Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

09 February 2008

Enjin Kenderaan: Karburator atau EFI

Sejajar dengan perubahan masa, sistem pembekalan bahan api automotif juga mengalami revolusi.


SISTEM kaburator masih mempunyai peminat kerana sifatnya yang ringkas dan tahan lasak.


SEWAKTU awal era terciptanya enjin yang dikhaskan untuk memikul tugas bagi kenderaan penumpang serta komersial, para jurutera bertungkus-lumus mencipta dan menghasilkan kaedah yang terbaik bagi mewujudkan pembekalan bahan api yang sejajar dengan kemampuan kenderaan serta prestasinya.

Ini disebabkan sesaran enjin adalah merupakan isu dan pengaruh utama terhadap karakter penggunaan bahan api pada sesebuah kenderaan.

Dengan kemajuan yang tercapai itu juga maka pada zaman ini enjin bersesaran 1.5 liter bersama berat keseluruhan kenderaan 1,100 kilogram (kg) yang mampu mencatat penjimatan bahan api seperti 180 kilometer/10 liter. Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan lagi setelah apa yang mampu dihasilkan melalui proses revolusi teknologi yang kian maju.

Sistem karburator mula direka sebagai pengurus mekanikal yang berperanan membekalkan campuran udara dan bahan api untuk kegunaan enjin.

Keunggulan sistem yang telah berusia lebih 100 tahun ini masih digunakan sehingga sekarang dan ia masih menjadi kegilaan para peminat muscle car dan hotrod di Barat meskipun sistem pancitan bahan api elektronik (EFI) telah bertapak lama di benua tersebut.

Keistimewaan sistem ini sememangnya telah diakui dan ternyata begitu banyak perbezaan yang boleh dihuraikan antara dua kaedah pembekalan dan pengurusan bahan api ini.

EFI atau Electronic Fuel Injection adalah kaedah pembekalan bahan api yang menggunakan teknik menyuntik dan menyembur bahan api yang berkeadaan halus ke dalam ruang pembakaran enjin dan dikawal secara elektronik.

Ia dikendalikan oleh modul penting yang dikenali dengan pelbagai nama seperti ECU, ECM, EMC, EMS dan berbagai lagi terma yang lain.

Kesemuanya menjelaskan bahawa aktiviti pengurusan enjin dikawal oleh sistem elektronik dari pengawalan masa, nisbah bahan api, pemantauan aktiviti enjin hinggalah ke masa nyalaan palam.

Sistem pengawalan dan pengurusan elektronik ini bukanlah sesuatu yang baru. Bagi sistem suntikan jenis mekanikal, ia telah mula direka pada era tahun 1900-an.

Ketika itu terdapat berbagai jenis sistem suntikan yang direka pada pelbagai bentuk, kaedah dan kesinambungan terhadap cara ia berfungsi.

Era tahun 50-an adalah masa di mana sistem suntikan bahan api elektronik pertama dihasilkan oleh Bendix Corporation iaitu sebuah syarikat automotif terkenal di Amerika.

Sistem yang diberi nama Bendix Electrojector ini telah menjadi asas dan rujukan kepada kebanyakan pengeluar sistem suntikan pada zaman ini yang telah mengalami evolusi dari semasa ke semasa.

Syarikat gergasi seperti Volkswagen adalah antara syarikat automotif terawal yang memperkenalkan sistem suntikan elektronik yang dihasilkan oleh Bosch pada tahun 1968.

Pada era tahun 70-an, hanya ada beberapa syarikat pengeluar kenderaan sahaja yang menerima dan menggunakan sistem tersebut. Era tahun 80-an adalah kemuncak bermulanya penggunaan sistem ini secara meluas dan telah banyak diaplikasikan pada kebanyakan kenderaan penumpang dan komersial.

Sistem ini mula berubah kaedah operasinya dan mula dipengaruhi oleh faktor rekaan serta jenis kenderaan. Kebanyakan sistem suntikan elektronik pada zaman ini menggunakan kaedah pengawalan dari unit induk iaitu sistem ECU kenderaan.

Ia bertindak mengawal kadar suntikan bahan api mengikut data maklum balas yang diterima oleh beberapa unit sensor yang menghantar maklumat tentang kelajuan, beban dan kadar udara yang masuk ke ruang pembakaran enjin.

Unit-unit sensor seperti air flow sensor dan throttle position sensor adalah antara alat penting untuk sebuah
PENGGUNAAN bahan api pada enjin moden dengan sistem EFI lebih menjimatkan.


sistem suntikan beroperasi dengan baik. Tetapi, rekaan enjin yang berlainan menggunakan kaedah sensor serta pemetaan yang berbeza, bergantung pada spesifikasi asas enjin yang dihasilkan oleh pengeluar.

Terdapat dua jenis sistem pancitan bahan api elektronik, iaitu throttle body fuel injection dan port fuel injection.

Sistem throttle body fuel injection terdiri dari sama ada satu atau dua penyuntik bahan api yang ditempatkan pada bahagian atas injap pendikit manakala port fuel injection pula adalah sistem yang kebanyakannya digunakan oleh kenderaan moden kini iaitu dengan menempatkan setiap penyuntik bahan api secara berasingan pada liang kebuk masuk berdasarkan jumlah silinder pada enjin.

Walaupun begitu, kedua-dua sistem ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing dari segi tahap penjimatan dan keberkesanan kuasa bagi pembekalan.

Sistem ini mempunyai kelebihan dari segi penjimatan dan keberkesanan kuasa daripada sistem karburator. Walaupun begitu, masih ramai berpendapat karburator mempunyai banyak kelebihan berbanding sistem ini.

Sistem suntikan memerlukan banyak penggunaan alat mekanikal dan elektrikal, mempunyai lebih banyak kemungkinan dan bahagian yang perlukan penyelengaraan serta mudah rosak terutamanya pada bahagian litar elektronik jika tidak dijaga dengan betul.

Bagi tujuan pengubahsuaian pula, tidak banyak yang boleh dilaras terhadap sistem ini melainkan dengan penukaran komponen secara menyeluruh ataupun dengan penggunaan sistem ECU yang membolehkan penalaan bebas dilakukan.

Namun kelebihan sistem pancitan elektronik ini ternyata telah membuktikan kemampuannya dalam memberikan kuasa terbaik pada kadar penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan.

Sistem suntikan menjanjikan perjalanan operasi yang cemerlang di samping menjamin tahap penjimatan bahan api dan keberkesanan kuasa pada enjin jika setiap bahagian mekanikal luarannya diselenggara dengan baik.

Seperti injector, fuel rail, fuel regulator, fuel filter dan fuel pump yang setidak-tidaknya perlu diperiksa sekali setiap setahun.

Dalam zaman yang semakin membawa para peminat automotif ke era pengetahuan baik dari segi teknikal, praktikal ataupun teori, pengetahuan terhadap sistem penalaan bagi unit ECU semakin mendapat tempat pada mereka yang cenderung mengubahsuai enjin yang berdasarkan sistem suntikan bahan api elektronik.

Sama ada unit penambahan piggyback ataupun unit ECU stand alone yang menggantikan modul ECU asal bagi membolehkan parameter serta unit pelarasan ditentukan oleh mekanik, jurutera serta penala kenderaan untuk memperolehi tahap prestasi enjin yang lebih dinamik berdasarkan pengubahsuaian mekanikal yang telah dilakukan.

Seperti sistem karburator yang ditala mengikut spesifikasi enjin, penalaan pada modul EMS (Electronic Engine Management System) stand alone ini bukanlah sesuatu yang mudah. Para penala perlu memahami unit asas serta parameter asal pada enjin tersebut.

Walau apa pun kaedahnya dan perbezaan antara kedua-dua sistem baru dan lama ini, tujuan utamanya adalah masih sama iaitu untuk mencapai satu tahap keberkesanan dan kepuasan dari sumber yang sama.



Rujukan: http://www.kosmo.com.my.......pe_02.htm

No comments: