Books

Books

06 December 2007

Jarak Pagar alternatif petrol


Kalau dikomersialkan tentu aje dapat mengurangkan pergantungan petrol. Salah satu perbelanjaan tinggi dalam isi rumah. Kalau kapal terbang 'Zero' Jepun boleh guna, kena tidak sekarang. Mungkin syarikat-syarikat minyaklah yang tak bagi....


Jarak Pagar alternatif petrol

KOTA BHARU 5 Dis. – Biji pokok jarak pagar atau Jatropha Curcas Linn, yang pernah digunakan sebagai bahan bakar untuk pesawat Jepun pada zaman Perang Dunia Kedua, didapati berpotensi untuk dikomersialkan sebagai bahan biodiesel dan biopetrol yang lebih mesra alam.
Pokok jarak pagar, tumbuhan yang biasanya digunakan dalam perubatan tradisional bagi menjarakkan kekerapan kelahiran bayi, juga ditanam sebagai hiasan pagar rumah.
Penolong Pengarah Latihan Lembaga Tembakau Negara Farini Halim berkata, jarak pagar dibawa masuk ke Malaysia pada zaman pemerintahan Portugis pada 1511 dari kepulauan Caribbean dan pernah digunakan sebagai bahan bakar untuk kapal terbang semasa penaklukan Jepun di negara ini antara 1940 dan 1945.
“Walaupun penemuan kegunaannya sudah lama tetapi ia masih belum diperluaskan di negara kita, sedangkan bagi negara maju, mereka telah menggunakan biji jarak pagar yang telah diproses untuk dicampurkan dengan petrol sebanyak lima peratus,” katanya.
Farini berkata, berdasarkan penggunaannya itu yang boleh mengurangkan pengeluaran asap dan menurunkan kandungan karbon monoksida untuk kenderaan, maka LTN kini memperkenalkan tanaman itu di Rhu Tapai, Terengganu dan di Pasir Puteh, Kelantan.
Beliau berkata, pokok jarak pagar ditanam di sekeliling kawasan tanaman tembakau yang membentuk seperti pagar dan ianya menjadi tanaman integrasi kepada penanam-penanam tembakau.
Projek perintis tanaman itu dimulakan pada Oktober 2006. Sebanyak 3,000 pokok itu ditanam di Kampung Air serta 1,000 pokok lagi di Pusat Latihan Tembakau di daerah Pasir Puteh selain 3,000 pokok di Terengganu.
“Banyak kelebihan pokok jarak pagar ini. Ianya mampu hidup selama 25 tahun, penjagaannya mudah, boleh ditanam di kawasan kurang subur seperti kawasan lombong dan batu kapur, dan berbuah sepanjang tahun tanpa ada musim dan bersesuaian dengan cuaca panas dan kawasan kurang air.
Ketinggian pokok itu hanya tiga meter. Ianya memerlukan tujuh bulan untuk pokok menjadi matang serta menghasilkan buah, yang bijinya diproses sebagai bahan api.
Farini berkata, bahawa bilangan pokok itu akan ditambah menjadi 20,000 tahun depan dan 100,000 menjelang 2010.
Beliau berkata, satu hektar tanah boleh ditanam 2,500 pokok manakala setiap sekilogram biji jarak pagar boleh menghasilkan 330 mililiter minyak sebagai bahan api.
Selain bahan bakar, biji jarak pagar juga boleh digunakan sebagai minyak pelincir untuk kenderaan.
“Jika kita benar-benar komersialkan tanaman pokok ini, ianya mungkin menjadi satu alternatif bahan api dan petrol untuk kenderaan, dan membantu kerajaan mengurangkan tanggungan subsidi minyak,” kata Farini.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&

No comments: