Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

11 February 2008

Guna Gas Asli NGV Hanya RM0.68 Seliter untuk Perjalanan 45km

RM0.68 seliter lebih 45 km

Penggunaan gas asli (NGV) memang menjimatkan selain bersifat mesra alam, lebih ringan, tidak berwarna dan tidak berbau. Bagaimanakah ia boleh diaplikasikan pada kenderaan persendirian?


FAUZI bersama model komponen sistem NGV yang ditawarkan syarikatnya.


KETIKA pemilik-pemilik kenderaan persendirian di negara ini mengeluh tentang peningkatan harga petrol dan diesel, pada masa yang sama, kebanyakan mereka masih menganggap penggunaan gas asli untuk kenderaan (NGV) hanya terhad untuk teksi. Sedangkan kereta mereka juga sebenarnya boleh ‘dikurniakan’ alternatif ini.

Penggunaan NGV mula digalakkan oleh kerajaan bermula pada tahun 1990-an, terutama sekitar tahun 1998 semasa Sukan Komanwel (SUKOM ‘98) berlangsung dan teksi-teksi turut diberi bantuan subsidi penukaran daripada sistem petrol kepada sistem NGV. Menurut data yang diberikan, sehingga bulan Disember 2006, daripada 30,000 kenderaan NGV di Malaysia, 90 peratus daripada kenderaan NGV adalah teksi.

“Memang kebanyakan orang di negara ini masih berfikir yang NGV hanya untuk pengangkutan awam terutamanya teksi, walhal kenderaan waima Kancil pun boleh menggunakannya tanpa masalah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Gas Engineering CNG Sdn. Bhd., Fauzi Omar ketika sidang media mengenai teknologi pertukaran sistem petrol kepada NGV di Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Walaupun kos untuk menukar kenderaan bersistem petrol kepada sistem NGV memerlukan kos yang agak tinggi iaitu antara RM2,500 hingga RM5,500, namun ia dianggap berbaloi kerana mampu melakukan penjimatan perbelanjaan petrol sehingga 70 peratus.

Selain itu, menggunakan bahan bakar NGV lebih mesra alam kerana ia lebih bersih. Terdapat kajian-kajian di universiti tempatan yang membuktikan bahawa penggunaan NGV mengurangkan emisi karbon monoksida dan sebagainya. Lebih ringan, tidak berwarna dan tidak berbau ia mungkin solusi kepada penyakit sakit otak atau sesak nafas yang boleh disebabkan oleh bahan bakar seperti petrol dan diesel.

“Kerajaan juga memberikan insentif kepada mereka yang menggunakan sistem NGV dengan pengurangan cukai jalan sebanyak 25 peratus.

“Warga kota terutamanya tidak perlu bimbang kerana 48 daripada 56 buah stesen pengisian gas asli di negara ini terletak di Lembah Klang. Dijangka pada tahun ini juga, bilangan stesen pengisian gas asli Malaysia akan dipertingkat sehingga 200 buah,” katanya.


KOMPONEN silinder dalam sistem NGV pada sebuah kenderaan.


Fauzi memberitahu, secara umumnya terdapat tiga jenis sistem NGV iaitu bi-fuel iaitu untuk pengisian petrol atau gas asli, dual fuel untuk pengisian diesel dan gas serta nanogas yang mengkhusus kepada pengisian gas asli sahaja.

Fauzi seterusnya menyerahkan pembentangan mengenai operasi NGV dan pemasangan NGV yang ditawarkan syarikatnya kepada Pengurus Kanan (Latihan dan Keselamatan) MOG Sdn. Bhd., Zoel Fareez Omar.

Zoel memberitahu, penggunaan NGV membantu pembakaran yang lebih baik dan bersih serta ketahanan enjin yang lebih lama. Penjimatan yang diwujudkan bukanlah omongan kosong.

“Bandingannya, bagi seliter petrol berharga RM1.92 membolehkan kenderaan bergerak sejauh 15 kilometer tetapi dengan NGV, RM0.68 seliter, ia mampu bergerak lebih 45 kilometer,” jelasnya sambil membuat pengiraan di papan putih.


TEMPOH pemasangan sistem NGV berbeza mengikut cara pemasangannya.


Kata Zoel, pemasangan sistem NGV yang ditawarkan boleh didapati secara karburator dan suntikan. Kenderaan berkaburator mestilah berusia tidak melebihi 13 tahun.

Secara asasnya, komponen-komponen yang terdapat dalam sistem NGV ialah pengatur (regulator), injap pengisian gas, pencampur, aksesori injeksi, paip laluan gas, injap silinder, silinder dan suis pemilihan.

Pengguna dapat mengetahui status amaun gas asli dalam kenderaan menerusi empat lampu penanda di dalam kenderaan. Jika keempat-empat lampu berkelip-kelip, ini menunjukkan amaun gas asli semakin berkurang.

“Bagi kereta yang memasang NGV secara karburator, jika mereka hendak menukar penggunaan petrol kepada gas asli ketika dalam perjalanan mereka perlu memastikan petrol benar-benar telah habis. Tetapi bagi pemasangan secara suntikan, mereka boleh menukar bahan bakar bila-bila masa sahaja,” katanya sambil menjelaskan kos pemasangan bagi secara karburator ialah RM2,500 hingga RM3,800 manakala secara suntikan daripada RM3,800 sehingga RM5,500.

“Kos yang tinggi untuk memasang sistem NGV ini banyak disumbangkan oleh kenyataan kebanyakan produk ini ialah produk import kerana negara kita belum berpengalaman sepenuhnya dalam bidang ini,” ujarnya.

Pemasangan secara karburator mengambil masa selama satu hari untuk disiapkan sementara secara suntikan mengambil masa paling kurang dua hari.

Menurutnya, set NGV yang ditawarkan syarikatnya diimport dari luar negara dan memenuhi piawaian yang ditetapkan SIRIM.

“Kami sudah memasang produk ini pada berbagai jenis kenderaan seperti Naza Ria, Perodua Kancil dan Jip Cherokee. Setakat ini, segalanya berjalan lancar.

“Untuk lebih meyakinkan, orang ramai digesa agar merujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom setelah pemasangan dilakukan,” katanya.


SISTEM NGV membantu pembakaran yang lebih bersih.


Bagaimanapun, oleh kerana sesebuah kereta yang dipasang dengan sistem NGV itu sebenarnya tidak dicipta khusus untuk menerima bahan bakar gas asli, ia sedikit sebanyak mewujudkan beberapa kekurangannya.

“Memang tidak dinafikan, ada berlaku pengurangan efisiensi, tetapi dalam peratusan yang rendah,” katanya.

Gas Engineering CNG Sdn. Bhd. yang beralamat di No.12A, Jalan Bullion Mewah 8, Batu Caves, Selangor akan mengadakan bengkel mengenai NGV pada 16 Februari ini di sebuah lokasi yang bakal ditentukan kelak. Kepada mereka yang berminat bolehlah menghubungi Fauzi di talian 016-364 7119 atau Yanie di talian 012-229 0970.



Rujukan: http://www.kosmo.com.my......in_01.htm

No comments: