Books

Books

27 November 2010

Memenangi Hati Wanita



WANITA sentiasa ingin didampingi secara emosi.


BIARPUN wanita sinonim dengan hati yang rapuh, mudah dipujuk rayu dan terlalu cepat melatah, namun terdapat lima tip utama untuk memenangi hati wanita yang mampu berikan kasih sayang yang ikhlas dan jujur kepada seorang lelaki.

Berikut adalah beberapa tip daripada Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali.

Jadi seorang lelaki sejati
Tidak perlu tampil gagah perkasa tetapi maksud sejati yang diidamkan wanita adalah berperwatakan menarik, sedap mata memandang, senang bergaul dan pandai mengambil hati.

Bukan dengan selalu memuji dan bukan juga tidak boleh mengeji tetapi berpada-pada. Katakan dan luahkan yang benar, bukan menyembunyikan fakta hingga yang dusta mewujudkan duka.

Lelaki sejati idaman wanita juga bermaksud anda mampu menjadi ketua, bukan mengarah itu ini sebaliknya ketua yang mampu melindungi.

Fitrah wanita ingin dijaga kebajikan dirinya dan bukan dia yang perlu menjaga. Wanita juga ingin didominasi oleh lelaki, bukan wanita yang perlu tentukan segala keputusan sehari-hari tetapi didominasi lelaki bukan sampai hak wanita untuk bersuara diketepikan.

Lantaran, lelaki sejati idaman wanita ialah mampu bertoleransi, bersikap terbuka dan boleh menerima pendapat dan saranan wanita.

Bukan sahaja lelaki, wanita juga tidak suka ditipu dan didustai. Ramai lelaki bersikap menipu tanpa niat atau dalam istilah ciptaan masyarakat hari ini, bohong sunat. Elakkan bohong seperti ini dan nyatakam kebenaran.
Biar kenyataan itu terlalu pahit, nyatakanlah ia kerana wanita boleh memaafkan kesilapan dan keterlanjuran tetapi tidak akan mudah menerima dan memaafkan sebuah penipuan dan pendustaan. Lantas, sentiasa amalkan sikap jujur dan berterus terang.

Dalam perkahwinan, ramai suami yang tidak ambil berat isu berkata benar. Ramai yang memegang prinsip daripada katakan yang benar boleh melukakan hati, biarlah berbohong sedikit. Masalah akan jadi lebih besar apabila isteri mengetahui tentang pembohongan tersebut.

Isteri sukar terima penipuan untuk menjaga hati sebab si isteri percaya, jika suami benar-benar ikhlas dan sayangkannya suami perlu berterus terang.

Sama juga dalam isu khianat kasih; bila si suami mempunyai orang ketiga. Isteri yang mengetahui secara tulus daripada si suami akan lebih bersedia memujuk hati dan menerima hasrat suami berbanding suami yang menduakan dirinya dalam diam.

Ambil berat dan prihatin
Wanita akan mengenepikan rupa, pangkat atau harta sekiranya bertemu lelaki yang mengambil berat dan prihatin terhadap dirinya.

Keprihatinan seorang lelaki akan membuatkan wanita rasa dihargai. Ambil berat tentang kesihatan, emosi, ujian kehidupan, perkara kegemaran malah cerita-cerita lucunya. Dia tidak perlukan nasihat bak kaunselor tetapi memadailah anda meluangkan sedikit masa untuk mendengar luahan hatinya.

Wanita ideal tidak mendambakan hadiah berharga tetapi memadailah apabila hari-hari penting dalam hidupnya diingati. Ingatan anda cukup membuktikan anda mengambil berat dan prihatin.

Komunikasi unggul
Wanita ingin sentiasa didampingi. Bukan berdampingan dari aspek fizikal semata-mata tetapi dampingi wanita secara emosi.

Sentiasalah bertanya khabar dan jangan biarkan dirinya tertunggu-tunggu khabar daripada anda. Penantian tanpa sebarang maklum balas daripada lelaki boleh membuatkan wanita beranggapan dirinya tidak diperlukan.

Komunikasi unggul yang perlu dipraktikkan adalah dengan mewujudkan komunikasi tanpa batas iaitu sering berhubung walau sekadar satu mesej ringkas yang bertanyakan khabar. Sentiasa berterus terang, jika keadaan tidak izinkan untuk berbicara panjang, cukup sekadar maklumkan anda akan hubunginya sedikit masa lagi kerana ketika itu anda perlu lakukan sesuatu yang lebih penting.

Wanita suka dimanja tetapi bukan terlalu dimanjakan. Wanita suka diberikan kepercayaan dan kebebasan tetapi berpada-pada. Kepercayaan dan kebebasan tanpa batas boleh membuatkan wanita merasakan dirinya tidak diperlukan.

Terima dia seadanya
Wanita sanggup melakukan apa saja atas nama cinta. Paling penting, terima dia seadanya. Jika ada kekurangan dirinya yang boleh diubah, lafazkan dengan penuh hikmah, bukan mencerca tetapi sebagai mendidik ke arah yang lebih baik.

Wanita sanggup berusaha sedaya upaya jika anda boleh menerima dirinya seadanya dan lakukan sedikit perubahan demi kebaikan bersama. Wanita tidak suka dibandingkan dengan wanita lain.
Lantas, dalam usaha mendidik, jangan bandingkan dia dengan orang lain walau dengan ibu atau saudaranya sendiri.

Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_02.htm

No comments: