Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

01 June 2006

Dr. M dedah rahsia cemerlang dalam pelajaran

PENDANG 31 Mei - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan rahsia kejayaannya menjadi seorang doktor perubatan kepada 404 pelajar yang mengikuti projek Kem Kedah Gemilang di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, hari ini.

Menurut beliau, antara rahsianya ialah membaca sesuatu subjek itu berulang kali walaupun timbul perasaan jemu untuk berbuat demikian.

``Ketika belajar di universiti dulu, saya hanya dapat 3A sedangkan ramai rakan yang lain dapat 6A dan 7A. Mereka perli saya supaya balik dan jangan belajar di universiti itu lagi.

``Bagaimanapun, saya memperkuatkan azam dengan membaca dan terus membaca berulang kali sehingga saya boleh menggambarkan muka surat yang saya baca itu di atas kertas peperiksaan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dan menutup kem tersebut.

Seramai 404 murid tahun enam dari 33 sekolah rendah yang berpotensi mendapat 5A pada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dipilih mengikuti kem empat hari itu sejak Ahad lepas di MRSM Pendang.

Ia dianjurkan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Suraya Yaacob dengan kerjasama Majlis Guru Besar daerah Pendang dan Pejabat Pelajaran daerah Padang Terap/Pendang.

Pada majlis itu Persatuan Bekas pelajar MRSM (Ansara) menyumbang RM10,000 untuk Pusat sumber MRSM Pendang.

Turut hadir ialah isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Dr. Mahathir seterusnya berkata, tidak ada jalan singkat untuk berjaya selain memperbanyakkan bahan bacaan dan melakukan ulang kaji secara kerap.

Dalam pada itu, beliau mahu pelajar lelaki supaya lebih rajin untuk menyaingi pelajar perempuan dalam pelajaran berikutan penguasaan kaum itu 60 peratus di universiti pada masa ini.

``Sebagai lelaki, golongan itu mempunyai tanggungjawab lebih besar daripada kaum perempuan dan sebab itu hendaklah lebih rajin,'' tegasnya.

Sambil berseloroh beliau berkata: ``Takkan nak kahwin misyar kot. Kenalah belajar betul-betul, malulah.''

Selain itu, beliau menasihati para pelajar supaya menuntut ilmu bukan untuk lulus peperiksaan semata-mata sebaliknya berazam untuk mengubah nasib orang Islam yang semakin ditindas di dunia ini.

Katanya, negara Islam yang menguasai ilmu dapat membantu negara Islam lain daripada ditindas oleh musuh-musuhnya.

``Sebab itu kerajaan melaksanakan semula pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris selain menguasai ilmu agama untuk pelajar kita bersaing pada peringkat global,'' katanya.

No comments: