagainya untuk mengembangkan perniagaan.

Sekiranya semua pengusaha PKS memanfaatkan pelbagai kemudahan yang sudah sedia ada di negara itu, sudah pasti makcik nasi lemak atau pakcik pisang goreng mampu hidup lebih mewah apabila perniagaan mereka turut berkembang sebagaimana berkembangnya inovasi ICT di negara ini.

Kita masih mengambil contoh makcik atau pakcik menjual goreng pisang, tapi tidak pernah dilihat mereka meletakkan nombor telefon sebagai iklan.

Sebagai pelanggan mungkin lebih baik menelefon terlebih dulu sebelum keluar rumah kerana dikhuatiri kedai tutup atau jualan habis.

Kemudahan sebegitu yang tidak disedari kebanyakan pengusaha PKS di negara kita, walaupun kita tahu lebih 80 peratus penduduk negara ini sudah memiliki telefon bimbit yang memberi makna bahawa daripada 10 gerai pisang itu, lapan daripadanya memiliki telefon bimbit.

Kadar penembusan pemilikan komputer peribadi juga meningkat secara mendadak di negara ini. Jika digabungkan dengan perkhidmatan jalur lebar atau capaian Internet menggunakan kaedah dail masuk, sudah tentu e-mel pula menjadi kaedah komunikasi paling pantas dan menjimatkan.

Apa ditunggu lagi? Paparkan papan iklan di setiap gerai atau pejabat anda lengkap dengan nombor telefon dan alamat e-mel untuk kemudahan orang ramai menghubungi anda, sekali gus perniagaan berkembang pesat secara tidak langsung.

Adalah lebih baik sekiranya kemudahan komunikasi seperti itu digunakan. Jika mahukan perniagaan berkembang maju, jangan diabaikan kemudahan sedia ada.

Berbalik kepada penyedia rumusan rangkaian Cisco, gergasi dunia itu juga sebenarnya memiliki pelbagai rumusan untuk kemudahan pengusaha PKS terutama yang beroperasi di dalam pejabat.

Selain kemudahan capaian Internet di atas sistem berangkaian, komunikasi asas suara menggunakan telefon berprotokol Internet (IP) juga amat berguna kepada PKS.

Kemudahan berasaskan IP adalah antara kaedah yang amat menjimatkan. Contohnya telefon IP yang hanya dikenakan caj dengan kadar tempatan walaupun membuat panggilan antarabangsa.

Menurut Hendry, Cisco mendefinisikan pengusaha perniagaan kecil sebagai syarikat yang memiliki kurang daripada 100 pekerja dan syarikat bersaiz sederhana pula dengan jumlah pekerja di antara 100 hingga 249 orang.

“Untuk itu, Cisco memiliki portfolio lengkap akhir-ke-akhir bagi rumusan sistem berangkaian dari router, suis, storan tanpa wayar dan komunikasi bersepadu.”

“Antaranya Cisco 800 Series dan 1800 Series (router), Cisco Catalyst Express 500 dan Catalyst 2960 (suis), Cisco Aironet AP1000, 1130AG/1230AG dan 1242AG series (storan tanpa wayar) serta Unified Comm Mgr Express Unity Express dan End-points & Mobility (komunikasi bersepadu),” katanya lagi.

Dengan amalan perkomputeran berangkaian di sesebuah pejabat PKS, satu penjimatan besar dapat dilakukan kerana semua pekerja boleh berkongsi di atas satu talian bagi mencapai perkhidmaan Internet.

Mereka juga boleh berkongsi sistem storan, berkongsi mesin pencetak, malah berkongsi fail dengan mudah untuk menjadikan pengurusan perniagaan itu lebih cekap dan berkesan.

Satu kajian kes ke atas syarikat perunding pemasaran tempatan, In2 Marketing & Consulting Sdn Bhd yang sudah berjaya menembusi pasaran serantau, mendapati syarikat itu amat berpuas hati dengan prestasi rumusan yang diperkenalkan Cisco kerana sudah menyumbang secara signifikan kepada penjimatan kos.

Menurut syarikat itu, dengan rumusan Cisco, syarikat memiliki keanjalan untuk menambah kapasiti apabila diperlukan dan kami boleh menyeragamkan mengikut keperluan semasa dan keperluan masa depan.

Rumusan Cisco menyokong pertumbuhan syarikat serta meringkaskan pengurusan, penyelenggaraan dan latihan, di samping meningkatkan kecekapan dan kos pemilikan yang rendah, kata In2 Marketing.

Hendry berkata, Cisco akan menjalin kerjasama lebih erat dengan rakan niaga tempatan untuk memasarkan secara agresif produk sedia ada sebagai usaha meningkatkan pasaran dan membantu pengurusan PKS mengembangkan perniagaan bukan saja di dalam negeri, malah terus ke peringkat antarabangsa.



Rujukan: http://www.hmetro.com.my.......indexv_html

16 February 2008

Saintis bukti cinta memang buta

WASHINGTON: Saintis Amerika Syarikat membuktikan cinta sememangnya buta, sekurang-kurangnya dalam memberikan perhatian kepada orang lain yang tidak kurang cantik atau kacak.

Penuntut kolej yang dilamun cinta kurang memberikan perhatian kepada lelaki atau wanita lain yang menarik, menurut kajian pasukan saintis Universiti California Los Angeles (UCLA) dan laman web temu janji, eHarmony.

“Rasa cinta kepada pasangan romantik nampaknya membuatkan orang lain kelihatan kurang menarik, dan emosi berkesan dalam cara amat khas dalam membolehkan anda menolak idea untuk menggoda orang lain jauh daripada fikiran anda,” kata Gian Gonzaga dari eHarmony, yang kajiannya diterbitkan dalam jurnal Evolution and Human Behaviour .


Profesor psikologi dan pengajian komunikasi di UCLA, Martie Haselton pula menambah: “Ia menunjukkan cinta seolah-olah menyebabkan anda buta terhadap orang lain.”

Gonzaga dan Haselton meminta 120 penuntut heteroseksual yang komited dalam hubungan meneliti gambar ahli laman web eHarmony berlainan jantina yang menarik.

Sukarelawan diminta memilih gambar paling menarik dan menulis karangan sama ada mengenai pasangan mereka atau subjek pilihan.

Ketika menulis, penuntut diminta melupakan ‘wajah paling panas’ daripada laman web itu, tetapi diarah meletakkan tanda jika terfikir ada gambar yang menarik.

Sukarelawan yang menulis mengenai pasangan itu didapati enam kali kurang berkemungkinan untuk mengaku memikirkan orang lain yang menarik berbanding sukarelawan yang menulis mengenai subjek rawak.

Mereka kemudian diminta berfikir kembali wajah menarik dalam gambar dan penuntut yang menulis mengenai kekasih masing-masing tidak mengingati banyak maklumat mengenai penampilan fizikal orang lain yang menarik itu.

“Mereka cuma ingat warna baju atau sama ada gambar itu diambil di New York tetapi tidak ingat sesuatu yang istimewa mengenai individu berkenaan.

“Ia bukan bermakna ingatan mereka lemah; ia seolah-olah mereka secara berhati-hati menolak keluar perkara yang membuatkan mereka berfikir mengenai betapa menariknya alternatif itu,” kata Gonzaga. - Agensi


Rujukan: http://www.bharian.com.my.......20080214232213/Article

11 February 2008

Guna Gas Asli NGV Hanya RM0.68 Seliter untuk Perjalanan 45km

RM0.68 seliter lebih 45 km

Penggunaan gas asli (NGV) memang menjimatkan selain bersifat mesra alam, lebih ringan, tidak berwarna dan tidak berbau. Bagaimanakah ia boleh diaplikasikan pada kenderaan persendirian?


FAUZI bersama model komponen sistem NGV yang ditawarkan syarikatnya.


KETIKA pemilik-pemilik kenderaan persendirian di negara ini mengeluh tentang peningkatan harga petrol dan diesel, pada masa yang sama, kebanyakan mereka masih menganggap penggunaan gas asli untuk kenderaan (NGV) hanya terhad untuk teksi. Sedangkan kereta mereka juga sebenarnya boleh ‘dikurniakan’ alternatif ini.

Penggunaan NGV mula digalakkan oleh kerajaan bermula pada tahun 1990-an, terutama sekitar tahun 1998 semasa Sukan Komanwel (SUKOM ‘98) berlangsung dan teksi-teksi turut diberi bantuan subsidi penukaran daripada sistem petrol kepada sistem NGV. Menurut data yang diberikan, sehingga bulan Disember 2006, daripada 30,000 kenderaan NGV di Malaysia, 90 peratus daripada kenderaan NGV adalah teksi.

“Memang kebanyakan orang di negara ini masih berfikir yang NGV hanya untuk pengangkutan awam terutamanya teksi, walhal kenderaan waima Kancil pun boleh menggunakannya tanpa masalah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Gas Engineering CNG Sdn. Bhd., Fauzi Omar ketika sidang media mengenai teknologi pertukaran sistem petrol kepada NGV di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Walaupun kos untuk menukar kenderaan bersistem petrol kepada sistem NGV memerlukan kos yang agak tinggi iaitu antara RM2,500 hingga RM5,500, namun ia dianggap berbaloi kerana mampu melakukan penjimatan perbelanjaan petrol sehingga 70 peratus.

Selain itu, menggunakan bahan bakar NGV lebih mesra alam kerana ia lebih bersih. Terdapat kajian-kajian di universiti tempatan yang membuktikan bahawa penggunaan NGV mengurangkan emisi karbon monoksida dan sebagainya. Lebih ringan, tidak berwarna dan tidak berbau ia mungkin solusi kepada penyakit sakit otak atau sesak nafas yang boleh disebabkan oleh bahan bakar seperti petrol dan diesel.

“Kerajaan juga memberikan insentif kepada mereka yang menggunakan sistem NGV dengan pengurangan cukai jalan sebanyak 25 peratus.

“Warga kota terutamanya tidak perlu bimbang kerana 48 daripada 56 buah stesen pengisian gas asli di negara ini terletak di Lembah Klang. Dijangka pada tahun ini juga, bilangan stesen pengisian gas asli Malaysia akan dipertingkat sehingga 200 buah,” katanya.


KOMPONEN silinder dalam sistem NGV pada sebuah kenderaan.


Fauzi memberitahu, secara umumnya terdapat tiga jenis sistem NGV iaitu bi-fuel iaitu untuk pengisian petrol atau gas asli, dual fuel untuk pengisian diesel dan gas serta nanogas yang mengkhusus kepada pengisian gas asli sahaja.

Fauzi seterusnya menyerahkan pembentangan mengenai operasi NGV dan pemasangan NGV yang ditawarkan syarikatnya kepada Pengurus Kanan (Latihan dan Keselamatan) MOG Sdn. Bhd., Zoel Fareez Omar.

Zoel memberitahu, penggunaan NGV membantu pembakaran yang lebih baik dan bersih serta ketahanan enjin yang lebih lama. Penjimatan yang diwujudkan bukanlah omongan kosong.

“Bandingannya, bagi seliter petrol berharga RM1.92 membolehkan kenderaan bergerak sejauh 15 kilometer tetapi dengan NGV, RM0.68 seliter, ia mampu bergerak lebih 45 kilometer,” jelasnya sambil membuat pengiraan di papan putih.


TEMPOH pemasangan sistem NGV berbeza mengikut cara pemasangannya.


Kata Zoel, pemasangan sistem NGV yang ditawarkan boleh didapati secara karburator dan suntikan. Kenderaan berkaburator mestilah berusia tidak melebihi 13 tahun.

Secara asasnya, komponen-komponen yang terdapat dalam sistem NGV ialah pengatur (regulator), injap pengisian gas, pencampur, aksesori injeksi, paip laluan gas, injap silinder, silinder dan suis pemilihan.

Pengguna dapat mengetahui status amaun gas asli dalam kenderaan menerusi empat lampu penanda di dalam kenderaan. Jika keempat-empat lampu berkelip-kelip, ini menunjukkan amaun gas asli semakin berkurang.

“Bagi kereta yang memasang NGV secara karburator, jika mereka hendak menukar penggunaan petrol kepada gas asli ketika dalam perjalanan mereka perlu memastikan petrol benar-benar telah habis. Tetapi bagi pemasangan secara suntikan, mereka boleh menukar bahan bakar bila-bila masa sahaja,” katanya sambil menjelaskan kos pemasangan bagi secara karburator ialah RM2,500 hingga RM3,800 manakala secara suntikan daripada RM3,800 sehingga RM5,500.

“Kos yang tinggi untuk memasang sistem NGV ini banyak disumbangkan oleh kenyataan kebanyakan produk ini ialah produk import kerana negara kita belum berpengalaman sepenuhnya dalam bidang ini,” ujarnya.

Pemasangan secara karburator mengambil masa selama satu hari untuk disiapkan sementara secara suntikan mengambil masa paling kurang dua hari.

Menurutnya, set NGV yang ditawarkan syarikatnya diimport dari luar negara dan memenuhi piawaian yang ditetapkan SIRIM.

“Kami sudah memasang produk ini pada berbagai jenis kenderaan seperti Naza Ria, Perodua Kancil dan Jip Cherokee. Setakat ini, segalanya berjalan lancar.

“Untuk lebih meyakinkan, orang ramai digesa agar merujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom setelah pemasangan dilakukan,” katanya.


SISTEM NGV membantu pembakaran yang lebih bersih.


Bagaimanapun, oleh kerana sesebuah kereta yang dipasang dengan sistem NGV itu sebenarnya tidak dicipta khusus untuk menerima bahan bakar gas asli, ia sedikit sebanyak mewujudkan beberapa kekurangannya.

“Memang tidak dinafikan, ada berlaku pengurangan efisiensi, tetapi dalam peratusan yang rendah,” katanya.

Gas Engineering CNG Sdn. Bhd. yang beralamat di No.12A, Jalan Bullion Mewah 8, Batu Caves, Selangor akan mengadakan bengkel mengenai NGV pada 16 Februari ini di sebuah lokasi yang bakal ditentukan kelak. Kepada mereka yang berminat bolehlah menghubungi Fauzi di talian 016-364 7119 atau Yanie di talian 012-229 0970.



Rujukan: http://www.kosmo.com.my......in_01.htm

09 February 2008

Enjin Kenderaan: Karburator atau EFI

Sejajar dengan perubahan masa, sistem pembekalan bahan api automotif juga mengalami revolusi.


SISTEM kaburator masih mempunyai peminat kerana sifatnya yang ringkas dan tahan lasak.


SEWAKTU awal era terciptanya enjin yang dikhaskan untuk memikul tugas bagi kenderaan penumpang serta komersial, para jurutera bertungkus-lumus mencipta dan menghasilkan kaedah yang terbaik bagi mewujudkan pembekalan bahan api yang sejajar dengan kemampuan kenderaan serta prestasinya.

Ini disebabkan sesaran enjin adalah merupakan isu dan pengaruh utama terhadap karakter penggunaan bahan api pada sesebuah kenderaan.

Dengan kemajuan yang tercapai itu juga maka pada zaman ini enjin bersesaran 1.5 liter bersama berat keseluruhan kenderaan 1,100 kilogram (kg) yang mampu mencatat penjimatan bahan api seperti 180 kilometer/10 liter. Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan lagi setelah apa yang mampu dihasilkan melalui proses revolusi teknologi yang kian maju.

Sistem karburator mula direka sebagai pengurus mekanikal yang berperanan membekalkan campuran udara dan bahan api untuk kegunaan enjin.

Keunggulan sistem yang telah berusia lebih 100 tahun ini masih digunakan sehingga sekarang dan ia masih menjadi kegilaan para peminat muscle car dan hotrod di Barat meskipun sistem pancitan bahan api elektronik (EFI) telah bertapak lama di benua tersebut.

Keistimewaan sistem ini sememangnya telah diakui dan ternyata begitu banyak perbezaan yang boleh dihuraikan antara dua kaedah pembekalan dan pengurusan bahan api ini.

EFI atau Electronic Fuel Injection adalah kaedah pembekalan bahan api yang menggunakan teknik menyuntik dan menyembur bahan api yang berkeadaan halus ke dalam ruang pembakaran enjin dan dikawal secara elektronik.

Ia dikendalikan oleh modul penting yang dikenali dengan pelbagai nama seperti ECU, ECM, EMC, EMS dan berbagai lagi terma yang lain.

Kesemuanya menjelaskan bahawa aktiviti pengurusan enjin dikawal oleh sistem elektronik dari pengawalan masa, nisbah bahan api, pemantauan aktiviti enjin hinggalah ke masa nyalaan palam.

Sistem pengawalan dan pengurusan elektronik ini bukanlah sesuatu yang baru. Bagi sistem suntikan jenis mekanikal, ia telah mula direka pada era tahun 1900-an.

Ketika itu terdapat berbagai jenis sistem suntikan yang direka pada pelbagai bentuk, kaedah dan kesinambungan terhadap cara ia berfungsi.

Era tahun 50-an adalah masa di mana sistem suntikan bahan api elektronik pertama dihasilkan oleh Bendix Corporation iaitu sebuah syarikat automotif terkenal di Amerika.

Sistem yang diberi nama Bendix Electrojector ini telah menjadi asas dan rujukan kepada kebanyakan pengeluar sistem suntikan pada zaman ini yang telah mengalami evolusi dari semasa ke semasa.

Syarikat gergasi seperti Volkswagen adalah antara syarikat automotif terawal yang memperkenalkan sistem suntikan elektronik yang dihasilkan oleh Bosch pada tahun 1968.

Pada era tahun 70-an, hanya ada beberapa syarikat pengeluar kenderaan sahaja yang menerima dan menggunakan sistem tersebut. Era tahun 80-an adalah kemuncak bermulanya penggunaan sistem ini secara meluas dan telah banyak diaplikasikan pada kebanyakan kenderaan penumpang dan komersial.

Sistem ini mula berubah kaedah operasinya dan mula dipengaruhi oleh faktor rekaan serta jenis kenderaan. Kebanyakan sistem suntikan elektronik pada zaman ini menggunakan kaedah pengawalan dari unit induk iaitu sistem ECU kenderaan.

Ia bertindak mengawal kadar suntikan bahan api mengikut data maklum balas yang diterima oleh beberapa unit sensor yang menghantar maklumat tentang kelajuan, beban dan kadar udara yang masuk ke ruang pembakaran enjin.

Unit-unit sensor seperti air flow sensor dan throttle position sensor adalah antara alat penting untuk sebuah
PENGGUNAAN bahan api pada enjin moden dengan sistem EFI lebih menjimatkan.


sistem suntikan beroperasi dengan baik. Tetapi, rekaan enjin yang berlainan menggunakan kaedah sensor serta pemetaan yang berbeza, bergantung pada spesifikasi asas enjin yang dihasilkan oleh pengeluar.

Terdapat dua jenis sistem pancitan bahan api elektronik, iaitu throttle body fuel injection dan port fuel injection.

Sistem throttle body fuel injection terdiri dari sama ada satu atau dua penyuntik bahan api yang ditempatkan pada bahagian atas injap pendikit manakala port fuel injection pula adalah sistem yang kebanyakannya digunakan oleh kenderaan moden kini iaitu dengan menempatkan setiap penyuntik bahan api secara berasingan pada liang kebuk masuk berdasarkan jumlah silinder pada enjin.

Walaupun begitu, kedua-dua sistem ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing dari segi tahap penjimatan dan keberkesanan kuasa bagi pembekalan.

Sistem ini mempunyai kelebihan dari segi penjimatan dan keberkesanan kuasa daripada sistem karburator. Walaupun begitu, masih ramai berpendapat karburator mempunyai banyak kelebihan berbanding sistem ini.

Sistem suntikan memerlukan banyak penggunaan alat mekanikal dan elektrikal, mempunyai lebih banyak kemungkinan dan bahagian yang perlukan penyelengaraan serta mudah rosak terutamanya pada bahagian litar elektronik jika tidak dijaga dengan betul.

Bagi tujuan pengubahsuaian pula, tidak banyak yang boleh dilaras terhadap sistem ini melainkan dengan penukaran komponen secara menyeluruh ataupun dengan penggunaan sistem ECU yang membolehkan penalaan bebas dilakukan.

Namun kelebihan sistem pancitan elektronik ini ternyata telah membuktikan kemampuannya dalam memberikan kuasa terbaik pada kadar penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan.

Sistem suntikan menjanjikan perjalanan operasi yang cemerlang di samping menjamin tahap penjimatan bahan api dan keberkesanan kuasa pada enjin jika setiap bahagian mekanikal luarannya diselenggara dengan baik.

Seperti injector, fuel rail, fuel regulator, fuel filter dan fuel pump yang setidak-tidaknya perlu diperiksa sekali setiap setahun.

Dalam zaman yang semakin membawa para peminat automotif ke era pengetahuan baik dari segi teknikal, praktikal ataupun teori, pengetahuan terhadap sistem penalaan bagi unit ECU semakin mendapat tempat pada mereka yang cenderung mengubahsuai enjin yang berdasarkan sistem suntikan bahan api elektronik.

Sama ada unit penambahan piggyback ataupun unit ECU stand alone yang menggantikan modul ECU asal bagi membolehkan parameter serta unit pelarasan ditentukan oleh mekanik, jurutera serta penala kenderaan untuk memperolehi tahap prestasi enjin yang lebih dinamik berdasarkan pengubahsuaian mekanikal yang telah dilakukan.

Seperti sistem karburator yang ditala mengikut spesifikasi enjin, penalaan pada modul EMS (Electronic Engine Management System) stand alone ini bukanlah sesuatu yang mudah. Para penala perlu memahami unit asas serta parameter asal pada enjin tersebut.

Walau apa pun kaedahnya dan perbezaan antara kedua-dua sistem baru dan lama ini, tujuan utamanya adalah masih sama iaitu untuk mencapai satu tahap keberkesanan dan kepuasan dari sumber yang sama.



Rujukan: http://www.kosmo.com.my.......pe_02.htm

05 February 2008

Tips Keselamatan: Elak Berlaku Kecurian Di Rumah

Tips menghalang kecurian:

1. Jangan biarkan anak-anak tidur di ruang tamu seorang diri (Mereka mungkin menggunakan anak sebagai tebusan).

2. Kunci atau sorokkan semua pisau-pisau yang terdapat di dapur sebelum tidur (Kesemua kes kecurian di dapati pisau hilang dan menurut polis mereka akan mencari pisau dahulu sebelum mencuri bertujuan untuk melindungi diri mereka).

3. Sekiranya terdengar/terlihat paip air di luar rumah terbuka pada tengah malam (pukul 12 ke atas), jangan keluar rumah untuk menutup paip tersebut kerana ini adalah taktik terbaru mereka di mana mereka telah menunggu diluar pintu rumah untuk masuk (Kes terbaru berlaku di Dungun dan PJ).

4. Beritahu anak-anak sekiranya hendak ke tandas (jika tandas jauh) di waktu tengah malam, kejutkan ibubapa untuk bersama mereka.

5. Jangan simpan barang-barang kemas di dalam almari baju (Cara lama).

6. Bawa alarm kereta bersama semasa tidur, in case terjaga tengah malam, cuba on and offkan balik untuk menakutkan pencuri (Menandakan kita sentiasa alert).

7. Tekan button merah alarm kereta anda jika anda suspect pencuri sudah masuk ke dalam rumah.

8. Sekiranya terlihat orang-orang yang agak aneh dan asing di kawasan rumah anda, sila dapatkan plet no motor/kereta mereka (Selalunya naik motor dan mereka ni biasanya berdua, setiap kali kita lalu depan mereka, mereka akan menundukkan kepala).

9. Pesan kepada jiran, sekiranya ada sesiapa yang datang ke rumah kita dan mengaku saudara kita bertujuan untuk mengambil barang-barang, jangan benarkan, beri nombor telefor pejabat anda kepada jiran supaya mereka boleh double check dengan kita.

10. Semasa tidur, pastikan handphone anda berada di sisi atau pastikan juga Cordless Phone anda berada di sisi anda ataupun sambungkan satu extension dalam kamar tidur anda. Ini memudahkan anda membuat panggilan kecemasan sekiranya anda terasa kehadiran pencuri di dalam rumah anda.

11. Adakan senarai nombor telefon kecemasan seperti polis, bomba , 991 atau sebagainya. Pastikan nombor-nombor ini disimpan dalam handphone anda. Kalau boleh, hafalkan nombor tersebut. Ini memudahkan anda membuat panggilan telefon.

12. Kalau berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau automatik alarm.

13. Lampu porch & lampu belakang rumah sepatutnya terpasang secara automatik bila malam, baik semasa kita ada di rumah atau pergi vacation.

14. Kalau cuti lama, pesan jiran kutip surat2 dlm mail box. Mail box yg penuh membantu pencuri menghidu ketiadaan tuan rumah.

15. Kalau kawasan anda kerap berlaku kecurian, buat permohonan rasmi dari balai polis berdekatan supaya ada anggota polis buat rondaan yang kerap di kawasan anda.

16. Kereta Proton adalah paling mudah dicuri. Kalau kereta anda brand new, sekurang-kurangnya anda perlu lock gear & stering sebelum tidur (Sebenarnya masih boleh dicuri, tetapi akan berjaya melambatkan pencuri).

17. Kalau ada anak-anak perempuan, sebaik-baiknya pintu biliknya dikunci dari dalam (Sebab ada pencuri yg mengambil kesempatan seksual) dan anda perlu ada kunci pendua in case berlaku kebakaran.

18. Sekurang-kurangnya simpan kayu hoki atau baseball di bawah katil anda buat mempertahankan diri dari pencuri yang ganas.

19. Jangan letak kunci bawah pasu bunga/mail box/alang pintu/tepi tingkap bila keluar (Pencuri dah lama tau taktik ni). Lebih selamat beri pada jiran yang kita kenal rapat.

20. Kalau sewa rumah baru pastikan anda tukar padlock baru, mana tau bekas-bekas penyewa lama simpan kunci pendua.

21. Kurangkan pendedahan dan pergaulan anda dengan pekerja asing.

Radang Punca Batuk Berkahak

Rasa sukar bernafas serta batuk yang melarat boleh dialami pesakit hingga berminggu-minggu. Bagi perokok, inilah antara sebab untuk menghentikan saja tabiat tersebut.





TIADA yang lebih merimaskan daripada terpaksa menanggung rasa sakit dada akibat kesulitan bernafas. Itu belum lagi bercakap tentang batuk yang berangkai-rangkai, tanpa boleh dikawal atau dihentikan sekejap dengan berdehem.

Itulah antara kesukaran yang dialami oleh mereka yang menghidap bronkitis.

Pesakit berasa sulit kerana laluan salur yang membawa udara ke paru-paru mengalami keradangan - menyebabkan ia membengkak dan menghasilkan mukus atau kahak. Inilah yang membuatkan seseorang pesakit tidak dapat mengawal batuk.

Terdapat dua jenis bronkitis dalam istilah perubatan. Bronkitis akut lazimnya dijangkiti dengan cepat dan kemudian beransur baik selepas dua atau tiga minggu. Bagi kebanyakan orang sihat, bronkitis seperti ini akan sembuh tanpa banyak masalah.

Bronkitis kronik pula dihidapi berulang kali dan akan kekal lebih lama, terutamanya bagi mereka yang merokok.

Bronkitis kronik bermakna seseorang mengalami masalah batuk berkahak pada kebanyakan hari dalam sebulan untuk tempoh tiga bulan, dan ia seringkali terjadi dalam tempoh dua tahun berturut-turut.


Kes kronik membuatkan lapisan dalam tiub bronkiol membengkak sehingga menyempitkan salur udara.


Bronkitis akut secara umumnya disebabkan oleh jangkitan paru-paru, dengan 90 peratus daripadanya berpunca daripada virus dan selebihnya bakteria. Bronkitis kronik pula boleh disebabkan oleh satu atau beberapa faktor.

Kejadian bronkitis akut berulang mampu melemah dan menjejaskan salur pernafasan dari semasa ke semasa dan akhirnya boleh mengakibatkan bronkitis kronik.

Pencemaran industri adalah salah satu puncanya. Kebarangkalian laporan kes bronkitis kronik adalah lebih tinggi di kalangan pekerja lombong, pekerja ladang bijirin, pemotong keluli dan beberapa lagi jenis pekerjaan lain yang melibatkan persekitaran berdebu.

Punca utama bronkitis adalah tabiat merokok yang kerap dan dalam jangka masa panjang.

Perbuatan tersebut menjejaskan salur bronkiol dan membuatkan ia menghasilkan lebihan mukus.

Simptom bronkitis kronik juga memburuk sekiranya pesakit berada di persekitaran yang penuh dengan sulfur dioksida dan unsur pencemaran lain.

Kanak-kanak dan orang dewasa berisiko mendapat bronkitis akut. Kes ini banyak disebabkan oleh jangkitan virus.

Selalunya, seseorang boleh mendapat bronkitis akut selepas mengalami jangkitan saluran pernafasan atas seperti selesema atau demam. Dalam kes yang lebih terpencil, bronkitis akut disebabkan oleh bakteria.

Sebelum merujuk kepada doktor untuk rawatan, seseorang boleh mengenal pasti akan simptomnya. Antara simptom bronkitis akut yang paling biasa adalah batuk yang kedengaran kering dan berulang-ulang.

Selepas beberapa hari, batuk akan disertai mukus atau kahak. Pesakit juga boleh mendapat demam biasa dan berasa tidak bermaya.

Simptom bronkitis akut biasanya bermula tiga atau empat hari selepas jangkitan di saluran pernafasan atas. Kebanyakan pesakit akan berkeadaan lebih baik antara dua hingga tiga minggu.

Namun, bagi yang kurang bernasib baik, batuk mereka akan berpanjangan sehingga empat minggu lamanya.

Adakalanya, penghidap pneumonia menunjukkan simptom yang sama seperti bronkitis akut. Oleh kerana pneumonia boleh menjadi lebih teruk, adalah sangat penting untuk membezakan kedua-duanya.

Simptom pneumonia melibatkan demam teruk termasuk rasa sejuk hingga menggigil serta kesesakan nafas.

Bagi kebanyakan orang, penyakit bronkitis akut boleh dirawat di rumah. Amalan yang paling mudah untuk diikut adalah minum air dengan banyak. Sementara terdapat banyak jenis ubat-ubatan boleh dibeli dari kaunter farmasi.

Lazimnya, doktor mencadangkan ubat batuk cecair expectorant bagi membolehkan pesakit menyingkirkan mukus ketika batuk.

Untuk mengelakkan rasa tidak selesa akibat tekak yang kering dan sakit, ubat hisap atau gula-gula boleh dimanfaatkan. Walaupun ia bukannya penyelesaian masalah batuk, ia masih boleh membuatkan tekak berasa lebih lega. - HAMZAH ABDUL HAMID



Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo.....Kesihatan&pg=ke_01.htm

04 February 2008

Pengertian Tok Bomoh Atau Pengamal Perubatan Tradisional

Pengertian Tok Bomoh.

Tok Bomoh menurut Kamus Dewan ialah tabib kampung yang mengubati orang sakit dengan menggunakan ubat tradisional atau cara kampung dan jampi-jampi yang tertentu dan sebagainya. Termasuk juga dalam istilah ini ialah Tok Pawang dan dukun.

Pecahan-pecahan Tok Bomoh

Tok Bomoh dalam masyarakat Melayu secara ringkasnya boleh dibahagikan kepada beberapa pecahan dan bidang mengikut kepakaran masing-masing. Antara yang terkenal ialah :-

a. Tok Bomoh Kayap
Tok Bomoh Kayap biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti daun sireh, kapur makan, pinang dan sebagainya.

b. Tok Bomoh Santau
Tok Bomoh Santau biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti tanah liat, bawang merah, sireh pinang dan sebagainya.

c. Tok Bomoh Barah
Tok Bomoh Barah biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti telur ayam, akar lalang, sireh pinang dan sebagainya.

d. Tok Bomoh Patah
Tok Bomoh Patah biasanya mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti minyak, daun mengkuang, air telaga dan sebagainya.

f. Tok Bomoh Ekor
Tok Bomoh Ekor biasanya menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu dan jampi serapah menyeru Jin dalam usaha untuk menghadirkan nombor ekor yang diingininya. Manakala peralatan yang sering digunakan ialah seperti telur ular tedung, cawat besi, keris atau senjata lama dan sebagainya.

g. Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit.
Tok Bomoh Harta Karun/Tarik Duit menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu dalam usaha mereka menarik duit atau mencari harta karun yang tersembunyi di mana-mana. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti stareka cap kepala ayam, talam tembaga, batu delima merah, lesong batu berlubang, keris samar kucing dan sebagainya.

h. Tok Bomoh Urat/urut
Tok Bomoh Urat dan urut mengubati pesakitnya dengan menggunakan jampian yang di ambil daripada ayat-ayat Al-Quran dan mentera-mentera tertentu. Manakala peralatan yang digunakan ialah seperti minyak angin, air telaga dan sebagainya.

i. Tok Bomoh Budak, Tok Bomoh kecil dan sebagainya
Tok Bomoh budak, Tok Bomoh kecil yang boleh berubat berbagai-bagai jenis penyakit yang pelik-pelik tanpa belajar dari mana-mana, walaupun beliau masih kecil dan belum akhil baligh.


j. Tok Bomoh Pulih Dara
Tok Bomoh pulih dara rawatan asalnya
bertujuan merawat sistem peranakan lebih-lebih lagi bagi yang kerap melahirkan anak dan 'mengencangkan' semula alat sulit, bertukar menjadi rawatan menutup rahsia akibat keterlanjuran. Antara peralatan yang digunakan adalah daun sirih, urutan dan kemian.


Senarai di atas adalah merupakan sebahagian daripada pecahan-pecahan Tok Bomoh dalam istilah masyarakat Melayu. Walaupun begitu masih banyak lagi pecahan Tok Bomoh yang tak dapat di terangkan dan dimasukan dalam tulisan ini kerana terlalu banyaknya pecahan tersebut.


Cara-cara menjadi Tok Bomoh dan seumpamanya.

Untuk menjadi Tok Bomoh dan sumpamanya, adalah melalui berbagai jalan dan caranya yang tertentu. Antaranya :-

a. Melalui warisan dari keturunan datuk neneknya atau melalui saka-baka, di mana datuk nenek atau keturunanya yang terdahulu pernah menjadi Tok Bomoh yang terkenal dan apabila mereka meninggal dunia maka ilmu perbomohan itu menurun atau mengalir terus ke dalam tubuh anak-cucu mereka pula.

b. Mereka didatangi oleh Khadam yang menyerupai datuk neneknya dalam mimpi yang memberitahunya supaya membaca ayat-ayat, jampi -jampi atau mentera-mentera tertentu. Setelah diamalkan ayat-ayat atau jampi tersebut maka datanglah khadam-khadam tertentu untuk memberi pertolongan.

c. Melalui bacaan wirid, ayat, jampi, serapah atau doa-doa tertentu yang diamalkanya.

d. Melalui amalan-amalan latihan pertahanan diri tertentu, ataupun daripada ilmu perlatihan pertahanan dirian yang dituntutnya.

e. Melalui pertapaan atau uzlah di tempat-tempat tertentu seperti di dalam gua, di muka kuala, di dalam hutan dan sebagainya sehingga dikunjungi oleh khadam-khadam yang bersyarat bagi menghasilkan hajatnya.

f. Melalui pembelajaran dan penerimaan daripada guru-guru yang mempunyai khadam atau yang diamalkanya melalui kitab-kitab tertentu secara bersendirian.

g. Meniru tanpa berguru iaitu samada belajar dari kitab atau melihat cara orang lain berubat lalu di tirunya.


KESESATAN DALAM PERUBATAN

Kebanyakan kesesatan yang boleh membawa kepada syirik dan menyebabkan seseorang itu menjadi kafir kebiasaannya berlaku dalam bidang perubatan yang dilakukan Tok Bomoh dan seumpamanya. Kesesatan tersebut bolehlah dibahagikan kepada tiga bahagian yang utama antaranya :-

Sesat Tok Bomoh, Tok Dukun, Tok Pawang, Mak Bidan dan Mak Andam dan seumpamanya Kesesatan yang sering berlaku pada golongan ini, ialah melalui proses mengubati pesakit atau dalam melakukan pekerjaan mereka, mereka mempunyai hubungan dan meminta pertolongan dengan khadam-khadam yang terdiri samada daripada Jin Islam alam rendah atau yang terdiri daripada Jin-Jin kafir. Mereka menjadi sesat melalui berbagai cara antaranya :-

Melalui Jampi, mentera dan serapah.
Kebanyakan daripada Tok Bomoh dan seumpamanya menggunakan jampi atau mentera yang menyeru khadam-khadam untuk meminta pertolongan bagi membantu mereka memberi rawatan kepada pesakit-pesakit yang mengunjungi mereka. Biasanya jampi mentera itu dimulai dengan bacaan Basmallah …………. Dan di sudahi dengan selawat ke atas Nabi atau dengan menyebut Lailahailll Allah Muhammadar Rasulullah ". Tetapi di tengah-tengah jampi mentera mereka terdapat seruan-seruan kepada Jin bagi meminta pertolongan mereka dalam mengubati pesakit atau mendapatkan sesuatu. Contohnya seperti :-

Amalan Batin.
" Bismillahirrahmanirrahim." Kuliat kulit banyu, sufaat daging banyu, rai ro ra inson, rogo iro rogo inson, aku bali gowo cohyo, cohyo maskinang kining, sang yang tunggang gerono anci-ancik kendali puro, berkat bulan kembang bintang dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Serapah lekat Tulang.
" Bismillahirrahmanirrahim." Hei ! kerancang tulang dalam buluh, melela makan buat daku, kalau kau hendak ke dalam, kedalam tulang, kalau kau nak keluar, keluar tulang, kalau tidak aku sumpah kata Allah berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah. Serapah menepung Tawar
" Bismillahirrahmanirrahim." Hai Jin Tanah Jembalang Bumi, Hai Jin Hitam serangkap rang bumi, pelesit di bumi, putar tanggah di bumi, puak juak mu, aku nak minta tolong jaga, tempat yang aku buat ni, aku menanggung baik di atas aku, dan jahat di atas mu, dengan berkat kata Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Mentera Menepung Tawar.
" Bismillahirrahmanirrahim." Hai ya sema yang semung, ya sema tiga terkendong, kembang wadi kembang wada cat udi nyunyi, batang wong batang wang batang terkendong, ribut salah musim, kiong kemaling cendi seruka, dalam usul punya melepas, siapa yang melepas, dalam asal punya melepas, siapa punya melepas, kedi bunuh punya melepas, siapa punya melepas, sema putih punya melepas, siapa punya melepas, sema hitam punya melepas, Pelepas di padang luas, melepas mak inang kurang sa empat puluh, pelepas kata dengan berkat Lailahaillah Muhammadurrasulullah.

Kesesatan yang telah dilakukan oleh Tok Bomoh yang menggunakan kaedah ini adalah terhadap dirinya sendiri, kerana jampi mentera yang digunakan itu mengandungi permintaan pertolongan kepada kuasa khadam dampingannya di samping meminta pertolongan daripada Allah, ini menunjukkan seolah-olah terdapat dua pihak yang berkuasa dan dapat memberi pertolongan kepada mereka, iaitu Allah s.w.t dan Khadam-khadam mereka. Perbuatan tersebut dengan terang-terang telah melakukan perbuatan syirik kerana menyama-tarafkan Allah s.w.t dengan mahkluk lain dan meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah.



Melalui Perbuatan / Kelakuan.

i. Kesesatan Tok Bomoh.
Kesesatan seseorang Tok Bomoh dan seumpamanya boleh berlaku pada perbuatan dan kelakuan Tok Bomoh tersebut melalui penjelmaan Jin ke dalam tubuh badan mereka yang di panggil " Tanasakhul Aruah " semasa mereka melakukan perubatan. " Menurun " yang dilakukan untuk mengubati itu, adalah dengan bergantung kepada pertolongan dan kuasa Jin bagi membantu merawat pesakit tersebut. Bercakaplah Jin itu menggantikan Tok Bomoh atau Tok Pawang dengan mengkhabarkan berita-berita atau masalah-masalah yang dihadapi oleh pesakit tersebut. Pada hakikatnya yang sedang mengubati itu adalah Jin dan bukannya Tok Bomoh atau Tok Pawang tersebut, kerana tiada nas dan dalil dalam Al-Quran, hadis, ijmak ulama ataupun qias dan lain-lain pendapat yang muktabar yang boleh di pakai dalam Islam, yang menyatakan bahawa aruah Jin dan wali-wali boleh menjelma dan masuk ke dalam diri seseorang serta memperkenalkan dirinya dengan nama yang dijelmakan.


Demikian juga yang dilakukan oleh Mak Bidan ketika menyambut kelahiran bayi. Ada yang tidak sedarkan diri ketika menyambut bayi, namun mereka dapat melaksanakan tugas tersebut hingga selesai walaupun mereka tidak sedarkan diri. Persoalannya, siapakah sebenarnya yang memainkan peranannya ketika Mak Bidan tersebut tidak sedarkan diri.


Mak Andam juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana persandingan ala Hindu dengan adat istiadat pelamin dan pengantinnya. Bermula dari berinai , masuk pelamin sehinggalah selesai majlis persandingan tersebut di penuhi dengan suasana dan perkara-perkara Khurafat yang berhubung rapat dengan majlis pemujaan Dewa Rama dan Dewi Sita. Sedangkan sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa upacara persandingan tidak pernah ujud dalam tamadun Islam, tambahan lagi mempertontonkan aurat wanita di khayalak ramai itu hukumnya haram dan persandingan pula bukanlah merupakan Sunnah Nabi s.a.w.

ii. Kesesatan Tok Guru Latihan Pertahanan Diri.
Kesesatan boleh berlaku ke atas tok guru latihan pertahanan diri atau pendekar seni pertahanan diri jika mereka melakukan salah satu daripada perkara yang diharamkan oleh syarak. Antaranya :-

a. Melalui kaedah " Mubai'at yang disertakan dengan kalimah Qasam atau sumpah-sumpah yang bertujuan kepada hikmah dan perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat.

b. Melalui petua-petua atau kaedah yang ada pantang larang yang menepati hukum syarak.

c. Melalui petua-petua atau kaedah marah atau dimarahi bagi menzahirkan perkara-perkara luar biasa yang mencarik adat.

d. Melalui petua-petua atau kaedah yang berpegang kepada kebesaran ayat, wirid, jampi atau doa semata-mata tanpa mengharapkan pertolongan daripada Allah.

e. Tidak tahu asal usul ilmu yang dipelajarinya itu dan yang diajarinya kepada orang lain.

Kebiasaanya tok guru latihan pertahanan diri juga merupakan Tok Bomoh kerana di samping beliau mampu berlatihan pertahanan diri beliau juga biasanya mampu mengubati orang sakit. Kesalahan besar yang telah dilakukan oleh tok guru latihan pertahanan diri yang sesat ini ialah sudahlah diri mereka sendiri telah tersesat melalui amalan-amalan yang sesat itu, kemudian mereka mengajarkan pula ilmu sesat itu kepada anak-anak muridnya, yang bukan saja mengamalkan ilmu tersebut, malahan juga akan turut tersesat sama. Jika kumpulan ini terus mengembangkan ilmu tersebut maka akan bertambah ramai lagilah orang yang akan tersesat.


Kesalahan yang sering mereka lakukan ialah dari segi penggunaan jampi dan mentera yang digunakan dalam kebanyakan latihan pertahanan diri terdapat seruan-seruan terhadap bantuan Jin bagi memulakan latihan. Berbagai-bagai bentuk mentera dan jampi digunakan dalam pelbagai jenis latihan pertahanan diri, antaranya menyeru roh Panglima Hitam, atau roh-roh panglima-panglima yang lain samada Hang Tuah atau Hang Jebat dan sebagainya.


Kesesatan dalam perbuatan dan permainan latihan diri pula ialah, terdapat sesetengah latihan pertahanan diri itu yang mensyaratkan pelatih pertahanan diri mestilah tidak sedarkan diri terlebih dahulu sebelum boleh menzahirkan perkara-perkara yang luar biasa, seperti melayang diatas pucuk pokok kayu, boleh melekat di dinding seperti cicak, boleh bertenggek di atas pucuk pisang seperti katak dan sebagainya. Perbuatan seperti itu sebenarnya menyalahi syarak kerana rohani Jin telah masuk kedalam tubuh pelatih pertahanan diri tersebut sehingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Pemulihan pula dilakukan dengan membaca jampi dan mentera tertentu oleh tok guru latihan pertahanan diri tersebut. Setelah sedar pelatih itu tidak ingat apa-apa dan merasa letih yang amat sangat.

iii. Kesesatan Ulama.
Ulama boleh menjadi sesat sekiranya mereka berhubung dengan khadam-khadam tumpangan yang terdiri daripada rohani Jin Islam atau Jin kafir alam rendah yang datang mengikut perjanjian penerimaan persahabatan, samada melalui mimpi atau jaga, melalui wirid, jampi, doa dan seumpamanya. Bermula dari situ ulama tersebut menjadi popular dan akan di kunjungi oleh orang ramai bagi meminta pertolongan seperti sembahyang hajat, mengubati penyakit, memberi kuliah-kuliah agama dan sebagainya.

Lazimnya ulama-ulama yang terjebak dalam persahabatan dengan Khadam-khadam ini, sebenarnya mereka tertipu dan di tipu dengan syarat-syarat yang menepati hukum syarak yang didatangkan oleh khadam-khadam tersebut atau terpedaya dengan ketinggian ilmu, kealiman, kewarakan, kesolehan, ketinggian kelulusan atau pangkat kebesaran. Mereka hanya meniru sahabat-sahabatnya yang ahli dalam babnya. Dimana mereka sebenarnya tidak sedar bahawa mereka hanya alim dalam ilmu zahir dan ilmu-ilmu tertentu sahaja, tapi pada pandangan umum keilmuan mereka sudah lengkap dan mengcakupi dalam semua segi. Mereka harus sedar bahawa dalam diri mereka masih ada lagi sifat-sifat mazmumah

Dari satu segi perbuatan tersebut memang kelihatan baik dan tidak terdapat apa-apa kesalahan, tetapi yang menjadi kesalahan dan menyesatkan pula ialah cara ulama tersebut menerima amalan dan pertolongan tersebut. Mereka menerima pertolongan daripada khadam Jin dan mereka pula memberi pertolongan kepada orang lain melalui bantuan khadam-khadam mereka.


Ulama-ulama jenis ini berselindung di sebalik keulamakan yang ada pada mereka, kerana kepentingan dan keegoan diri serta mempunyai sikap yang buruk. Kadang-kala mereka menggunakan kedudukan mereka untuk cuba menyebarkan fahaman dan kaedah perubatan mereka itu, sedangkan mereka tidak sedar yang mereka telah diperbudak-budakkan oleh puak-puak Jin yang pintar menipu manusia itu.



Kesesatan Yang Dilakukan Oleh Orang Yang Berubat.

i. Memuja Kubur-kubur yang di anggap Keramat.
Terdapat sesetengah daripada orang Melayu memuja kubur-kubur yang di anggap keramat dalam usaha meminta pertolongan bagi mengubati penyakit yang di alaminya. Sebenarnya kubur tersebut tidak dapat memberi apa-apa pertolongan dan kesan kepada penyakit mereka. Perbuatan tersebut amat bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya meminta pertolongan hanya kepada Allah. Di samping perbuatan mereka itu juga tidak ada bezanya dengan amalan orang-orang Hindu dan Buddha.

Menziarahi kubur sebenarnya tidaklah salah atau menjadi satu kesalahan, bahkan sunat bagi umat Islam menziarahi kubur kedua ibu bapa , sanak saudara, keluarga, sahabat handai, tok-tok guru, alim ulama, para syuhadak dan orang-orang saleh, tetapi mengadakan pemujaan atas kubur tersebut, dengan mengadakan sesuatu upacara tertentu atau khusus di luar batasan syarak, itulah yang menjadi kesalahan dan kadang-kala boleh menyebabkan seseorang itu menjadi murtad dengan tidak disedari. Waliyazubillahi min zalik.

Antara contoh perbuatan memuja kubur yang dianggap kubur Tok Keramat yang berlaku dalam masyarakat kita ialah seperti memuja kubur Mak Bidan Tetek Lanjut di Taiping, memuja kubur Tok Temong di Temong, Kati, Kuala Kangsar, Memuja kubur-kubur di Pulau Besar, Melaka. Mak Bidan Tetek Lanjut yang di puja itu tidak siapa pun yang mengetahui asal usul dan kesolehannya. Jadi mengunjungi kuburnya dengan sesuatu tujuan, membayar nazar dan niat adalah merupakan perbuatan bidaah dholalah yang haram semata-mata, kerana menganggapnya keramat dengan membawa pisang, pulut kuning dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapat berkat dan sebagainya.

Manakala pemuja Kubur Tok Temong di Kati pula, pengunjung-pengunjung mengunjunginya dengan tujuan untuk menunaikan hajat dengan membawa pulut kuning, ancak, kemian, serta mengadakan tahlil di kubur tersebut bagi mendapatkan sesuatu hajat. Ada juga pengunjungnya yang menyembelih ayam dan di niatkan darah dan tulang ayam itu adalah untuk makanan Jin penunggu Tok Temong. Tidak ketinggalan kubur tersebut juga di kunjungi oleh sesetengah guru-guru latihan pertahanan diri dan pengikut mereka untuk mengambil berkat dan lain-lain yang seumpamanya. Mengikut sejarah Tok Temong hanyalah merupakan pemerintah asal kawasan tersebut sebelum kedatangan Sultan ke Kuala Kangsar sahaja.

Pemuja-pemuja kubur di Pulau Besar di Melaka pula menganggap kebanyakan kubur-kubur di Pulau tersebut adalah kubur wali-wali Allah yang keramat. Sebenarnya kubur-kubur di pulau tersebut banyak yang kosong tanpa penghuni. Hanya orang yang tidak tahu menilai kebenaran sahaja yang mahu mengunjunginya. Mereka di tipu oleh kumpulan-kumpulan Jin yang mendiami pulau tersebut dan memberitahu mereka melalui mimpi supaya dibangunkan kubur-kubur untuk pemujaan.

ii. Pengeras / Upah.
Kebiasaan pengeras yang ditetapkan oleh sesetengah Tok Bomoh adalah berlainan. Ada yang menetapkan seperti lima ringgit suku dengan jarum tiga batang dan garam setahil. Sesetengah pengeras pula dengan membawa sireh bertemu urat sebanyak tujuh helai, kapur dan pinang. Ada juga yang menetapkan pengerasnya dengan buah kelapa masak, beras secupak dan minyak kelapa. Jika membuang barang hikmat yang tertanam upahnya adalah sekali ganda dari upah yang dikenakan oleh orang yang menanamnya, contohnya kalau RM 100.00 jadi RM 200.00 dan sebagainya. Ada juga yang mengenakan pengeras atau upah sampai beribu ringgit mengikut kemampuan dan kemampuan pesakit. Terdapat juga Tok Bomoh yang menetapkan upah sekadar ikhlas pesakit sahaja.

Kesalahan dan kesesesatan yang berlaku dalam keadaan ini ialah apabila pesakit tersebut percaya jika tidak menyediakan pengeras seperti yang di minta oleh Tok Bomoh itu maka penyakitnya tidak akan sembuh atau sukar untuk disembuhkan atau menganggap pengeras yang disediakan itulah yang menyebabkan penyakitnya sembuh.

Sebenarnya mengambil upah berubat dan menjampi dengan ayat-ayat Al-Quran , Selawat-selawat Nabi dan susunan ayat-ayat yang baik adalah diharuskan oleh syarak, berdasarkan suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Saad bin Abi Waqas.

iii. Pemutus Ubat.
Pemutus ubat bermakna menamatkan rawatan dengan Tok Bomoh tersebut setelah pesakit sembuh dari penyakit yang di alaminya. Kononnya kalau tidak " putus ubat " penyakit itu akan kembali semula. Berbagai jenis dan syarat amalan pemutus ubat diminta dan dikenakan oleh Tok Bomoh, antaranya seperti :-

a. Pesakit mesti menyembelih seekor ayam hitam, sepinggan pulut putih atau kuning dan sebiji telur dadar yang diletakkan di atas pulut tersebut.

b. Melepaskan ayam hitam di tepi hutan dengan niat tertentu

c. Mandi di kolah masjid tertentu sebanyak 3 atau 7 kali d. Membuat kenduri aruah dan di antara persiapannya ialah kemian yang di bakar, pulut kuning dan lain-lain kuih muih dan sebagainya.

Apabila seseorang itu yakin dan mempercayai serta berittikad bahawa tok-tok Bomoh atau doktor-doktor itulah yang menyembuhkan penyakit dengan ikhtiar dan usaha mereka atau melalui ubat-ubatan dan jampi-jampian mereka yang memberi bekas dalam menyembuhkan penyakit itu, ini bererti dia telah menyediakan dirinya jatuh kedalam murtad, kerana ia telah berpegang teguh dengan keyakinan tersebut sehingga menjadi satu ittikad bahawa sebab beradat yang Allah telah datangkan itu memberi bekas dalam menghasiklan sesuatu




TANDA-TANDA TOK BOMOH YANG MENGGUNAKAN KHADAM/JIN DALAM PERUBATAN

Kebanyakan daripada orang-orang Melayu sangat mempercayai Tok Bomoh sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara Tok Bomoh yang hak dan yang batil ( yang menggunakan pertolongan Khadam dalam pengubatan mereka ). Keadaan ini berlaku kerana mereka jahil tentang ajaran Islam yang sebenarnya, oleh itu mereka mudah di tipu oleh lakunan yang dimainkan oleh Tok Bomoh palsu ini. Sebagai panduan diperturunkan serba ringkas contoh-contoh Tok Bomoh yang menggunakan pertolongan khadam dalam pengubatan mereka. Antara tanda-tanda tersebut dapat kita lihat melalui salah satu dari perkara-perkara berikut, antaranya :-

a. Cara berpakaian semasa mereka berjampi
Biasanya semasa berjampi Tok Bomoh atau Tok Pawang yang bersahabat dengan khadam ini memakai pakaian khas, antaranya seperti :-

i. Memakai baju dan seluar yang bewarna hitam dengan melilit kain hitam di kepala atau memakai tengkolok bewarna hitam dan sebagainya.

ii. Memakai jubah. Kadangkala bewarna putih dan kebiasaanya bewarna kuning, kononnya dia dari keturunan raja. Terdapat juga yang memakai jubah hijau kononnya beliau bersahabat dengan Jin Islam.

iii. Terdapat juga yang berpakaian baju Melayu, berkain pelikat dan bersongkok atau berketayap.

iv. Ada juga yang berambut panjang, yang kononnya beliau berketurunan dari Jawa, Sumatera dan sebagainya.

b. Mengubat Pesakit dengan Cara Menurun/Menyelap.
Sebelum menurun biasanya Tok Bomoh akan membaca beberapa serapah, jampi atau mentera tertentu dan ada kalanya membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Terdapat juga yang memegang keris dan mengasapkanya pada asap kemian. Dalam beberapa saat sahaja masuklah Jin ke dalam tubuh Tok Bomoh tersebut. Ada yang mengeletar, ada yang berguling-guling dan sebagainya, ketika di masuki oleh Jin khadam mereka itu.

Suara dan raut wajah mereka juga akan bertukar. Sesetengahnya kelihatan sangat tua dan berkedut, manakala suara mereka juga terketar-ketar dan sangat perlahan dan adakalanya susah untuk di fahami, ini kerana Jin sahabat mereka itu sudah tua. Matanya kadang-kala pejam dan suka tunduk ke bawah. Suara juga sudah berubah dan mengikut jenis dan dari tempat mana Jin itu berasal. Kalau Indonesia, ia akan bercakap bahasa Indonesia atau bahasa Jawa, begitulah seterusnya. Biasanya ucapan Jin tersebut di mulai dengan katanya " Assalamualaikum, apa hajat cucu ku datang ke mari / memanggil ku ? "

c. Tanpa Menurun / Menyelap
Terdapat juga Tok Bomoh yang mempunyai khadam daripada gulungan Jin yang memanggil Jin khadam mereka tanpa menurun. Cara rawatan tersebut dapat dilakukan dengan berbagai cara antaranya :-

  • Dengan meletakkan air, limau dan sintuk atau barang-barang lain yang difikirkan perlu di hadapannya.
  • Terdapat juga Tok Bomoh jenis ini yang menilik terlebih dahulu, seperti dengan menggunakan limau dan menggolekkanya atau membelahnya kemudian dilepaskan kedalam air dan melihat limau tersebut samada terbalik atau tertiarap. Mereka juga kadangkala menggunakan mangkuk putih yang diisikan dengan air sambil menilik dan membuat ramalan. Terdapat juga Tok Bomoh yang menggunakan jarum yang diletakkan di atas air dan jarum tersebut akan berpusing dan sebagainya.


d. Membelah Batin.
Pertolongan daripada khadam juga digunakan oleh Tok Bomoh-Tok Bomoh yang dapat membelah batin pesakitnya tanpa menggunakan sebarang alatan pembedahan seperti pisau dan sebagainya. Walaupun kadang-kala Tok Bomoh jenis ini juga menggunakan pisau tetapi tiada kesan luka yang dapat di lihat di badan pesakit. Pesakit akan merasai seolah-olah seperti di bedah dan dapat merasai kesan darah dan sebagainya. Setelah selesai melakukan pembedahan batin ini, Tok Bomoh tersebut biasanya akan menggunakan daun sireh atau limau nipis untuk menyempurnakan pembedahan ghaibnya.
Sebenarnya kita boleh menggunakan Khadam dalam melakukan pekerjaan kita dengan syarat-syarat berikut, antaranya :-

1. Tidak terikat dengan mana-mana syarat daripada Khadam
2. Tidak menggunakan Tanasukh Aruah ( Menurun )
3. Kelakuan yang tidak menyalahi syarak ketika melakukan rawatan
4. Perawat telah mantap pegangan dan kefahaman Akidah, Akhlak dan Syariat.

Sebenarnya tidaklah salah jika kita ingin menjadi Tok Bomoh, tok dukun atau Mak Bidan, malahan Islam juga menggalakkan umatnya menceburi Bidang tersebut, kerana Bidang tersebut merupakan salah satu daripada Fardhu Kifayah tetapi biarlah cara dan amalan serta kaedahnya itu merupakan sesuatu yang diharuskan oleh syarak dengan mengikuti contoh yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, bukannya yang di terima melalui mimpi, menggunakan pertolongan khadam yang terdiri daripada para Jin dan sebagainya.


Tok Bomoh yang Makan Upah.
Terdapat sejenis Tok Bomoh lagi yang amat bahaya dalam masyarakat Melayu, yang kerjanya hanyalah untuk menimbulkan kesusahan dan huru hara kepada orang lain. Tok Bomoh jenis ini lebih di kenali sebagai Tok Bomoh yang makan upah. Tok Bomoh jenis ini kebiasaannya mempunyai khadam daripada golongan Jin Islam yang fasik dan Jin Kafir serta kuncu-kuncu mereka.

Mereka menggunakan perkhidmatan Jin-Jin tersebut untuk menganiayai manusia lain atas sebab-sebab tertentu, antaranya seperti iri hati, hasad dengki atau cemburu atas kejayaan orang lain samada dalam bidang perniagaan, pekerjaan, persekolahan atau marah kepada orang atasan kerana tidak terpilih untuk kenaikan pangkat atau tidak memenangi tender dan sebagainya. Terdapat juga mereka yang menggunakan Tok Bomoh jenis ini bagi membalas dendam sebab sakit hati kerana di hina, di kutuk atau kerana senda gurau yang berlebihan.

Terdapat juga sesetengah orang yang menggunakan perkhidmatan Tok Bomoh ini semata-mata kerana marah atau benci kepada orang lain di sebabkan kekayaan orang tersebut atau iri hati melihat orang tersebut lebih berada daripadanya atau marah kerana kesombongan orang lain terhadapnya dan lain-lain lagi,

Kebanyakan kes yang dijadikan alasan oleh sesetengah orang yang mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini kebiasaanya berhubung dengan masalah rumah tangga contohnya seperti untuk menundukkan suami atau isteri yang terlalu garang, meruntuhkan rumah tangga orang lain, supaya dirinya nampak cantik dan di sayangi oleh suami ( dalam kes si suami yang berpoligami ), kerana pinangannya di tolak oleh pihak keluarga wanita atau kekasihnya di rampas oleh lelaki lain dan sebagainya.



Cara-cara Untuk Melakukan Penganiyaan.

Terdapat berbagai cara yang di lakukan oleh orang-orang yang dengki tersebut, supaya matlamat yang mereka impikan tercapai, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak serta bersusah payah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Tok Bomoh tersebut untuk menjayakan penganiayaan mereka. Antaranya :-

a. Menanam barang-barang Hikmat
Setelah mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh jenis ini orang tersebut mestilah menanam barang-barang tertentu yang telah di puja dan di jampi oleh Tok Bomoh, seperti minyak dagu, minyak berpuja ( minyak orang mati di bunuh ) telur ayam, kulit kerbau balau yang mati di panah petir, tulang orang mati, tulang babi, tulang kongkang, kulit babi, besi bath siam, tahi besi, paku, rambut, gigi, patung siam, tanah kubur, tengkorak, batu tokong siam atau tokong Hindu, serpihan batu asah dan sebagainya di tempat-tempat yang biasa di duduki dan dilalui oleh orang yang di sakitinya itu seperti di rumah, di dalam pasu bunga, depan pintu, dekat pagar, kepala simpang jalan, di selit di tempat-tempat sulit samada di rumah, di pejabat, di kedai, di dinding, bawah rumah, dalam kenderaan atau jika barang tersebut jenis debu seperti abu orang mati, maka ia di tabur di sekeliling rumah orang tersebut dan sebagainya. Jika barang hikmat itu berupa minyak berpuja kebiasaannya di sapu di tiang rumah, kedai, kenderaan, pakaian dan sebagainya.

b. Memuja gambar
Terdapat juga cara untuk menganiayai orang lain dengan cara memuja gambar orang yang ingin di khianati seperti gambar tersebut di seru dan di jampi serta di cucuk-cucuk dengan jarum atau di gantung di sesuatu tempat yang berangin supaya sentiasa berbuai. Selain gambar, alat-alat badan seperti pakaian, baju dalam atau seluar dalam seseorang juga boleh digunakan sebagai alat untuk memuja dan menganiayai seseorang terutamanya dalam penganiayaan yang berkaitan dengan masalah cinta , rumah tangga dan kasih sayang.

c. Tuju melalui angin/makanan
Pengkhianatan juga boleh dilakukan dengan cara membuat tuju kepada orang yang di sakiti dan dihantar melalui angin contohnya seperti santau angin atau dengan memuja tengkorak orang mati di rumah Tok Bomoh dengan di tuju dan di kasadkan kepada orang yang dihajatinya. Penganiayaan juga boleh dilakukan dengan memasukkan sesuatu hikmat kedalam makanan dan minuman seseorang.

d. Memuja Patung sebagai penganti orang yang di aniayai
Pemujaan patung yang di puja dan dikasadkan kepada orang yang dihajati juga kerap dilakukan oleh orang-orang yang dengki dengan tujuan untuk memporak perandakan kehidupan orang tersebut. Patung-patung tersebut di cucuk dengan jarum atau duri nibung dang sebagainya dengan tujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.


Kesan dan Akibat ke atas diri mangsa.

Setelah syarat-syarat yang di minta oleh Tok Bomoh makan upah ini di penuhi dan semua peraturannya diikuti maka akan berlaku sesuatu keatas orang yang dihajati oleh si pengupah tersebut. Antara kesan dan tanda-tanda bahawa seseorang tersebut telah menjadi mangsa Tok Bomoh makan upah ini ialah antaranya :-

  • a. Badan sentiasa sakit menyucuk-nyucuk, anggota terasa panas, bisa seluruh badan atau sebahagian daripada badan, badan terasa kebas dan sebagainya.
  • b. Perasaan menjadi resah dan gelisah, tidak boleh tidur malam, sering bermimpi yang buruk dan mengerikan, terdapat lebam-lebam bewarna biru seperti kena tokok ditempat-tempat tertentu pada badan.
  • c. Orang yang dianiayai akan menjadi gila, hilang ingatan, tidak siuman, mereng dan seumpamanya.
  • d. Sering meracau-racau, ketawa mengilai-gilai atau bercakap seorang diri.
  • e. Mengalami sakit kepala sebelah samada di sebelah kanan atau kiri.
  • f. Rahim terasa sakit dan kadang-kala terasa seperti hendak jatuh
  • g. Badan terasa berat seperti ada benda di atas belakangnya dan kadang-kala terasa seperti ada sesuatu yang mencakar-cakar belakangnya.
  • h. Sentiasa terkenang atau teringat seseorang dan terasa hendak lari dari rumah.
  • i. Tidak boleh duduk dalam rumah, dalam kedai atau di pejabat sebab terasa panas dan serabut.
  • j. Selalu tidak sedarkan diri dan pengsan.
  • k. Kadang-kala si mangsa berbau busuk di merata-rata tempat.
  • l. Perut mangsa menjadi buncit tanpa apa-apa penyakit. ( kata orang busung )
  • m. Kadang-kala kemaluan dirasakan telah berpindah ketempat lain seperti berada di dahi, sedangkan orang lain tidak dapat melihatnya.
  • n. Terdengar suara atau bisikan yang memanggil atau menyuruhnya melakukan sesuatu seperti memukul seseorang, membunuh orang, membunuh diri sendiri atau bisikan yang mengatakan " kamu akan mati tidak lama lagi dan sebagainya.
  • o. Rumah tangga sentiasa bergelora dan perkelahian antara suami isteri sentiasa berlaku.
  • p. Sentiasa menolak pinangan yang datang meminang jika mangsa tersebut anak gadis, jika anak teruna mereka enggan berkahwin sampai ke tua.


Tok Bomoh yang mengambil upah untuk menganiayai orang lain ini amatlah besar dosanya dan telah menjerumuskan dirinya kelembah kekafiran begitu juga orang-orang yang mendapatkan perkhidmatan Tok Bomoh-Tok Bomoh dari jenis ini. Kedua-dua belah pihak sama-sama menjadi kafir dan akhirnya sama-sama akan dihumbankan kedalam neraka di hari Khiamat kelak. Oleh itu sebagai umat Islam kita mestilah menjauhkan diri daripada Tok Bomoh-Tok Bomoh yang seperti ini. Anggaplah segala sesuatu yang berlaku keatas diri kita itu adalah merupakan takdir dan Qada dan Qadar daripada Allah. Semua kejadian itu adalah atas kehendak Allah, tentu ada hikmah dan nikmat di sebalik semua kejadian tersebut, jangan suka menaruh perasaan dendam, cemburu dan iri hati, kerana perasaan tersebut akan merusakkan diri kita sendiri. Serahlah segala-galanya kepada Allah serentak melalui lidah, anggota, hati yang dinamakan dengan ucapan doa, teguh cita-cita dan usaha ikhtiar, kerana Dialah yang lebih berkuasa dan lebih Mengetahui segala-galanya.

Mempelajari ilmu Sihir, beramal dengannya untuk menyakiti dan mengkhianati sesama manusia, bererti mereka telah mempelajari ilmu sesat ( kufur ), berada dalam kesesatan ( kekufuran ), beramal dengan kesesatan ( kufur ), mati dalam sesat ( kufur ) dan kekal sebagai ahli neraka, selagi mana mereka tidak kembali kepada agama Islam dengan ucapan dua khalimah syahadat serta taubat nasuha. Segala amalan baiknya itu akan dipindahkan oleh Allah kepada orang yang dikhianatinya. Segala kejahatan mereka yang di sihir itu di campakkan oleh Allah keatas diri penyihir sebagai tambahan kepada kejahatan yang sedia ada. Jika ditakdirkan mereka yang dianiayai itu meninggal dunia, oleh sebab beradat melalui ilmu sihirnya, maka mati orang yang di sihir itu sebagai ahli fitrah ( syurga ) dengan syarat dia telah menerima penyakit tersebut dengan penuh sabar dan bergantung harap kepada kebesaran dan keagungan Allah dengan penuh kesabaran dan penuh redha.


Pengaruh dan penglibatan Tok Bomoh dalam Adat Istiadat Orang Melayu Dan Amalan-amalan Khurafat.

Orang Melayu kebanyakannya begitu mengambil berat dalam perkara-perkara yang berhubung dengan adat istiadat, sehingga ada pepatah Melayu yang menyatakan " Biar Mati Anak Jangan Mati Adat " . Pepatah ini menunjukkan betapa kuat dan kukuhnya pegangan orang-orang Melayu tentang adat istiadat mereka. Persoalannya golongan manakah yang mengada dan memperkenalkan adat istiadat dan perkara Khurafat tersebut dan sejak bilakah mulanya adat istiadat dan perkara Khurafat itu telah bertapak dalam masyarakat Melayu ?. Persoalan yang yang lebih besar dan penting ialah adakah adat-istiadat yang diamalkan oleh orang-orang Melayu itu bertepatan dan selari dengan Hukum Syarak atau bertentangan sama sekali dengan Hukum Syarak.

Amalan Khurafat ialah perbuatan atau perkara-perkara yang menyalahi hukum syarak yang masih terdapat dalam aktiviti masyarakat Melayu moden sehingga ke hari ini. Kepercayaan yang telah kuat bertapak dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu itu seolah-olah telah menjadi satu pegangan atau tradisi yang mesti dilakukan dalm majlis-majlis atau perayaan tertentu. Sebenarnya banyak perkara Khurafat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu antara contohnya ialah apabila ada majlis perkahwinan dengan upacara persandingan yang seolah-olah satu kewajipan, sedangkan persandingan itu merupakan adat Hindu yang mengagung-agungkan Dewa Rama dan Dewi Sita. Begitu juga apabila ada sesuatu kematian, dan selepas kematian mesti diadakan kenduri masuk kubur, 3 hari ( makan serabai ), kenduri pecah perut pada hari ke 7, kenduri 40 hari iaitu ruh berpisah dengan waris dan kenduri 100 hari iaitu turun batu nisan dan bagi ruh itu memasuki dalam jemaahnya sebagai ahli kubur.

Kebiasaannya orang yang menghidup dan memainkan peranan utama dalam hal ehwal adat istiadat Masyarakat Melayu dan perkara-perkara Khurafat yang menyeleweng dan bertentangan dengan Syariat Islam ini adalah terdiri daripada Tok Bomoh, Tok Pawang, Mak Bidan, tok dukun, tok guru latihan pertahanan diri, mak andam dan seumpamanya. Peranan mereka dalam menghidupkan adat istiadat dan perkara Khurafat ini bergantung kepada Bidang masing-masing. Antara Contoh-contoh adat istiadat dan perkara Khurafat yang sering dilakukan oleh orang-orang Melayu sampai sekarang antaranya ialah seperti :-

a. Mendirikan Rumah Baru.
Antara Syarat dan adat Istiadat yang mesti di buat untuk mendirikan rumah baru ialah seperti mengantungkan buah kelapa muda di tiang seri rumah, menanam tahi besi / emas / perak / tembaga pada setiap tiang seri rumah dan menepung tawar sebagai upacara memulih rumah tersebut.

Acara-acara tersebut akan dilakukan oleh Tok Bomoh, kononnya untuk mengelakkan daripada di ganggu oleh Jin dan syaitan dan untuk mendapatkan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua penghuni rumah tersebut. Sebenarnya upacara tersebut tidak lebih daripada upacara menjamu Jin dan tidak ada kena mengena dengan keselamatan dan kesejahteraan penghuni rumah itu.

b. Upacara Menurunkan perahu / kapal yang baru ke laut.
Upacara ini di lakukan oleh Tok Bomoh dengan harapan perahu / kapal tersebut selamat daripada gangguan hantu laut dan sebagainya semasa belayar di lautan luas. Upacara dilakukan dengan perahu itu dipulihkan dengan jampi serapah dan mentera dengan menggunakan tepung tawar dan sebagainya.

c. Kenduri tolak bala.
Kenduri ini di lakukan setahun sekali di tengah padang di sesebuah kampung, dengan setiap penduduk membawa sepinggan makanan. Tok imam di jemput untuk membaca doa dan Tok Bomoh pula di jemput untuk membaca jampi serapah supaya kampung tersebut selamat dari bala bencana pada tahun tersebut.

Kenduri tolak bala sebenarnya boleh di buat pada bila-bila masa sahaja dan di mana-mana jua dengan syarat :-

i. Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan yang ajnabi dalam majlis tersebut
ii. Melaksanakan kaedah-kaedah yang tidak menjadi tegahan syarak dalam majlis itu.


d. Upacara Persandingan.
Persandingan sebenarnya adalah salah satu bentuk pemujaan dalam agama Hindu di mana mempelai yang bersanding itu sebenarnya meniru adat Hindu yang memuja Dewa Rama dan Dewi Sita. Persandingan secara ini memperlihatkan di sebelah perempuan Mak Andam sebagai pengiring utamanya dan di sebelah pihak lelaki pula Tok Bomoh sebagai pengiringnya. Kedua-dua mempelai ini di arak dan di sanjung serta di puja sepertimana orang-orang Hindu memuja Dewa Rama dan Dewi Sita, dengan sebab itulah pengantin baru di gelar sebagai Raja Sehari.

e. Mengandung / Kelahiran bayi
Sebelum ibu melahirkan anak, Mak Bidan di jemput untuk mengadakan upacara Lenggang perut . Semasa kelahiran bayi persiapan di buat dengan menyediakan kain kuning tujuh lapis, tilam dan bantal bewarna kuning serta pulut kuning dan putih. Duri di letakkan di bawah rumah supaya jangan di ganggu oleh hantu penanggal. Sementara pantang larang selepas bersalin pula adalah selama 45 hari.

f. Adat meninggal dunia dan selepas kematian.
Semasa seseorang meninggal dunia Tok Bomoh akan meletakkan gunting di atas mayat semasa baru meninggal dunia. Semasa hendak menghantar mayat kekubur diadakan pula kenduri masuk kubur, selepas 7 hari kematian, diadakan kenduri pecah perut, selepas 14 hari di adakan kenduri makan serabai ( sejenis kuih ). Kenduri 40 hari sebagai tanda ruh berpisah dari waris. Kenduri 100 hari sebagai kenduri turun batu nisan dan ruh si mati telah masuk ke dalam kumpulannya di alam kubur.
Sebenarnya memperbanyakkan sedekah walau apa cara sekalipun, asalkan tidak menyalahi syarak dan tidak terdapat di dalamnya sesuatu yang menyalahi syarak dengan diniatkan pahala sedekah itu untuk disampaikan kepada aruah-aruah orang yang telah mati daripada orang-orang Islam oleh waris-warisnya yang masih hidup, adalah memang menjadi amalan kebanyakan ulama-ulama mazhab khasnya di Asia Tenggara daripada dahulu hinggalah sekarang.

g. Upacara membuka gelanggang latihan pertahanan diri.
Upacara ini biasanya di lakukan oleh tok guru latihan pertahanan diri yang juga merupakan seorang Tok Bomoh yang dilakukan supaya pelatih-pelatih latihan pertahanan diri di gelanggang tersebut tidak mendapat sebarang kecederaan semasa berlatih. Antara alat dan upacara yang di lakukan ialah seperti menyembelih seekor kambing atau ayam hitam dimana darah ayam dan kambing tersebut di semah di sekeliling gelanggang. Sesetengahnya menyapu darah tersebut di tapak kaki pelatih latian pertahanan diri. Selepas itu Tok Bomoh tersebut akan menyeru nama-nama panglima tertentu seperti Panglima Hitam dan sebagainya. Akhir sekali Tok Bomoh tersebut akan mengasapkan kemian di sekeliling gelanggang dengan tujuan untuk menghalau hantu-hantu jahat daripada menghampiri gelanggang latihan pertahanan dirinya.

Salah satu adat lagi yang sering di peringatkan oleh orang-orang tua kepada anak-anak muda mereka jika hendak membuang air semasa di dalam hutan atau di tempat-tempat yang sunyi atau di padang-padang atau ketika hendak melalui sesuatu kawasan atau pokok besar hendaklah meminta izin terlebih dahulu daripada Jin atau penunggu yang kononnya menunggu tempat tersebut dengan menyebut ´ Minta tabik tok nenek, anak cucu tak tahu bahasa, nak tumpang kencing " atau " Minta ampun tok nenek anak cucu nak tumpang lalu ". Kononnya jika tidak meminta izin kemungkinan orang tersebut akan di sampuk oleh penunggu tempat tersebut.

Kesemua adat-adat di atas sebenarnya adalah campuran daripada pengaruh agama Hindu, agama Buddha dan adat istiadat orang-orang Asli yang memuja roh. Adat-adat tersebut masih kuat diamalkan dalam budaya orang Melayu, yang menyangkakan sebahagian daripada adat Melayu yang tidak bertentangan dengan agama Islam, tetapi sebenarnya adat istiadat dan budaya tersebut terang-terang bertentangan dengan Islam. Contoh Peralatan dalam pemujaan Jin Yang biasa dilakukan oleh Tok Bomoh, Tok Pawang dan seumpamanya.

Peralatan yang sering digunakan oleh Tok Bomoh dalam pemujaan Jin yang kononnya dikatakan sebagai salah satu upacara dalam adat istiadat Melayu yang tidak boleh ditinggalkan antaranya adalah seperti berikut :-

a. Puja Kubur.
Puja kubur adalah sebahagian daripada amalan sesetengah orang Melayu yang masih tebal dengan adat istiadat dan tradisi Melayu kuno dengan agama Hindu puja Dewa. Mereka percaya bahawa penghuni kubur itu boleh menghasilkan hajat mereka apabila di minta terutamanya apabila mereka berada di dalam kesusahan.
Kebiasaanya beberapa jenis makanan atau " jamu " seperti ayam panggang, bertih, pulut kuning, pisang emas dan lain-lain lagi di bawa dan diletakkan di atas kubur itu sebagai jamuan untuk penghuni kubur tersebut, sebelum meminta sesuatu hajat, yang hakikatnya adalah untuk " jamu " Jin . Yang jelas di sini sebenarnya mereka telah tertipu dengan permainan Jin yang mahu menyesatkan mereka.

b. Keris, Kemian dan Limau.
Keris sering dikaitkan dengan latihan pertahanan diri, kekuatan, kemegahan dan kemashuran. Kebiasaannya banyak daripada keluarga orang Melayu yang mempunyai atau menyimpan keris sebagai sebahagian daripada barang pusaka yang perlu di pelihara dan di jaga dengan baik. Keris tersebut perlu dimandikan dengan limau dan di asapkan dengan kemian serta di balut dengan kain kuning atau hitam dan di simpan di tempat yang selamat. Pemujaan keris ini selalunya di buat pada malam jumaat dengan bacaan mentera dan jampi-jampi tertentu.
Pemujaan itu dilakukan dengan tujuan untuk memelihara kekuatan keris tersebut, supaya penjaga ( saka ) keris itu tidak menggangu keluarga mereka dan sebagainya. Sebenarnya keris tersebut tidak mempunyai apa-apa kuasa kerana ianya adalah merupakan besi semata-mata tetapi yang berperanan terhadap keris tersebut, sebenarnya adalah terdiri daripada Jin yang menjadi khadam kepada keris tersebut.

c. Ancak.
Ancak di buat daripada buluh yang hampir sama dengan sangkak. Ada juga terdapat ancak yang di buat daripada daun pisang yang di isi dengan pulut kuning, bertih, ketupat dan sebagainya.
Ancak juga di gunakan sebagai " jamu " untuk Jin keturunan atau Jin penjaga kampung supaya tidak menggangu anak cucu atau penduduk kampung tersebut pada tahun itu. Kepercayaan menjamu dengan menggunakan ancak ini masih ada sehingga ke hari ini terutamanya bagi mereka yang masih ada lagi atau berpegang dengan saka atau Tok-Nenek atau Jembalang-jembalang keturunan.

d. Sanggu
Sanggu atau sampan biasanya diperbuat daripada upih pinang atau seludang kelapa. Upih atau seludang yang digunakan mestilah yang jatuh dari pokok dalam keadaan tercacak pada pangkal pokok. Di ambil upih atau seludang itu mestilah pada waktu senja.
Waktu membuat sanggu pula mestilah pada waktu tengah malam, mengadap ke arah matahari naik dan hendaklah di asap dengan kemian dan di baca mentera atau jampi-jampi tertentu. Tujuan pemujaan Jin yang menggunakan sanggu ini kebiasaannya adalah untuk memuja Jin keturunan atau saka.
Perkakas dan alat " jamu " yang di isi di dalam sanggu ini ialah, antaranya pulut kuning, ayam panggang, bertih, beras kunyit dan sireh pinang. Di tengah-tengah sanggu itu dipacakkan layar, lilin di letakkan di hujung dan di belakang sanggu. Kemudian sanggu tersebut di layarkan sebagai jamuan bagi Jin-Jin keturunannya.

e. Sangkak
Sangkak pula di perbuat daripada buluh dengan mengikut syarat-syarat tertentu. Di atasnya diletakkan seekor ayam panggang yang telah di proses dengan syarat-syarat tertentu ataupun pulut kuning dan bertih sebagai " jamu " bagi Jin yang dihajatinya, samada Jin keturunannya atau Jin penjaga kampung supaya jangan menggangu keluarga atau kampung tersebut pada tahun itu.
Kemian diletakkan bersebelahan dengan sangkak tersebut sebagai bauan wangi yang sangat di sukai oleh Jin yang juga menjadi syarat utama untuk memanggil Jin tersebut.

Terdapat dua cara menguna dan meletakkan sangkak ini. Jika sangkak tersebut di buat untuk keselamatan keluarga maka ianya dibuat dan diletakkan di dalam rumah dengan di ikuti oleh majlis tahlil dan sebagainya. Jika sangkak tersebut di buat untuk menjaga kampung pula maka ianya di letakkan di tepi hutan atau di pinggir kampung dengan bacaan mentera dan jampi serapah tertentu dan kadang-kadang di sembelih pula seekor kambing atau kerbau.

f. Pemujaan Tanduk Kerbau.
Tanduk kerbau sering dijadikan bahan pemujaan oleh sesetengah kumpulan orang yang mempercayai akan kuasa yang ada padanya. Adakalanya digunakan dalam majlis-majlis tertentu seperti pertabalan pangkat atau meraikan sesuatu majlis.
Kepercayaan ini sebenarnya ada hubungan dengan kepercayaan puja Dewa bagi satu puak di Tanah Jawa, yang mempercayai adanya kuasa pada tanduk kerbau itu apabila di puja dan di sembah. (sebenarnya adalah kuasa Jin),

Pemujaan tanduk kerbau sering dikaitkan dengan sesuatu keturunan. Namun apa yang jelas tanduk kerbau ini digunakan sebagai alat pemujaan untuk menyeru Jin dan sebagai makanan atau " jamu " kepada Jin tersebut. Tujuannya supaya Jin itu tidak menggangu kampung tersebut atau anak cucu orang yang berkenaan.

Biasanya tanduk tersebut diletakkan di atas suatu tempat tertentu, di atasnya di nyalakan lilin. Kain warna kuning atau merah di mahkotakan di bahagian kepala, sementara di sekelilingnya dihidangkan dengan kuih muih, pulut kuning, bubur merah dan lain-lain lagi. Tok Pawang atau Tok Bomoh akan memulakan upacara dengan membaca mentera atau jampi serapah tertentu untuk memanggil Jin berkenaan. Kadang kala apabila Jin itu datang, ia akan memasuki tubuh Tok Pawang atau bomoh tersebut, dan bomoh itu akan bercakap sesuatu atau memberi nasihat atau amaran kepada mereka.

Ringkasnya pemujaan-pemujaan seperti yang dilakukan di atas adalah terang-terang bertentangan dengan agama Islam yang mulia dan semata-mata perkara Khurafat yang mesti kita jauhi demi keselamatan dan kebahagian hidup kita di dunia dan akhirat. Keselamatan, kesihatan dan rezeki manusia sebenarnya telah di tentukan oleh Allah s.w.t dan bukannya bersebab dari upacara pemujaan tersebut. Hanya orang-orang yang sesat sahaja yang masih percaya kepada kuasa-kuasa pemujaan dan perkara-perkara Khurafat tersebut lah yang memberi sebab kepada keselamatan, kesihatan dan keselamatan mereka.



KERIS LAGENDA ALAM MELAYU

Keris tidak dapat dipisahkan daripada orang Melayu. Keris merupakan lambang dalam alam latihan pertahanan diri bagi hulubalang-hulubalang dalam masyarakat Melayu sejak dari dahulu hingga kini. Kehebatan dan kemegahan seni latihan pertahanan diri juga tidak akan teserlah tanpa penggunaan keris. Demikian juga sebahagian daripada permainan seni latihan pertahanan diri tidak akan sempurna jika tidak ada permainan keris.

Keris juga merupakan senjata utama kepada ahli-ahli latihan pertahanan diri Melayu. Tanpa keris seperti ada kecacatan pada seni latihan pertahanan diri tersebut. Sungguhpun keris tidak di bawa berjalan merata-rata pada zaman sekarang, namun ia masih lagi berfungsi sebagai mercu kemegahan seni latihan pertahanan diri tersebut, terutamanya pada saat upacara tamat latihan.

Keris juga memainkan peranan penting kepada sesetengah Tok Bomoh, Tok Pawang dan Tok Dukun. Di dalam arena perubatan tradisional Melayu, keris digunakan sebagai alat perantaraan antara Jin dengan Tok Bomoh bagi mengadakan upacara tertentu. Kadang-kala keris itu di asap dengan kemian terlebih dahulu untuk menyeru Jin yang dihajati. Setelah beberapa ketika datanglah Jin yang di seru itu melalui Tok Bomoh tersebut. Ada sesetengah Tok Bomoh yang mengeletar tubuh badan mereka apabila dimasuki Jin, namun ada juga yang sampai berguling-guling dan tidak ketinggalan juga yang berkeadaan biasa apabila di masuki oleh Jin tersebut. Setelah selesai upacara itu dan Jin tersebut telah keluar dari tubuh Tok Bomoh, maka keris tersebut akan di kucup, di asap dan disarungkan kembali ke dalam sarungnya.

Biasanya orang-orang yang terlibat dalam bidang latihan pertahanan diri dan perbomohan gemar menggunakan keris, kerana mereka mempunyai kepercayaan yang kuat kepada kuasa keris tersebut. Sesetengahnya mendakwa memperolehinya dalam mimpi, apabila bangun dari tidur, didapatinya keris tersebut telah berada di sisinya. Sesetengahnya pula mendapat keris tersebut setelah sekian lama bertapa di tempat-tempat tertentu. Tidak kurang juga yang memperolehinya dari warisan turun temurun dari datuk nenek mereka, yang kononnya mereka adalah warisnya dengan disyaratkan kepada mereka yang menjaga keris itu, mestilah melakukan apa jua syarat yang diperlukan sebagai penjaga warisan keris tersebut.

Dengan memiliki keris tersebut, jadilah ia seorang Tok Bomoh ataupun pendekar dengan bantuan Jin penjaga keris terebut. Keris itu dihormati sebagai tetamu dan di jaga dengan rapi. Sesetengahnya mengambil kesempatan pada malam jumaat untuk mengasapkan keris tersebut dengan kemian dan dimandikan dengan sintuk dan limau nipis bagi menjaga kuasa yang ada pada keris tersebut supaya tidak hilang. Selepas itu keris tersebut di bungkus dengan kain kuning atau hitam, di kucup dan di simpan di tempat yang khas dan selamat.

Ada di antara keris-keris itu yang berbunyi pada waktu malam atau siang mengikut keadaan dan keperluan. Contohnya bila ada tetamu hendak datang atau bila ada sesuatu bencana yang akan berlaku seperti banjir, musuh akan datang menyerang dan sebagainya. Keadaan berbunyinya berbeza-beza. Ada yang keluar masuk sarung tanpa henti sehingga diberhentikan, ada juga yang berlegar-legar atau bergegar di tempatnya dan macam-macam cara lagi.

Mengikut perkiraan lojik, adakah keris itu mempunyai nyawa untuk berbunyi atau bergerak-gerak ataupun keluar masuk ke dalam sarungnya sendiri ?. Tetapi apa yang sebenar berlaku ialah bergeraknya keris itu adalah disebabkan oleh Jin penjaga keris itu yang mahu memberitahu sesuatu kepada tuannya. Orang yang sebeginilah yang selalunya di anggap Tok Keramat oleh sesetengah orang.

Sebenarnya bagi orang yang memiliki keris tersebut, Jin penjaga keris itu bukan lagi sebagi khadam kepada keris itu, tetapi sebaliknya sebagai tuan kepada manusia, kerana manusia (tuan keris) itu terpaksa akur dan patuh kepada segala kehendak Jin tersebut. Kerana itulah keris tersebut perlu di asap dan dilimaukan sebagai syarat perhubungan mereka. Jika tidak Jin itu akan menggangu tuannya atau jika tuan keris itu sudah meninggal dunia maka Jin itu akan menggangu anak-cucunya pula dengan berbagai-bagai kesusahan dan penyakit. Penyakit itulah yang dinamakan " saka baka " atau keturunan atau tok nenek. Maka bagi anak cucu yang mahu membela, maka diamlah Jin tersebut dari menggangu, sementara yang tidak mahu menerima, saka Jin itu akan terus menerus menggangunya.


Amalan Pengamal Sihir

amalan-amalan yang dilakukan oleh tukang-tukang sihir atau pengamal ilmu hitam untuk mendekatkan diri mereka kepada syaitan-syaitan jin :-

  • 1.Mengikat mashaf al Quran di bawah kedua tapak kakinya (dijadikan selipar) kemudian di bawa masuk berjalan ke dalam tandas.
  • 2.Menulis ayat-ayat al Quran dengan najis, kotoran atau darah haid di bawah dua belah seliparnya.
  • 3.Menulis ayat-ayat al Fatihah secara terbalik.
  • 4.Bersolat tanpa berwuduk dan kadang-kadang dalam keadaan berjunub.
  • 5.Melakukan penyembelihan semata-mata kerana syaitan dan tidak menyebut nama Allah ketika meyembelihnya dan hasil sembelihan itu diletakkan di tempat-tempat tertentu sebagai persembahan khusus bagi syaitan
  • 6.Melakukan pemujaan terhadap matahari,bulan atau bintang di langit dan mengabdikan diri hanya objek tersebut dan tidak kepada Allah S.W.T.
  • 7.Mengadakan hubungan kelamin dengan ibu kandung atau anak perempuannya sendiri.
  • 8.Melumurkan tahi ke seluruh tubuh dan tidak boleh mencucinya selama beberapa hari atau tempuh tertentu.
  • 9.Memuja kuburan dan memanggil ruh ruh
  • 10.Memuja tengkorak mayat orang mati terbunuh atau kanak kanak



Kesannya terhadap Pengamal Ilmu Sihir

Semasa Masih Hidup

1.Hidupnya sentiasa bermasalah
2.Berniaga tidak menjadi, buatlah kerja apapun tidak akan berjaya, seolah-olah ada sahaja yang menghalang
3.Banyak halangan dalam pekerjaan yang diceburi.
4.Sering sakit yang pelik-pelik yang tidak dapat di kesan oleh doktor seperti histeria, gila isim, panas baran, dapat anak yang cacat dan huduh rupanya, selalu tidak sedarkan diri, sakit kepala bila tiba waktu pagi, waktu matahari jatuh, keluarga selalu berkelahi, di ganggu mimpi ngeri dan menakutkan dan sebagainya.
5.Hilang anak dalam kandungan hasil tumpangan Jin semasa melakukan persetubuhan dan sebagainya.


Di Saat-saat Kematian.

Kadang-kadang berlaku juga kejadian yang aneh-aneh ke atas si sakit yang bersahabat dengan Jin ini sewaktu kematiannya. Antara kejadian-kejadian tersebut adalah seperti ;-
Mati sudah dua atau tiga hari tetapi masih kelihatan hidup dan sangat kuat makan, bila sudah mati mayat itu telah berbau busuk dan reput.
1.Mayat ditumbuhi bulu yang banyak
2.Mayat di bawa lari oleh puak-puak Jin
3.Mata dan mulut mayat kelihatan ternganga dan kelihatan ngeri
4.Selepas kematiannya kadang kala didapati diri si mati itu (sebenarnya Jin peliharaannya) balik semula kerumah dan ada yang tidur serta bersetubuh dengan isterinya. (pada sangkaan si isteri, bahawa suaminya itu hidup semula atau bekas suaminya itu keramat atau wali)
5.Sesetengah mayat pula selepas kematiannya hilang di bawa lari oleh Jin peliharaannya ke dalam hutan untuk santapan puak-puak Mereka.



KESIMPULANNYA

Ringkasnya dari keterangan-keterangan yang telah di kemukakan di atas jelaslah bahawa berkawan dan bersahabat dengan Jin memberi banyak keburukan kepada manusia samada semasa mereka masih hidup, apatah lagi setelah mereka meninggal dunia. Tidak kira apa juga niat dan sebab mereka menjadikan Jin sebagai sahabat atau Khadam mereka.

Menurut sesetengah ulama, berkawan dengan Jin boleh menyebabkan manusia dan Jin yang menjadi sahabatnya itu, jika Jin tersebut terdiri dari pada Jin Islam, sama-sama menjadi kafir dan kedua-duanya akan di humbankan oleh Allah kedalam Neraka. Keadaan ini berlaku kerana manusia yang bersahabat dengan Jin merasa Takbur dan lupa daratan kerana mereka memiliki kuasa yang luar biasa yang tidak boleh di miliki oleh manusia lain dan apa-apa yang mereka hajati dapat diperolehi melalui pertolongan Jin tersebut. Mereka juga menganggap mereka lebih berkuasa daripada Allah dan menyuruh manusia lain meminta pertolongan hanya kepada mereka sahaja Perbuatan ini menyebabkan mereka Syirik kepada Allah kerana meminta pertolongan kepada mahkluk lain selain daripada Allah, sedangkan Syirik merupakan suatu dosa yang amat berat dan tidak akan di ampun oleh Allah.

Manakala Jin yang menjadi Khadam manusia, menjadi kafir pula kerana mereka juga telah Takbur kepada Allah kerana seronok di sanjung dan di puja oleh manusia. Kadang-kala Jin tersebut juga mengaku mereka adalah tuhan dan menyuruh manusia menyembahnya dengan mengadakan majlis-majlis tertentu seperti Jamu Jin setahun sekali, kenduri, sembelih kambing, korbankan sesuatu kepada Jin dan sebagainya, jika inginkan pertolongan dari mereka. Wallahua'alam.



Rujukan: Gabungan artikel, email & blog