Books

Books

21 December 2010

Lima Polis Derita Santau (Dipercayai akibat ditujukan ‘santau katak puru’ dan ‘santau angin’)

Oleh Asmah Rusman dan Hamizah Badiran
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Risiko sebagai anggota polis bukan sekadar ancaman maut melalui senjata moden, tetapi turut diserang melalui cara mistik oleh penjenayah yang menyimpan dendam kesumat apabila kegiatan mereka ditumpaskan.

Itu terpaksa ditempuhi seorang anggota polis hanya mahu dikenali sebagai Hafis dan empat rakan sekerjanya yang kini menderita sakit perut dipercayai akibat ditujukan ‘santau katak puru’ dan ‘santau angin’ oleh seorang dalang sindiket mencuri motosikal.

Menurut Hafis, 23, akibat perbuatan itu seorang daripada rakannya paling teruk menderita apabila ditujukan santau katak puru hingga menyebabkan perutnya membesar seperti wanita mengandung dan keras seolah-olah diisi pasir dan batu.

“Saya dan tiga rakan lain mengalami nasib sama, namun cara santau yang digunakan berbeza. Kata bomoh, kami berempat ditujukan santau angin yang menyebabkan kami sakit perut.

“Orang yang menghantar santau itu menggunakan objek seperti paku, jarum, rambut dan tulang babi hutan sebagai ramuan racun yang dimasukkan ke dalam makanan kami.

“Kami dinasihatkan supaya tidak makan di restoran kegemaran kerana racun santau itu ditujukan terus ke situ. Bukan sekadar melalui makanan, malah racun santau juga akan ‘melekat’ pada badan kami setiap kali kami datang ke restoran berkenaan,” katanya.



Rujukan : http://www.hmetro.com.my/articles/5polisderitasantau/Article

Memahami Fasa Haid

PMS indikasi kesuburan





FARISYA Rahman, 25, merupakan seorang gadis yang aktif, periang, bertenaga dan sering membuatkan teman-teman di sekelilingnya ketawa apabila melayan setiap patah bicara dan keletahnya.

Namun, pada masa-masa tertentu setiap bulan dia akan menjadi pendiam, pucat dan pergerakannya juga terbatas. Malah, adakalanya Farisya akan menjadi emosi dan marah-marah tanpa sebab.

Pada masa itu, rakan-rakannya sudah tahu mengapa dia berkelakuan sedemikian.
"Hmm...datang bulanlah tu..." Terpacul sebaris ayat yang begitu klise dilontarkan terhadap kaum Hawa daripada rakan sekerja yang sudah lali dengan perubahan Farisya setiap bulan.

"Itulah yang saya hadapi setiap bulan ketika haid. Pantang ada orang cakap silap sikit, pasti saya akan marah-marah tidak tentu pasal. Keadaan ini menyebabkan ada segelintir rakan-rakan menjauhkan diri sepanjang tempoh tersebut," kata eksekutif di sebuah syarikat swasta itu.

Berlainan pula dengan Nurul Ain Rosly, 20, yang selalu menahan kesakitan akibat senggugut setiap kali haid.
"Hari pertama haid memang menyakitkan. Adakalanya, saya mengerekot baring di dalam bilik dan tidur kerana tidak betah melakukan kerja lain. Perut rasa memulas seperti mahu membuang air besar.

"Bagi mengurangkan kesakitan, apa yang saya lakukan adalah minum segelas milo O panas. Bukan saya sahaja, kawan saya juga mengalami masalah yang sama. Akibat kesakitan yang tidak tertahan, dia mengerekot baring di kaki lima ketika mahu pergi membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman," cerita pendidik itu.

Gangguan rutin

Mungkin itu senario yang biasa anda hadapi atau lihat yang berlaku di tempat kerja, sekolah, kuliah, di tempat awam dan sebagainya.

Kitaran haid bukanlah sesuatu yang asing dalam diari seorang wanita. Ia dikenali dengan banyak nama seperti rakan karib, bendera Jepun, The Curse atau ta yee mah.

Walau apapun namanya, kehadiran singkat dalam kehidupan kaum Hawa setiap bulan disambut dengan pelbagai ragam dan reaksi akibat perubahan hormon sehingga ia mengganggu rutin wanita.

Ada segelintir wanita pula mengeluh pada waktu haid kerana ia dianggap mengganggu perjalanan hidup mereka dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu.

Mungkin ramai wanita tertanya-tanya, mengapakah kitaran haid menjadi punca ramai di antara mereka tidak senang duduk, mengurung diri, personaliti berubah, emosi di luar kawalan dan tidak kurang pula yang terpaksa mengambil cuti semata-mata untuk menyambut haid yang menyakitkan?

"Haid ialah pendarahan daripada faraj. Ia adalah perkara normal yang berlaku pada tubuh gadis yang mencapai akil baligh dan ia akan berhenti apabila seseorang itu mencecah lingkungan usia 50 tahun.
"Sebelum seseorang gadis mendapat haid pertama, dia perlu mempunyai struktur otak yang normal, hormon yang seimbang dan organ reproduktif iaitu ovari, uterus serta faraj yang normal," kata pakar obstetrik dan ginekologi(O&G), Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Siraj ketika menyampaikan forum interaktif mengenai haid anjuran PT Softex Indonesia. PT Softex Indonesia merupakan pengeluar utama tuala wanita di Indonesia.

Perubahan hormon

Setiap bulan, ovari akan mengeluarkan telur. Proses tersebut dikenali sebagai pengovuman. Pada waktu itu, perubahan hormon berlaku bagi menyediakan rahim untuk kehamilan.

Jika pengovuman berlaku tetapi telur tidak disenyawakan, lapisan di dinding rahim akan gugur melalui faraj yang dikenali sebagai haid.

"Sesetengah wanita menghadapi kejang perut atau senggugut di bawah abdomen ketika haid bermula. Ia menyebabkan aktiviti seharian mereka terganggu.

"Amalkan menuam abdomen bagi mengurangkan rasa sakit," ujarnya berkongsi tip.
Kesakitan yang kerap dialami oleh wanita sebelum atau menjelang haid ialah sindrom sebelum haid (PMS). Ia merujuk kepada simptom fizikal dan emosi.

Antara simptomnya termasuklah keletihan, kekejangan abdomen dan sakit kepala. Selain itu masalah kembung perut merupakan perubahan fizikal yang dialami manakala ketidakstabilan emosi, keresahan dan kemurungan pula merupakan perubahan dari aspek mental.


WAKIL media yang hadir pada forum interaktif mengenai haid di Kuala Lumpur baru-baru ini.



Sesetengah kajian menunjukkan PMS berlaku kerana hormon progesteron yang dirembeskan selepas berlakunya ovulasi.

"Jika kita berasa sakit janganlah mengeluh kerana PMS menunjukkan seseorang itu sedang berovulasi. Itu petanda seseorang itu subur," katanya.

Namun, ramai mengaitkan kesakitan yang dialami kerana melanggar pantang larang ketika haid. Antaranya termasuklah minum air kelapa, makan buah nanas, tembikai dan minuman berkarbonat.

Ada pula yang memberikan petua supaya minum air halia bagi mengelakkan kesakitan. Sejauh manakah kebenarannya?

Dr. Harlina memberitahu, senario tersebut merupakan petua orang lama yang seringkali didengar.
"Sebagai contoh, ketika haid tidak boleh makan nanas kerana jika makan nanas ia akan menyebabkan darah haid keluar dengan banyaknya.

"Kita sering mengamalkan pantang larang yang kita pelajari daripada ibu kita dan mereka pula mempelajari daripada ibu mereka seperti pantang minum air kelapa atau makan nanas semasa haid tetapi tiada bukti klinikal bahawa ia berasas. Semuanya di minda kita, ia dikenali sebagai kesan plasebo," ujarnya.

Sehubungan itu Dr. Harlina menasihatkan supaya mereka yang mengalami PMS mendapatkan nasihat daripada pakar diet tentang pemakanan yang betul.

Penjagaan diet yang betul dapat membantu wanita menyesuaikan edaran haidnya, mengurus kekejangan perut dan mengurangkan senggugut.

Beliau memberitahu, ramai di kalangan pesakitnya mengadu mengenai kitaran haid yang tidak menentu.
"Ada beberapa faktor yang menyebabkan ketidaktentuan kitaran haid iaitu ketidakseimbangan hormon, perubahan gaya hidup kerana stres atau hampir menopaus.

"Daripada membuat diagnosis sendiri atau membandingkan pengalaman dengan orang lain, adalah lebih baik berjumpa dengan pakar ginekologi atau sakit puan," sarannya.

Elakkan kafein 

Sementara itu, seorang kakitangan swasta yang mahu dikenali sebagi Fadzli Omar, 33, berkata, pada peringkat awal berkahwin beliau juga amat sukar memahami simptom PMS yang dialami isterinya.
Anak bongsu daripada empat beradik yang kesemuanya lelaki itu mengakui dia amat tertekan dengan sikap isterinya setiap kali mengalami pusingan haid.

"Adakalanya kami bergaduh hanya kerana perkara-perkara kecil kerana isteri saya menjadi sangat sensitif.
"Lama-kelamaan saya mula memahaminya dan memberi sokongan. Adakalanya isteri saya terpaksa mengambil ubat tahan sakit kerana senggugutnya agak teruk atau menuam bahagian bawah perut dengan air panas," kata bapa kepada tiga anak itu.

Pakar dietetik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Shariza Abdul Razak menegaskan wanita yang mengalami masalah senggugut perlu menghindari makanan yang mengandungi gula terproses seperti coklat, gula-gula dan air berkarbonat.

"Walaupun makanan ini dikatakan boleh menenangkan tetapi ia boleh meningkatkan kekejangan pada abdomen dan rahim selepas beberapa jam dimakan," ujarnya.

Selain itu, makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi seperti makanan dalam tin, kerepek dan bertih jagung perlu dielakkan.

"Sebelum haid wanita akan mengalami penambahan berat badan beberapa kilogram (kg) dan sekali gus menyebabkan timbulnya simptom retensi (pengumpulan) air dalam badan.

"Sehubungan itu, dengan pengambilan makanan bergaram yang tinggi, kesannya akan menjadikan lebih banyak air terkumpul dalam badan dan mengundang ketidakselesaan," tegasnya ketika dihubungi.
Dr. Shariza juga tidak menggalakkan wanita yang mengalami simptom senggugut meminum air yang tinggi kandungan kafein seperti kopi. Begitu juga makanan yang mengandungi lemak seperti daging merah dan aiskrim kerana ia menyebabkan salur darah mengecut dan mengundang kesakitan pada bahagian abdomen.
Sehubungan itu, beliau menyarankan wanita yang mengalami masalah ketika haid mengambil sajian yang berbijirin penuh untuk mengelakkan rasa letih dan tidak bermaya.

"Selain itu juga, sayur-sayuran dan buah-buahan akan menyumbang kepada kandungan vitamin tambahan dalam badan.

"Malah, makanan yang mengandungi asid lemak omega 3 seperti ikan dan makanan yang mengandungi vitamin B kompleks amat digalakkan selain pengambilan air dalam kuantiti yang banyak untuk menggantikan cecair yang hilang ketika haid," tegasnya.



Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1220&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

14 December 2010

Sumbangan Tamadun Islam Dalam Pelbagai Bidang Keilmuan

Islam telah melahirkan antara tamadun manusia yang terunggul di dunia. Ilmuan serta cendekiwan Islam seperti Ibnu Sina atau Avicenna, Ibn Rushd atau Averroes dan Al-Khawarizmi telah menyumbang kepada pembangunan sains dan teknologi dunia. Malahan pembangunan ilmu dalam Dunia Islam telah diakui sebagai pemangkin kepada Zaman Pembaharuan (bahasa Inggeris: Renaissance) di Eropah yang akhirnya melahirkan satu tamadun yang gemilang di sana. Malah sejarahwan barat Robert Briffault telah mengakui betapa barat terhutang budi kepada orang-orang Islam:

For although not a single aspect of European growth in with the decisive influence of Islamic civilization is not traceable, nowhere is it so clear and momentous as in the genesis of that power with constitute the permanent distinctive force of the modern world and the supreme source of its victory - natural science and scientific spirit. Science is the momentous contribution of Arab Civilization to the modern world. It was not science only which brought Europe back to life. Other and mainfold influences from the civilization of Islam communicated its first glow to European life.

Bangsa Barat khasnya Eropah telah mengambil inisiatif besar menterjemah malah mempelajari pelbagai jenis ilmu dari dunia Islam Sepanyol dan lain-lain wilayah di Timur Tengah. Ilmu-ilmu yang diterjemah itu melewati ilmu-ilmu falsafah, perubatan, astronomi, matematik, logik, akhlak, kimia dan algebra. Lahir universiti-universiti Naples, Bologna, Universiti Paris, Oxford dan Koln, akhirnya Eropah berjaya melepasi Zaman Gelap meluncur menuju Zaman Pembaharuan. Ilmu-ilmu dari dunia Islam telah membawa kejayaan besar kepada bangsa Eropah.



Rujukan : Shaikh Abdullah Hassan Mydin. 2006. Tamadun Islam Dan Tamadun Asia (TISA). Pulau Pinang:  PPPJJ-USM, Malaysia. Hal. 86

07 December 2010

Perlukah akaun Facebook? Pelbagai Aspek Kepentingan Laman Sosial Itu Dibincang

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/12/06


Pelbagai aspek kepentingan laman sosial itu dibincang

LAMAN sosial seperti Facebook yang berfungsi membina jaringan sosial masyarakat dunia dalam dunia siber wajar dimanfaatkan pengguna tanpa mengabaikan peraturan agama dan budaya bangsa dan dengan sendiri memastikan ia digunakan secara berhati-hati lagi bijak.

Pakar Perunding, Institut Pemikiran Minda (INMIND), Mohd Yusof Din, berkata masyarakat perlu menggunakan laman sosial seperti Facebook secara bijak dan berhemah dengan mematuhi etika penggunaannya untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa manipulasi pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Masyarakat perlu ada hikmah atau kebijaksanaan dan ilmu dalam memilih rakan di laman sosial serta mendidik mereka dengan topik bermanfaat, manakala aspek pendidikan pula wajar diutamakan bagi memastikan laman interaktif ini dimanfaatkan sebagai tempat perbincangan dengan pandangan membina.

“Saya tidak menafikan laman sosial mempunyai kebaikan dan keburukan yang tersendiri, tetapi sebagai pengguna kita perlu menunjukkan teladan baik bagi mengelakkan masyarakat terpengaruh dengan dakyah Barat,” katanya 
Forum Liga Ilmu Astro Oasis: Laman Sosial Membawa Kita Ke Mana di Ruang Pameran, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Forum yang dipengerusikan, pengacara Astro Oasis, Tarmizi Abdul Razak, turut mengakui laman sosial sudah menjadi budaya masyarakat dunia tanpa dapat dielakkan sehingga meninggalkan kesan besar sehingga kepada 350 juta penggunanya setakat ini.

Mohd Yusuf berkata, walaupun ada desas-desus kononnya Facebook diwujudkan untuk mengintip kegiatan manusia termasuk umat Islam, mereka wajar berfikiran positif dengan mengambil pendekatan yang mencerminkan umat Islam sebagai umat terbaik.

“Tidak sekadar itu, hubungan kekeluargaan dan persahabatan dapat dieratkan lagi sekiranya etika penggunaannya dipatuhi seperti memberi peluang kepada ibu bapa untuk mengenali rakan anak mereka dan berkomunikasi melalui Facebook, sekali gus memantau aktiviti harian mereka secara tidak langsung,” ujarnya.

Pandangan Mohd Yusuf dipersetujui Ketua Kumpulan Nasyid Saujana, Sufian Amrin yang mewakili generasi muda apabila memanfaatkan Facebook sebagai wahana untuk mendekatkan hubungan ibu bapa dan anak sehingga dapat memastikan golongan berkenaan tidak tercicir dalam perkembangan teknologi yang semakin pesat.

“Zaman semakin canggih dan pelbagai laman sosial diwujudkan untuk kemudahan semua pihak sehingga penting bagi semua lapisan masyarakat untuk mengambil kesempatan daripada perkembangan media siber dengan mendaftar akaun Facebook,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui di sebalik fungsinya yang positif, kecanggihan Facebook sering disalah guna sebahagian besar masyarakat sehingga purata penggunaannya meningkat kepada tiga jam sehari dan menimbulkan gejala sosial seperti ketagihan yang sukar dikawal termasuk memaparkan cerita paling remeh.

Beliau yang pernah membuat kajian tahap penggunaan Facebook di kalangan masyarakat dunia, berkongsi fakta Malaysia berada pada kedudukan ke-11 di dunia, manakala setiap pengguna Facebook di negara ini memiliki sekurang-kurangnya 332 rakan dalam talian.

“Fenomena ini membuktikan keberkesanan Facebook sebagai media sosial yang dapat menyebarkan maklumat secara mudah dan cepat dan di sinilah fungsi umat Islam untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat dunia secara berbudi bahasa.

“Begitu juga dengan kemampuannya dalam membantu masyarakat memasarkan produk dari aspek perniagaan dan menjadi tempat komunikasi antara peminat dan artis berdasarkan aspek hiburan seperti laman Facebook penyanyi antarabangsa, Lady Galga mencecah sebanyak 25 juta,” katanya. 

Pakar Teknologi Maklumat Dapat Dot Com, Azli Taat, menasihatkan setiap ahli masyarakat memiliki sekurang-kurangnya satu akaun laman sosial bagi mengelakkan risiko dimanipulasi pihak lain.

“Sekiranya kita tidak membuka akaun Facebook, sudah pasti ada pihak lain yang akan mengambil kesempatan mewujudkan akaun Facebook bagi pihak kita kerana sesiapa saja boleh mendaftar akaun itu sebanyak boleh dengan pelbagai identiti,” katanya.

Beliau mengingatkan setiap pemilik akaun Facebook perlu bijak memilih rakan dalam talian dan menggunakan fungsi ketetapan peribadi dalam Facebook sebaiknya, agar maklumat peribadi dan gambar tidak sewenang-wenangnya disalah gunakan pihak lain.

Tambahnya, masyarakat juga sewajarnya mempelopori usaha menggalakkan pengguna media sosial melakukan perkara yang sama dan menyuarakan pandangan bersifat sederhana dalam Facebook khususnya dalam menyampaikan dakwah secara berhemah.
 

06 December 2010

Masalah Facebook. Cara Komunikasi Moden Yang Membawa Kepada Kemungkaran

Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat membaca’ dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang perang dingin’ dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat lamaran’ nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah janganlah kamu menghampiri zina’.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .

3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi friend’ seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu bersepah’ difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai rupa’ yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan …’DOSA’. Simpan sahajalah gambar-gambar ‘kiut’ (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke’kiut’an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.

5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat trend’ menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di’tag’, akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan candid’, tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di’tanda’ boleh dengan segera delete ‘tag’ itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh untagged’ nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan seseorang’ yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, zaman aku ekstrem’, zaman solehah’, waktu innocent’, zaman-zaman suci’, ‘itu zaman kuno dulu’, ‘itu masa duduk bawah tempurung’ dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.

KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama ‘ukhuwah’ untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Sekian

Kredit artikel daripada:
Zaharuddin Abd Rahman http://www.zaharuddin.net/

Ibadah Korban

1. Apakah hukum melakukan ibadah korban?
J: Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.Allah S.W.T berfirman;“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. - Surah al-Kautsar: ayat 2Mengikut tafsiran ulama maksud solat atau sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.

2: Apakah dalil yang mensyariatkan ibadah korban?
J: Dalil yang mensyariatkan ibadah korban ialah firman Allah S.W.T.;“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. - Surah al-Kautsar, ayat 2. Maksud solat ataupun sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”. Wallahuaklam

3: Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?
J: Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim. Wallahuaklam


4: Apakah hikmah korban?
J: Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim A.S. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan;
  • 1. Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
  • 2. Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah S.W.T kurniakan kepadanya.
  • 3. Berkongsi merasai nikmat Allah S.W.T dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
  • 4. Membudayakan dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban.Wallahuaklam
5: Adakah ibadah korban dilakukan pada zaman Nabi-nabi yang terdahulu dan bagaimana ia dilaksanakan?
J: Mengikut riwayat yang boleh kita perolehi amalan ibadah korban telah dilaksanakan dari zaman Nabi Adam A.S lagi sehingga zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Secara ringkasnya sejarah perlaksanaannya adalah seperti berikut;

Pada zaman Nabi Adam A.S, peristiwa korban Habil dan Qabil menunjukkan betapa korban memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup manusia. Kisah mereka telah dinukilkan di dalam al-Quran surah al-Maidah, ayat 27.Maksud Ayat:
“Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: Aku pasti membunuhmu? Habil berkata: “Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa”.

Pada zaman Nabi Nuh A.S pula, setelah peristiwa taufan berlaku, Nabi Nuh menyediakan satu tempat khas untuk korban. Ada riwayat yang mengatakan bahawa haiwan korban tersebut dibakar.Manakala pada zaman Nabi Ibrahim A.S, korban bermula dengan roti dan sebagainya, kemudian anak sapi, kambing dan biri-biri. Peristiwa penyembelihan anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail ialah ujian pengorbanan yang paling getir dihadapi oleh Nabi Ibrahim A.S. Kisah ini telah Allah rakamkan dalam al-Quran surah Ash-Shaffat, ayat 103-107.

Pada zaman Nabi Musa A.S, cara korban ialah dengan membahagikan binatang yang disediakan untuk korban kepada 2 bahagian, sebahagian dilepaskan dan sebahagian lagi disembelih.

Budaya dan amalan berkorban ini berterusan sehingga ke zaman bangsa Yunani dan Rumani, pada umumnya mereka membahagi-bahagikan daging korban kepada orang yang hadir. Semasa upacara penyembelihan, pendeta mereka memercikkan madu dan air, kemudian madu diganti dengan air mawar. Adat ini terdapat sampai sekarang. Di samping bangsa Yunani, korban dengan melakukan penyembelihan terhadap manusia juga berlaku, ini dilakukan oleh bangsa Finiki, Parsi, Rom dan bangsa Mesir kuno. Wallahuaklam
6: Bolehkah penyembelihan haiwan korban diniatkan sekali dengan aqiqah?
J: Pada hari raya korban kita disunatkan menyembelih haiwan korban, begitu juga pada hari ketujuh kelahiran seorang anak, kita dituntut melaksanakan aqiqah untuknya, jadi apabila bertemu hari raya korban bertepatan dengan hari ketujuh kelahiran anak, maka mengikut pandangan ulama mazhab Hanbali, kita boleh gabungkan niatkan perlaksanaan korban tersebut dengan niat untuk aqiqah anak, seperti mana jika bertemu hari Jumaat dengan Hari Raya, maka saudara boleh niatkan mandi sunat keduanya dengan sekali mandi sahaja. Wallahualam
7: Siapakah yang dituntut untuk melaksanakan korban?
J: Menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Korban dianjurkan ke atas seluruh umat Islam, akan tetapi tuntutan sebenar ialah kepada yang mampu, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran dalam beberapa buah hadis kepada mereka yang tidak menunaikan ibadah korban, antara hadis tersebut ialah;Maksud hadis,
“Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu), tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami.” Wallahualam

8: Apakah jenis korban yang dilarang oleh Islam?
J: Korban yang diamalkan oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun diniatkan hanya kerana Allah S.W.T, dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di samping mendapat ganjaran lain yang telah Allah S.W.T janjikan.. Oleh itu, mana-mana korban atau penyembelihan yang diniatkan kepada selain Allah S.W.T, seperti korban yang dilakukan untuk memuja sesuatu, atau untuk tujuan ilmu hitam, memuja syaitan dan sebagainya, serta tidak bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan ganjaran yang disediakan, maka ia adalah dilarang oleh Islam. Wallahualam

Dipetik dari: http://al-futhuhat.blogspot.com/2008/12/ibadah-korban.html

Keunggulan Solat Subuh

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka.” (Hadis riwayat Muslim)Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta’arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari. Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.

Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.

Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau ‘Subuh gajah’, iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.

Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.

Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: “Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya).” (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)

Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.

Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: “Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya.”

Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh? Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?

Diriwayatkan Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh.” (Hadis riwayat Muslim).

Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga.” (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.

Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, “Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka.” (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)

Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.

Sumber : Berita Harian (25 Mei 2007)

01 December 2010

Ramai Tidak Sedar Bahaya Makanan Yang Disimpan Lama

GEORGETOWN: Kesedaran mengenai bahaya mikotoksin masih rendah apabila ramai di kalangan rakyat negara ini tidak menyedari makanan yang dimakan mungkin dicemari bahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Persidangan Antarabangsa Mikotoksin, Prof Baharuddin Salleh berkata mikotoksin, iaitu sejenis racun atau toksin, terhasil daripada kulat yang tumbuh pada makanan dan hasil pertanian.

"Contohnya roti atau makanan lain yang kita simpan lama dan ditumbuhi kulat, kulat berkenaan akan menghasilkan mikotoksin dan jika kita memakan makanan itu, ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan itu di sini hari ini.

Baharuddin yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia berkata, apa yang membimbangkan ialah racun berkenaan mempunyai sifat yang tahan panas dan akumulatif.

"Bila kita masak pun ia tidak akan musnah dan apabila ia berada dalam mana-mana organ badan kita, ia akan membiak dari masa ke masa hingga mengakibatkan kerosakan pada organ berkenaan," katanya.

Baharuddin berkata, sesetengah kulat itu menghasilkan mikotoksin yang sangat berbahaya yang dinamakan aflatoksin.

Katanya, manusia yang memakan makanan yang mengandungi aflatoksin boleh menghidapi kerosakan hati dan barah hati.

Selain itu, katanya, mikotoksin juga boleh didapati dalam susu dan daging binatang ternakan yang memakan makanan yang dicemari racun itu.

"Pengambilan susu dan daging yang dicemari mikotoksin itu turut membahayakan kesihatan," katanya.

Justeru, katanya, orang ramai perlu menyimpan makanan dengan baik bagi mengelak daripada dicemari kulat yang menghasilkan mikotoksin. - BERNAMA

Rujukan : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ramaitidaksedarbahayamakananyangdisimpanlama/Article