Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

23 January 2010

Proses Penuaan Seseorang

Memperlahan replikasi sel

Faktor genetik, pemakanan, persekitaran dan gaya hidup banyak mempengaruhi kepantasan proses penuaan seseorang.




PENUAAN adalah satu proses yang tidak boleh dielakkan. Proses penuaan melibatkan kemerosotan fungsi-fungsi organ dan sistem tubuh secara perlahan-lahan.

Namun, bukan semua orang mengalami proses penuaan yang sama. Faktor genetik, pemakanan, persekitaran dan gaya hidup banyak mempengaruhi kepantasan proses tersebut. Seiring dengan peningkatan usia juga, proses penyembuhan menjadi semakin perlahan.

Proses penuaan adalah lebih daripada sekadar kedutan atau garis-garis kasar pada kulit wajah. Hakikatnya, saintis mengesahkan proses penuaan bermula sebelum kita mencecah alam dewasa. Malah, ia sebenarnya berlaku secara dalaman dan pada peringkat berbilang.


PROSES penuaan bukan sekadar garis-garis kasar pada kulit wajah.


Salah satu peringkat yang menerima kesan penuaan itu ialah pada peringkat selular (sel). Penuaan sel berlaku berdasarkan kepada kekerapan proses replikasi berulang.

Pergandaan setiap sel boleh berlaku sehingga 50 kali. Jadi, pendedahan sel kepada pelbagai faktor termasuk radikal-radikal bebas hanya menjanjikan kerosakan sekali gus mendorong kekerapan keperluan sel melalui proses replikasi.

Ketua Pegawai Saintifik Shaklee Corporation Amerika Syarikat (AS), Dr. Carsten R. Smidt berkata, proses penuaan biologi bagaimanapun boleh ditangani secara positif dengan mengenal pasti empat mekanisme dalam proses penuaan selular.

Pertama, setiap sel dalam tubuh kita terdedah kepada hampir sejuta ancaman perosak deoksiribunokleik (DNA) yang berpotensi merosakkan genetik DNA manusia. Ia boleh mengakibatkan kerosakan fungsi sel dan jangka hayat seseorang.

"Kedua, kelemahan keupayaan penyelarasan genetik dan kemerosotan penghasilan tenaga di peringkat selular boleh mengurangkan keberkesanan fungsi sel berikutan faktor usia," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.


PENIPISAN rambut indikasi umur yang kian meningkat.


Perubahan fizikal

Mekanisme keempat pula merangkumi pengumpulan protein-protein makanan ringan atau lebih dikenali sebagai protein AGE (Advanced Glycation Endproducts). Lebihan protein-protein tersebut dan pelbagai toksin lain boleh menjejaskan kesejahteraan peringkat selular sehingga merugikan manusia dari aspek usia.

Kemerosotan fungsi sel yang terjadi secara beransur-ansur lazimnya menjurus kepada perubahan fizikal dan fisiologi seseorang. Penipisan rambut, kedutan pada wajah, kemerosotan tahap tenaga dan pertambahan berat badan adalah antara perubahan yang boleh dilihat.


MEROKOK antara faktor yang mempercepatkan proses penuaan.


Berita baiknya ialah kajian-kajian saintifik pula membuktikan sebahagian besar penyakit yang berpunca daripada faktor usia boleh dicegah dan diperlahankan. Keadaan itu boleh dilakukan menerusi beberapa perubahan ringkas dari aspek gaya hidup dan pengambilan diet.

Malah, para penyelidik dari Sekolah Perubatan Harvard dan Institut Penuaan Nasional (NIA), Amerika Syarikat (AS) pernah melaporkan sejenis bahan semula jadi, resveratrol mampu mengimbangi kesan negatif sesuatu diet yang berkalori tinggi.

Resveratrol merupakan sejenis polifenol yang biasa ditemui dalam wain merah itu juga berupaya memanjangkan jangka hayat tikus dalam ujian makmal. Satu kajian yang dijalankan oleh Jabatan Sains dan Teknologi, Universiti Ohio, AS, pada 1997 membuktikan kejayaan resveratrol menyekat pembahagian sel-sel kanser di peringkat selular.

Menurut Carsten, pelbagai kajian terkini telah mendedahkan pengambilan diet yang kaya dengan polifenol mampu menggandakan kesan metabolik yang sihat.




Resveratrol pada hakikatnya juga telah lama menjadi fokus penyelidikan golongan saintis di serata dunia. Dalam tempoh hampir dua dekad, lebih 2,000 eksperimen berbeza telah mencungkil rahsia dan impak ke atas kesihatan.

Resveratrol biasanya diekstrak daripada biji dan kulit anggur muskat (muscadine). Buah muskat yang jauh lebih besar daripada anggur itu subur di kawasan Tenggara AS yang beriklim panas.

"Saiz sebuah muskat ialah sekitar lima sentimeter (sm) iaitu seakan-akan sebiji plum. Menariknya, di dalam biji muskat ini, terdapat satu kromosom tambahan (20 kromosom berbanding anggur lain yang hanya mengandungi 19 kromosom).

"Kromosom tambahan inilah yang dipercayai membekalkan sejenis nutrien antipenuaan khas. Malah, kandungan kompaun polifenol dalam buah muskat adalah 40 kali ganda lebih tinggi daripada yang terdapat dalam wain merah," jelasnya sambil memberitahu buah muskat cukup popular sebagai anggur nombor satu di AS.

Biarpun biasa ditemui dalam buah anggur dan wain, resveratrol juga terdapat dalam kulit kacang tanah, pokok-pokok pain dan akar-akar tumbuhan tertentu. Ciri-ciri antioksida dalam resveratrol dilaporkan berupaya menyingkirkan radikal-radikal bebas yang berbahaya dari tubuh.


PENINGKATAN berat badan antara perubahan yang berlaku apabila umur meningkat.


Penggunaan buah muskat juga pernah direkodkan dalam budaya masyarakat Asia bagi melegakan masalah jantung dan aneka gangguan pada hati.

Melihat kepada khasiat buah muskat, maka tidak hairanlah bekas Presiden AS, Thomas Jefferson turut dilaporkan pernah menanam pokok buah muskat di kediamannya di Monticello, sepanjang awal tahun 1800-an.

Bercerita lanjut, Carsten memberitahu, pengambilan suplemen harian dengan kandungan resveratrol mampu melegakan salah satu daripada empat mekanisme utama selular. Akan tetapi, keberkesanan produk resveratrol akan bertambah baik jika disertakan dengan ekstrak tumbuhan lain seperti polyganum cuspidatum, lobak ungu dan elderberi.

Tumbuhan Japanese knotweed atau polygonum cuspidatum misalnya turut membekalkan sumber resveratrol. Banyak digunakan dalam suplemen antipenuaan perubatan tradisional Cina (TCM), kajian saintis mendapati resveratrol memberi kesan positif kepada prestasi ahli sukan.

"Seperti dalam perubatan Ayurvedik masyarakat India dan TCM, gabungan beberapa jenis sebatian tumbuhan didapati dapat memberi tindak balas lebih baik sesuatu suplemen kepada tubuh," terangnya sambil memberitahu kandungan antosianin dalam lobak merah pula boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.

Proses penuaan yang sihat juga bermakna tidak mengabaikan beberapa perkara penting. Antaranya pengambilan diet yang seimbang, berhenti merokok, bersenam secara kerap dan meningkatkan pengambilan multivitamin.



Rujukan : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0122&pub=Kosmo&sec=Pesona&pg=ps_01.htm

No comments: