Books

Books

28 February 2017

Si Penjual Tempe Dengan Doanya


Di dalam sebuah kampung di satu pendalaman, tinggal seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijual merupakan tempe buatannya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya, tempe beliau telah masak sebelum bertolak.

Setelah diperiksa beberapa bungkusan yang lain, ternyata kesemuanya belum masak lagi. Perempuan tua itu berasa sangat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa :
“Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin..”

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hati. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sedikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe.

Namun, dia termenung seketika kerana tiada sebarang perubahan yang berlaku dan masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi.

“Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin..”

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!!
Sementara itu, hari pun semakin meninggi. Tentunya pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum termakbul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan perjalanannya ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar, kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa,
“Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”.

Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi.
Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia bertambah risau. Dia duduk seketika lalu menarik nafas dalam-dalam.

Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia merasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Akhirnya dia cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya kerana merasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.

Sementara itu, hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil
jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir,
“Ya Allah,berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.”

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita,
“Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya dah pusing keliling pasar ni untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi..”

Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya,

“Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin..”
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun merasa gembira dan sangat bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu,

“Kenapa anak ni nak beli tempe yang belum jadi?”
Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe segar dari kampung. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan…
-------------------------------------------------

Kita sering memaksa supaya dimakbulkan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita. Sebagai hambaNya yang lemah, tetap sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita tanpa lelah dan putus asa. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Tiada yang mustahil bagi Tuhan apabila ia berkehendakkan sesuatu. Apa yang akan dimakbulkan sesuai mengikut waktu dan keadaan yang kita sendiri tidak mampu untuk memikirkannya.

Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita, sedang kita selalu lupa untuk memenuhi hak Allah yang asas. Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang bertakwa. Amiin Ya Rabbal Alamin.

16 December 2016

Kisah Aleppo Dan Negara-Negara Dilanda Kesengsaraan Perang Afganistan, Iraq dan Libya



Kita berasa sedih dengan penderitaan yang ditanggung penduduk Aleppo yang saban waktu dibom sejak tahun 2011. Namun begitu kita juga...


Tidak boleh melupakan rakyat di Iraq, Afganistan dan Libya yang hancur musnah kehidupan mereka akibat dibedil dan dihilangkan kehidupan mereka oleh askar-askar Amerika Syarikat dan NATO. Dengan hanya alasan mahu menjatuhkan pemimpin yang dikatakan zalim, negara-negara tersebut dijarah. Namun hakikatnya rakyat jelata yang menerima padahnya.

Kepada rakyat Palestin yang telah mengalami perit kezaliman sejak tahun 1948, apabila terhasilnya Rancangan Pemecahan Bahagian PBB 1947 yang dibahagikan kepada "negara Yahudi".

Kenapa semua ini disenyapkan dari pandangan umum? ... Kerana mainstream media (MSM) / media massa utama dunia dikuasai oleh  The "Big Six" yang mengawal sumber maklumat dan berita dunia. Mereka ini berusaha agar projek “Greater Israel” dapat dijalankan dengan jayanya. ... Setelah semua penentang Israel ini dapat dijatuhkan, maka Israel dapat berkembang dan diperbesarkan hampir seleuruh Tanah Arab. http://www.globalresearch.ca/greater-israel-the-zionist-plan-for-the-middle-east/5324815 

Walau bagaimanapun sebagai seorang muslim setidak-tidaknya pada hari Jumaat ini kita berdoa kepada Illahi memohon perlindungan dan kekuatan kepada mangsa-mangsa perang yang tidak berdosa ini.

 Aamiin ya rabbal 'alamin.

07 December 2016

Mainan Sihir Duduk Dalam Api Neraka Walaupun Solat Duduk Di Belakang Imam


● Dalam dunia moden dan serba canggih ini masih ada satu penyakit yang tidak boleh hilang dalam masyarakat melayu suka pergi berbomoh untuk menilik atau menyihirkan orang lain. Ada kalanya orang suka berbomoh ini di kalangan teguh kuat imannya pada ajaran agama namun tewas dalam permainan syaitan iblis.

● Nabi S.A.W bersabda: “Sesiapa yang berjumpa dengan tok nujum dan bertanya sesuatu yang ghaib, lalu percaya dengan kata-kata mereka maka tidak diterima solatnya selama 40 hari”  ~ Hadis riwayat Muslim.

● Bayangkan setiap kali pergi menilik 40 hari solatnya tidak diterima. Bagaimana pula mereka yang pergi setiap bulan? ... Bagaimanakah amalan-amalan kebaikannya yang lain sehinggakan solat pun tidak diterima. Nauzubillah min zalik ...

● Dr Yusuf Qardawi berkata:

"Sesiapa yang mendakwa mengetahui perkara yang ghaib maka dia telah berbohong kepada Allah, kepada kebenaran dan kepada manusia."

Sesungguhnya telah tiba segerombolan manusia bertemu dgn Nabi S.A.W mereka menyangka baginda mengetahui perkara yang ghaib, lalu mereka menyembunyikan sesuatu di tangan mereka. Mereka bertanya "Beritahu kami apa yang ada dalam tangan kami?" Nabi S.A.W menjawab dengan jelas:

"Aku bukannya tok nujum atau pawang yang mengetahui benda yang ghaib. Sesungguhnya pawang atau tok nujum (yang mendakwa tahu perkara ghaib) berada dalam neraka." ~ Hadis riwayat Tirmizi.

*Rujukan: Al-Halal wal haram fil Islam oleh Dr Yusuf al-Qardawi.







'Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.'
- surah Al-Jinn : 6

Cerita Sihir / Buatan Orang: Oleh Ustaz Azhar Idrus


Wallahu a'lam.

29 November 2016

Memperdagangkan Bayi : Satu Berita Yang Sangat Memalukan Malaysia Di Mata Dunia

● Pendedahan yang dilakukan oleh wartawan Al Jazeera mengenai perniagaan penjualan bayi secara terbuka ini amat menakutkan perkembangan sosiologi Malaysia sekarang ini.

● Penglibatan doktor perubatan, pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hospital, klinik bersalin, Dato Seri dan pegawai penjawat awam lain yang bersekongkol dengan penjenayah di dalam perdagangan bayi ini sangat mengecewakan. Tiada integriti dan amanah dalam menjalankan tugas.

● Masalah kecelaruan sosial seperti pergaulan tanpa batas remaja, pelacuran, penyalahgunaan dadah dan golongan terdesak dari segi kewangan menyumbang kepada perniagaan haram ini.

● Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan JSJK - Siasatan Jenayah Siber & Multimedia sepatutnya mengawasi dan memantau pergerakan komplot memperdagangkan bayi melalui internet. Juga SKMM harus menutup terus akses kepada laman-laman seperti ini.

● Kenapa media massa utama Malaysia dan pihak penguatkuasa tidak mampu menyelongkar jenayah kronik ini? ... Isu ini hanya diketahui melalui media antarabangsa seperti Al Jazeera.

● Apabila bertahun-tahun masalah ini berlaku di Malaysia ... satu kemusykilan yang menghairankan kenapa tidak ada penangkapan terhadap para pelaku ini? ...
Seperti yang diberitahu oleh doktor perubatan kepada wartawan Al Jazeera:
◊ Al Jazeera: How come you've got such good connections?
◊ Doctor: I've got a lot ... In Malaysia, can do everthing. Money can do anything. 

● "Money is king" ... wang juga yang bakal memusnahkan tamadun sebuah negara!



Rujukan: https://youtu.be/otvWPV_7cK0


26 October 2016

Hospital Sultanah Aminah : ICU Pertama Di Malaysia


● Kenyataan di bawah ini disampaikan oleh Pengarah Kesihatan Malaysia. ... Semoga semua yang terlibat dalam kemalangan ini diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi musibah tak terduga.

● Kepada wira-wira tidak didendang... tahniah dan jutaan penghargaan buat anda yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa kebakaran bagi mengelakkan lebih banyak jiwa yang terkorban.

#PrayForHSA


««« ● »»»


Hari ini adalah detik hitam untuk kita. Kita berdepan tragedi terburuk yang boleh terjadi ke atas sebuah hospital. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang menghubungi dan meninggalkan pesanan untuk saya.

Ingatan anda kepada saya amat dihargai.

Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu kami mengharungi detik ini. Ingatan khusus juga kepada:

* Allah kerana menyelamatkan semua bayi saya. Tak ada kata-kata dapat menggambarkan keadaan jika api merebak ke blok pediatrik

* Rakan sekerja dan pegawai perubatan (MO)
Kepada semua, terutama rakan sekerja wanita di wad saya hari ini. Apabila kebakaran bermula mereka mengetepikan kepentingan sendiri dan memberitahu pegawai perubatan lelaki: "Kamu semua pergi selamatkan pesakit. Lakukan apa yang perlu. Mereka perlukan orang untuk memindahkan pesakit. Kami akan uruskan pesakit bayi".

MO saya hari ini memandang saya ketika lawatan ke wad dan berkata: "Anda tak boleh fokus hari ni, kan Muhaimin? Anda mahu ke sana membantu. Pergilah. Jaga diri."

Dan begitulah bagaimana kami semua membantu di jabatan kecemasan dan bahagian lain hospital.

* PPK (Pembantu perawatan kesihatan), jururawat dan MA (pembantu perubatan)
Kepada semua PPK saya. Anda tidak tahu peranan dimainkan mereka hari ini. Sesetengah mereka membawa tangki oksigen dari satu tempat ke satu tempat tanpa mempedulikan keringat bercucuran semata-mata untuk memastikan semua orang selamat.

Saya tahu sesetengah mereka mengalami osteoathritis namun mereka begitu gagah hari ini. Jururawat dan MA begitu cekap sehinggakan sesetengah arahan dijalankan tanpa perlu disuruh.

Semua orang tahu apa yang perlu mereka lakukan. Sesetengah mereka mengorbankan waktu makan tengah hari semata-mata memastikan tiada pesakit terbiar di wad-wad baru.

* Anggota bomba
Mereka adalah orang paling berani yang meredah api untuk cuba menyelamatkan pesakit kami. Sebahagian mereka kelihatan begitu penat dalam seragam dan peralatan berat. Mereka adalah wira tidak didendang hari ini.

* NGO (pertubuhan bukan kerajaan)
Tzu Chi, Jabatan Amal, ARIF, dan banyak lagi. Terima kasih untuk bekalan air dan makanan. Malah McDonalds datang dan memberikan burger kepada semua orang. Dalam tempoh kurang dari tiga jam bantuan tiba tanpa henti sehingga kami terpaksa mengedarkan semula makanan itu ke jabatan-jabatan lain.

* Pegawai yang tidak bertugas
Ramai rakan pegawai perubatan pelatih dan jururawat, MA dan PPK yang tidak bertugas datang ke hospital dengan pakaian sukan untuk membantu. Anda tahu betapa berharganya hari cuti kepada kami.

Saya dapat berehat seketika untuk minum hari ini selepas seorang rakan saya yang baru selesai bertugas pada syif malam datang dan mengambil alih tempat saya. Sesetengah daripada mereka datang dengan mata merah dan wajah kepenatan (kerana belum cukup rehat). Semolah Allah membalas semua kebaikan kalian.

* Doktor pakar
Saya meletakkan mereka di bahagian akhir kerana rasanya mereka berhak mendapat satu daripada penghargaan terhebat. Dapatkah anda bayangkan bagaimana menguruskan sebuah wad yang dibina untuk pesakit unit rawatan rapi, ortopedik, pembedahan, neuro dan sebagainya dalam tempoh kurang dari 30 minit?

Doktor-doktor pakar adalah petugas paling tenang di dalam wad. Mereka menguruskan pelatih dan pembantu perubatan, memberi arahan lenkap dan meletakkan semua petugas di tempat yang betul supaya semuanya berjalan lancar.

Daripada memberi arahan kepada pelatih perubatan mengambil darah hingga mengarahkan jururawat kanan membuat semakan, mereka berjaya menyempurnakan tugasan itu dan mengubah suasana kelam-kabut kepada keadaan terkawal.

Terima kasih kerana menunjukkan kepada kami kepimpinan yang baik.

Marilah kita berdoa untuk yang terkorban. Semoga roh mereka bersemadi dengan aman.

««« ● »»»

Petikan dari laman Facebook - Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah

21 October 2016

Hukum Menyertai Polisi Insurans Nyawa Konvensional: HARAM


Semasa episod akhir Da'i TV3 2016 pada sesi soalan imtihan yang dikemukakan oleh Ustaz Mohamad Zarifi ... ramai terkejut termasuk para peserta akhir yang tidak mengetahui bahawa menyertai polisi insurans nyawa konvensional adalah HARAM.

Merujuk kepada persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979 yang membincangkan mengenai insurans.

Kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:
(i)   Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
(ii)  Mengandungi unsur judi
(iii) Mengandungi muamalah riba 

Rasulullah SAW bersabda;
وعن أنس بن مالك عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : ] طَلبُ الحَلالِ وَاجِبٌ على كلِ مُسلِم.[ [2]  رواه الطبراني في الأوسط وإسناده حسن
Maksudnya: Anas bin Malik meriwayatkan dari Rasulullah SAW, bersabda; “Mencari yang halal adalah suatu kewajipan ke atas setiap Muslim”. Diriwayatkan oleh al-Thabarani dengan sanad yang baik (hasan).

Sekadar makluman umum. Wallahu a'lam

Maklumat lanjut di sesawang: http://j.mp/2dTMHwL

02 October 2016

Salam Maal Hijrah 1438H


Salam Maal Hijrah. Semoga tahun baharu 1438H ini membawa kita ke arah kebaikan dengan mengikuti sifat Mahmudah seperti:

◊ Taubat
◊ Khauf (takut)
◊ Zuhud
◊ Sabar
◊ Syukur
◊ Ikhlas
◊ Tawakkal
◊ Mahabbah (kasih sayang)
◊ Redha
◊ Zikrul Maut (mengingati mati)

Dan juga meninggalkan sifat-sifat Mazmummah seperti: 

◊ Marah
◊ Hasad
◊ Bakhil
◊ Cintakan Kemegahan
◊ Cintakan Dunia
◊ Bangga Diri
◊ Banyak Bercakap
◊ Ujud
◊ Riya’

Harapan tahun baharu ini kita dapat berHIJRAH sifat Mazmumah dalam diri kita ke arah sifat Mahmudah seiring dengan hari kita memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke Madinah.

Aamiin.