Books

Books

[LIVE] Coronavirus Pandemic: Real Time Counter, World Map, News

16 October 2005

Kereta robot berjaya hadapi cabaran gurun


SEBUAH kereta Volkswagen tanpa pemandu memenangi perlumbaan merentasi kawasan berliku-liku di kawasan gurun di Nevada yang menawarkan hadiah berjumlah AS$2 juta (RM7.54 juta), menewaskan empat lagi kenderaan kawalan robot.

Perlumbaan kenderaan robotik tersebut ditaja oleh Pentagon dengan matlamat untuk menjadikan medan perang kawasan yang lebih selamat untuk orang ramai.

Kereta Volkswagen Touareg yang diberi nama Stanley itu direka oleh para pelajar Universiti Stanford, berjaya menempuh perlumbaan sejauh 212.43 kilometer di Gurun Mojave dalam masa enam jam 53 minit Sabtu lalu dengan hanya menggunakan kepintaran buatannya sebagai pemandu merentasi kawasan gurun yang sangat mencabar.

Saintis Komputer Universiti Stanford, Sebastian Thrun berkata, kereta tersebut bukanlah sekadar kenderaan biasa.

``Ia merupakan sejarah,'' kata beliau selepas menerima replika cek kemenangan.

Thrun ternyata gembira dengan kemenangan itu tetapi tidak tahu bagaimana untuk membelanjakan wang tersebut.


``Saya mungkin akan membeli makanan kucing,'' kata beliau sambil bergurau.

Universiti Stanford membelanjakan AS$500,000 (RM1.88 juta) untuk menyertai perlumbaan tersebut dengan sebahagian besar dana diperoleh daripada penaja mereka.

Sebuah kereta Humvee merah dari Universiti Carnegie Mellon yang dinamakan Sandstorm, mendapat tempat kedua diikuti oleh sebuah Hummer yang bergelar Highlander.

Tempat keempat jatuh kepada Kat-5 sebuah kereta Ford Escape Hybrid yang direka oleh para pelajar Metairie, Los Angeles yang kehilangan waktu persiapan selama seminggu akibat taufan Katrina yang melanda Amerika Syarikat.

Kenderaan Humvee yang memenangi tempat kedua, menempuh perjalanan yang lebih jauh berbanding peserta lain tahun lepas walaupun turut menamatkan jarak wajib perlumbaan sejauh 12 kilometer tahun lepas.

Terramax, sebuah trak seberat 16 tan merupakan kenderaan terakhir menamatkan perlumbaan Sabtu lalu meskipun gagal berada dalam jangka masa had perlumbaan iaitu 10 jam.

Pentagon bagaimanapun masih tidak menyatakan dengan jelas bagaimana mereka akan menggunakan teknologi yang terdapat dalam perlumbaan ini untuk kegunaan ketenteraan.

Menurut Thrun, beliau mahu mencipta sistem pemanduan yang lebih selamat untuk kereta generasi akan datang, bukan hanya untuk kegunaan ketenteraan.

``Jika ia sekadar untuk tujuan tentera, pasti saya tidak akan berada di sini,'' kata beliau.

Thrun menambah, Volkswagen mahu menggunakan Stanley untuk tujuan promosi mereka sebelum kenderaan itu diletakkan di sebuah muzium di Jerman.

Acara tersebut yang dipanggil ``The Grand Challenge'' menyaksikan 23 buah kereta mengambil bahagian tetapi 18 gagal menamatkan perlumbaan setelah mengalami kerosakan mekanikal atau menghadapi masalah dengan sistem komputer dan pengesan mereka.

Menurut pihak penganjur, teknologi yang lebih baik selain pengetahuan mengenai keadaan perlumbaan menyebabkan terdapat lima kenderaan berjaya menamatkan perlumbaan kali ini berbanding tiada tahun lepas.

Perlumbaan tahun ini menyaksikan kemajuan yang jauh lebih memberangsangkan berbanding tahun lepas apabila tidak ada kereta yang berjaya menamatkan cabaran itu.

Sebelum perlumbaan Sabtu lalu, para peserta telah melakukan latihan untuk menyesuaikan diri dengan kawasan perlumbaan selain berusaha meningkatkan sistem kepintaran buatan dan pengesan di kereta masing-masing.

Kereta-kereta yang menyertai perlumbaan ini dilengkapi dengan pelbagai alatan komputer dan pengesan yang akan memberikan maklumat kepada kereta dan para peserta.

Komputer tersebut kemudiannya akan menentukan jenis-jenis halangan yang bakal ditempuhi, sama ada sesuatu permukaan itu terlalu dalam untuk direntasi atau tidak dan sebagainya.

Kesemua kenderaan tersebut akan meredah laluan yang direka menyerupai permukaan di Iraq dan Afghanistan.

Antara halangan yang ditempuhi oleh para peserta termasuklah tiupan angin dan tasik yang telah kering.

Selain itu, terdapat juga terowong diperbuat daripada pokok yang direka khusus untuk menyebabkan Sistem Kedudukan Global (GPS) para peserta gagal berfungsi.

Hanya lima kenderaan berjaya melalui kawasan curam pergunungan sepanjang 2.09 kilometer yang digelar ``Beer Bottle Pass'' yang terletak kira-kira 8 kilometer dari garisan penamat.

Kawasan tersebut menyerupai keadaan bergunung-ganang di Afghanistan. Laluan yang boleh dilalui oleh para peserta hanya selebar 3 meter, malah terdapat gaung sedalam lebih 60 meter.

Perlumbaan ini merupakan sebahagian daripada usaha pihak tentera yang mahu menjadikan satu per tiga daripada kenderaan tempur di darat dioperasikan tanpa pemandu dalam tempoh 20 tahun.

Pada masa ini, terdapat sebilangan kecil kenderaan yang dioperasikan tanpa pemandu di Iraq dan Afghanistan tetapi mereka masih perlu dikawal oleh anggota tentera yang berada di dalam kumpulan konvoi yang sama.

###################################################################

Kegagalan tentera AS di Afganistan dan Iraq memaksa mereka mencipta kenderaan baru tanpa pemandu. Agaknya dah terlampau ramai sangat rakyat AS yang mati sia-sia di sana. Apa nak jadi lahhh.....

No comments: