Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

21 October 2009

Rumah Diperbuat Daripada Buluh

Rumah buluh sejuk di waktu siang


mohd. ramadhan Abdul Hamid (duduk) dan Mior Shariman Moksin (berdiri paling kiri) bersama rakan-rakan yang mengusahakan Istana Bambu sdn. bhd.


TIADA kata secantik bahasa...Cuma itu yang saya dapat katakan apabila pertama kali memasuki kediaman daripada buluh ini sedikit masa lalu.

"Bukan setakat binaan rumah, perabot dan hiasan dalaman lain juga diperbuat daripada buluh. Berada di dalamnya walaupun hanya seketika cukup untuk membuatkan hati saya begitu tenteram dan nyaman."

Demikian luahan Ketua Pengawai Operasi Istana Bambu Sdn. Bhd., Mior Shariman Moksin, 37, ketika bercerita mengenai pengalaman kali pertamanya memasuki kediaman buluh atau lebih terkenal dengan jolokan Istana Bambu milik Mohd. Ramadhan Abdul Hamid yang bertempat di Hulu Langat tidak lama dulu.

Bertitik tolak dari situ, Mior Shariman nekad untuk mendalami tentang buluh dengan mempelajari tentang sifat-sifat tumbuhan tersebut sehingga sanggup mencari ilmu di luar negara.

Malah projek pembangunan dan penyelidikan (R&D) buluh yang diusahakan atas inisiatifnya sendiri mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Berbekalkan pendidikan yang diperoleh dari Institut Teknologi Mara (kini UiTM) dan pengalaman menguruskan resort kepunyaannya sendiri sebelum ini, beliau mengorak langkah menerajui satu industri baru di Malaysia dengan menubuhkan syarikat Istana Bambu Sdn. Bhd. pada awal tahun lalu.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Mior Shariman adalah antara individu yang bertanggungjawab membawa nafas baru kepada produk berasaskan buluh apabila dia dan beberapa rakannya yang mempunyai impiang sama berusaha merealisasikan impian meneraju industri baru di Malaysia.

Istana Bambu yang indah dan nyaman

Demi memenuhi undangan pihak Istana Bambu Sdn. Bhd., penulis dan jurugambar dijemput ke 'istana' Mohd. Ramadhan bagi merasai sendiri pengalaman ketika berada dalam rumah buluh tersebut.

Sebaik melangkah masuk ke 'istana' milik bekas kakitangan perbankan ini, hawa sejuk dan nyaman menyapa kami.

"Walaupun panas terik di luar tapi di dalam rumah ini rasa sejuk," getus penulis pada jurugambar sambil kaki terus melangkah menerokai setiap ruang kediaman dua tingkat yang dibina di satu sudut di atas tanah berkeluasan dua ekar di Hulu Langat, Selangor itu.

Sesekali perhiasan gantung yang diperbuat daripada buluh berbunyi merdu kala ditiup angin.

Benarlah kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta, melihat kepada binaan istana buluh tersebut penulis dapat merasakan bahawa kediaman yang diperbuat daripada buluh memang mempunyai keistimewaan dan nilai estetika yang tersendiri.

Kehidupan di bandar menyebabkan penulis hanya melihat kegunaan buluh ketika membuat lemang, namun setelah meninjau segenap ruang kediaman Mohd. Ramadhan persepsi terhadap buluh berubah.

Buluh mampu menghasilkan perabot yang indah, sofa, kerusi, meja malah katil juga kelihatan anggun menawan dengan tumbuhan ini.

"Jika malam, memang penghuni rumah buluh akan merasa kehangatan malam, tidak terlalu panas tetapi tidak perlu memakai selimut ketika tidur," celah Mohd Ramadhan yang sedari tadi hanya membiarkan kami menikmati keindahan 'istana' yang dihuninya seorang diri.

Jelas beliau, buluh memerangkap haba panas ketika di waktu siang dan melepaskannya pada waktu malam.

"Sebab itu jika kita letak telinga pada batang buluh ini kita akan mendengar bunyi seakan menderu, itu bermaksud haba sedang menyerap ke dalam bahagian dalam buluh. Bila malam, buluh melepaskan haba tersebut sekali gus memberi kehangatan kepada penghuni rumah," katanya.

Mohd. Ramadhan turut mengaitkan peristiwa gempa bumi di Indonesia baru-baru ini dengan kediaman yang diperbuat daripada buluh.

"Walaupun roboh, rumah ini tidak akan menghempap penghuni di dalamnya kerana struktur binaan yang selamat untuk keadaan bencana alam tersebut," ujarnya.

Tanah dua ekar milik Mohd Ramadhan ini tidak hanya menempatkan kediamannya sahaja.

Malah di lokasi yang sama juga dibina surau kecil, rumah tetamu, anjung rehat dan yang semuanya dibina daripada buluh.

Tambah menarik, tanah tersebut juga dihiasi dengan landskap, air terjun yang mengalir mengikut graviti dan batu-batu besar yang dibina untuk menambah keindahan pemandangan keseluruhan kawasan tersebut.

"Ini belum siap sepenuhnya, akan datang saya akan menghasilkan sawah padi di kawasan ini," katanya yang kemudian memberikan kami menyambung perbualan bersama Mior Shariman..

Industri buluh

Sementara itu menurut Mior Shariman, bukan satu tugas mudah untuk memulakan industri baru di Malaysia kerana banyak yang perlu dipelajari, masa yang dikorbankan dan wang ringgit yang perlu dilabur.

Semua itu bagi memastikan industri buluh menjadi antara penyumbang kepada sumber pendapatan kepada rakyat dan negara.

Kegigihan Mior Shariman nyata terserlah apabila beliau terpaksa ke beberapa negara Asia untuk mempelajari dan menjalin kerjasama.

Hasilnya beliau telah menguasai teknologi pengawetan dan kemahiran pembuatan produk buluh.

"Negara-negara jiran telah mempunyai industrinya sendiri dan telah melayani pasaran Eropah, Amerika syarikat, negara-negara Arab dan lain-lain.

"Melihatkan pasaran yang terbentang luas saya ingin mengajak masyarakat Malaysia untuk bersama-sama membangunkan industri ini," ujar Mior penuh bersemangat.

Dengan mengambil kira saiz pasaran yang besar dan potensi produk yang luas beliau mensasarkan perolehan RM12 juta untuk tahun 2010.

"Pemuliharaan, produksi dan pengkomersialan, adalah kata kunci ini merujuk kepada aktiviti yang dijalankan oleh Istana Bambu Sdn. Bhd.," ujarnya.

Beliau yakin pembangunan industri harus bermula dengan bahan mentah yang mencukupi. Buluh adalah pilihan material masa hadapan memandangkan tempoh matang buluh mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk matang.

"Buluh tidak sama seperti pokok kayu lain yang mengambil puluhan tahun untuk matang, tambahan lagi buluh akan tumbuh dari rumpun dan dapat ditebang berulang-ulang kali.

"Buluh juga telah memasuki fasa baru dalam proses pembuatan contohnya ia telah dijadikan papan lapis selain daripada kegunaan kebiasaannya yang berbentuk silinder.

"Untuk itu syarikat telah mengenalpasti kawasan-kawasan buluh di Malaysia yang mempunyai potensi untuk penanaman dan pemuliharaan.

"Bagi produksi pula syarikat mempelawa mana-mana masyarakat yang mahu mempelajari kemahiran pembuatan untuk memasuki sekolah kemahiran buluh yang ditawarkan," jelasnya.

Selain kilang yang didirikan bagi memenuhi keperluan pasaran dalam dan luar negara, pihak Istana Bambu Sdn. Bhd. telah pun menembusi pasaran dalam dan luar negara.

Kejayaan terbaru syarikat ini telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat di Perancis untuk mengeksport produk berasaskan buluh ke negara tersebut.

Ketahanan

"Antara produk yang dikeluarkan syarikat kami ialah buluh yang telah diawet, bangunan terdiri dari rumah kediaman serta restoran dan resort, hiasan dalaman, perabut, kelengkapan landskap dan juga barangan untuk industri.

"Buluh yang digunakan untuk produk-produk ini telah diawet dan mempunyai ketahanan jauh lebih lama daripada kebiasaannya.

"Jaminan diberikan antara enam bulan sehingga satu tahun bagi produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat kami," tambahnya.

Pihak Istana Bambu Sdn. Bhd. juga sedang membina perkampungan buluh terletak lot 841 - 844 Jalan Ulu Kelang, 68000 Ampang, Selangor. Buat masa ini perabot contoh boleh di lihat di alamat tersebut.

Antara binaan yang terdapat di perkampungan tersebut adalah surau, pusat pameran, rumah contoh, galeri jualan, restoran, pusat pengawetan, pusat pembuatan, spa, chalet, pusat pembenihan anak pokok buluh , pusat latihan dan pusat pengembangan teknologi buluh.

"Tujuan pembinaan perkampungan ini adalah untuk menyediakan pusat rujukan dan keperluan industri.

"Antara peluang yang di tawarkan adalah wakil jualan, pembelajaran dan latihan, pemilikan syarikat, penggunaan tanah di Perkampungan buluh dan pihak syarikat juga mengalu-alukan cadangan yang boleh menguntungkan kedua belah pihak. Lebih ramai yang terlibat dengan industri ini lebih bagus," katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk atau industri ini sila layari laman web www.istanabambu.com atau hubungi 019 338 1858.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=200....


*******************************************************


Formula merawat buluh


Perabot daripada buluh seperti katil, meja solek dan set meja makan semakin mendapat tempat di kalangan pengguna.


SEBAIKNYA negara yang beriklim khatulistiwa seperti Malaysia ini memanfaatkan perabot yang diperbuat daripada buluh kerana sifatnya yang menyejukkan kediaman.

"Buluh dikatakan sejuk kerana sifat semula jadi kayunya yang mempunyai liang serta berbentuk tabung serta berongga.

"Ciri ini membolehkan udara dingin yang disimpan pada malam hari dibebaskan menjelang siang sekali gus mengubah suasana kediaman menjadi sejuk dan nyaman.

"Sebaliknya, pada malam hari, kediaman tidak akan terlalu sejuk kerana hawa panas yang disimpan sejak siang dibebaskan," katanya Ketua Pegawai Eksekutif Istana Buluh Sdn. Bhd., Mior Shariman Mohsin yang tidak jemu-jemu membuat kajian terhadap tumbuhan dari jenis sayur-sayuran ini.

Menerusi kajian yang dilakukan, Mior Shariman menemukan formula bagi mendapatkan buluh yang berkualiti.

"Sebelum buluh dibuat perabot, ia perlu diawet terlebih dulu bagi menghindari masalah bubuk, kulat dan cendawan. Tiga langkah pengawetan dikenal pasti termasuk merendam kayu itu selama sebulan dalam air biasa sebelum disambung dua minggu lagi di dalam lumpur lalu dijemur hingga kering.

"Itu cara tradisional, manakala kaedah moden pula menuntut penggunaan bahan kimia tertentu. Tempoh selama sebulan diperlukan sebelum buluh sesuai dibentuk sebagai perabot.

"Bahan kimia boraks menghasilkan perabot buluh berwarna gelap manakala borik menjadikannya berwarna putih," jelasnya.

Kesesuaian buluh sebagai perabot terserlah menerusi aspek ketahanannya yang berciri tahan lasak berbanding kayu getah dan jati, lebih-lebih lagi jika usia perabot berkenaan melangkaui 50 tahun.

Bagaimanapun kata Mior Shariman, tidak semua buluh boleh dijadikan perabot, sebaliknya ia perlu menjalani proses pemilihan dan saringan ketat.

"Buluh bermutu dijadikan perabot berusia dalam lingkungan empat hingga lima tahun. Empat tahun dikira matang dan layak ditebang. Jangan tunggu sehingga lima tahun untuk membentuk perabot kerana yang dihasilkan mudah pecah dan merekah.

"Bagi berusia bawah empat tahun, buluh boleh mengecut dan tidak sesuai dibuat perabot," jelasnya lagi.

Demi menambah elemen menarik dan praktikal pada perabot buluh rekaan syarikatnya, Mior Shariman menambah bahan tambahan seperti besi, kaca semuanya untuk menambah seri dan kesesuaian fungsi perabot keluarannya.

Mior Shariman berbangga kerana pasaran luar negara seperti Perancis telah membuka mata dan berminat untuk mengembangkan pasaran perabot buluh.

"Kami kini sedang melakukan penanaman spesies buluh hitam dan berkualiti yang biasa ditemui di Myanmar untuk diusahakan di sini. Pada masa sama, syarikat juga berminat mengelolakan bengkel membuat perabot berkenaan bagi usahawan berpotensi selain membuka peluang serta khidmat nasihat pelaburan bagi peniaga yang berminat menceburi industri ini," katanya.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&....

2 comments:

RUMAH BAMBU said...

PEMBETULAN:-

Gambar atas....Mohd Ramadhan [Duduk]& Mior Shariman [Berdiri] Bersama sama rakan rakan mengusahakan Istana Bambbu Sdn.Bhd.

Sebenarnya statement diatas tidak tepat.Mior Shariman berlagak saolah olah beliau membina rumah Bambu tersebut,Hakikatnya dia tidak pernah terlibat dlm pembinaan rumah ini. Beliau adalah pemilik Istana Bambu Enterprise yg menjual perabut bambu sahaja,

Yg Benar
Mohd Ramadhan
istana-bambu-undagi,blogspot.com

whatever said...

Assalammualaikum. Boleh bagi email tuan?